Monday, March 29, 2010

'Jakim sukar tangani isu logo halal'

2010/03/30-Berita harian.

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau badan Islam lain yang diiktiraf tidak dapat melaksanakan tindakan tegas berhubung isu halal yang menjadi kebimbangan umat Islam kerana ketiadaan Akta Halal untuk melaksanakan peraturan halal.
Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata Akta Halal penting bagi membolehkan Jakim dan semua badan Islam diiktiraf menguatkuasakan isu halal dengan lebih berkesan.

Bagaimanapun, rang undang-undang Akta Halal yang bertujuan memperkemas, menguatkuasa dan mempertingkatkan keberkesanan dalam melaksanakan peraturan halal dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada sesi ini.

“Pengguna juga perlu mempunyai kesedaran dan pendidikan berhubung isu sijil halal bagi memastikan mereka tidak ditipu dengan makanan yang tidak halal ketika menjamu selera di restoran.
“Pengguna Islam perlu memahami yang sijil halal hanya dikeluarkan oleh Jakim atau badan Islam diiktiraf dan bukan sebarangan pihak,” kata dalam rancangan Soal Jawab melalui stesen televisyen TV3, malam tadi, yang dihoskan Datuk Ahmad A Talib.
Pada masa sama, beliau turut mengakui tidak ada kerjasama yang padu antara Jakim, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam memerangi isu sijil halal yang tidak sah.
Beliau berkata, masalah itu perlu diberi perhatian supaya isu halal dapat ditangani dengan lebih berkesan. Nadzim turut mengingatkan umat Islam bahawa hanya tiga kopitiam saja yang mempunyai sijil halal sedangkan sebahagian besar yang lain tidak punyai sijil halal.
“Kenapa kita pergi juga pada restoran atau kopitiam yang tidak punya sijil halal, sedangkan Islam menitikberatkan pada makanan yang halal,” katanya sambil menambah PPIM sudah beroperasi sejak 13 tahun lalu dan mempunyai 2,000 ahli dan 300,000 sukarelawan.
Selain itu, katanya, PPIM turut bersama membanteras masalah along dengan membantu peminjam membayar pinjaman melalui rundingan dengan ceti haram terbabit.
“Kita sudah menemui kira-kira 3,000 ceti haram bagi menyelesaikan masalah peminjam. Pelbagai kejadian berlaku termasuk pergaduhan sehingga saya sendiri mengalami kecederaan.
“Kita mempunyai cara tersendiri bagi menyelesaikan masalah along seperti mengaitkan perniagaan mereka dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kerana sebahagian besar mereka tidak membuat pembayaran cukai dan mereka amat takut bila diberikan peringatan sedemikian,” katanya.

Thursday, March 25, 2010

86 KFC Britain halal

BURTON-ON-TRENT - Seorang pelanggan restoran makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) di Britain berang selepas dia gagal mendapatkan hidangan kegemarannya kerana premis berkenaan kini cuma menyediakan makanan halal, lapor sebuah akhbar semalam.
"Saya tidak percaya apa yang saya dengar. Pekerja restoran itu memberitahu daging halal tidak boleh disediakan di tempat yang sama dengan daging babi.
"Justeru, saya tidak mendapat daging babi saya," kata pelanggan itu, Alan Phillips.
"Ia seperti menyatakan saya tidak boleh membeli daging babi kerana ia mungkin menyinggung perasaan orang lain," tambahnya.
Lelaki itu kemudian diberitahu bahawa dia perlu pergi ke cawangan KFC lain yang terletak lapan kilometer dari restoran tersebut jika mahu membeli Big Daddy iaitu burger ayam bercampur daging babi, keju dan salad.
Ia berikutan restoran KFC itu di sini, daerah Staffordshire, England adalah antara 86 daripada 750 restoran KFC yang menjual daging dan hidangan halal di Britain.
Pihak pengurusan KFC memperkenalkan konsep halal itu secara percubaan di kawasan-kawasan yang ramai penduduk Islam.
Jurucakap KFC, Nina Arnot berkata, konsep halal itu dijangka dilaksanakan selama beberapa bulan bagi melihat sambutan pelanggan.
-- Agensi

Komen penulis..alhamdulillah..maka smua umat islam x perlu riso lg untuk mencari makanan halal diluar negara.

Monday, March 22, 2010

Minuman untuk wanita hamil

KEHAMILAN menuntut seseorang wanita bukan sahaja menjaga kesihatan emosi dan pergerakan fizikal bahkan diet hariannya. Acap kali diet harian merujuk kepada pengambilan sajian yang bergizi seimbang seperti bijirin, kekacang, roti, sayuran dan buah-buahan.
Bagaimanapun, jarang sekali kita menekankan mengenai amalan minuman harian yang patut diamalkan oleh wanita.
Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Pantai Kuala Lumpur, Dr. Premitha Damodaran, seperti pemakanan, wanita hamil juga perlu menitikberatkan aspek pengambilan cecair yang diambil untuk tubuhnya.
Amat penting bagi wanita hamil untuk mengambil jumlah air yang cukup untuk tubuhnya kerana jika dehidrasi berlaku, tubuh mudah berasa letih selain mendapat serangan sakit kepala. Lebih teruk, mereka boleh mendapat penyakit yang dipanggil ‘kencing kotor’.
Terdapat empat jenis minuman yang baik untuk diambil oleh wanita mengandung iaitu air putih, susu, jus buah-buahan dan minuman berfungsi atau isotonik.
Air putih adalah minuman yang terbaik kerana tidak mendatangkan masalah jika diambil berlebihan sehingga lapan hingga 10 gelas sehari.
Susu pula menawarkan sumber kalsium untuk perkembangan tulang manakala jus buah-buahan memberikan khasiat vitamin dan minuman berfungsi dapat menggantikan zat elektrolit yang hilang semasa berpeluh.
Bagaimanapun, tegas Premitha, wanita hamil sememangnya tidak digalakkan untuk mengambil minuman seperti kopi dan minuman berkarbonat. SEBAIK-BAIKNYA hindarkanlah pengambilan kopi ketika sedang mengandung.
Dengan minuman berkarbonat telah menjadi satu budaya hidup masyarakat hari ini, ia sebenarnya memberi kesan buruk kepada kesihatan dan tubuh badan ibu dalam jangka masa panjang.
Katanya, kandungan gula yang tinggi iaitu sehingga tujuh hingga sembilan sudu dalam satu tin boleh menyebabkan kadar gula dalam darah wanita hamil tidak seimbang.
Kesan buruk itu bukan sahaja terdedah kepada diri sendiri bahkan ke atas bayi dalam kandungan kerana ia akan menyumbang kepada ketidakstabilan paras gula tubuh bayi.
“Banyak minuman berkarbonat mengandungi pewarna makanan tiruan, perasa tambahan dan sebagainya. Dengan kandungan gula yang tinggi, ramai wanita hamil berisiko mendapat kencing manis. Tahap risikonya berganda,” ujar Premitha.
Tambahnya, seseorang wanita hamil memerlukan kadar gula yang seimbang supaya keseimbangan tersebut dapat diwarisi oleh bayinya. KANDUNGAN gula yang berlebihan dalam satu tin minuman berkarbonat memudaratkan wanita hamil.
Jelas Premitha, kopi juga seharusnya dihindar oleh ibu hamil daripada menjadi minuman harian. Pengambilan kafein yang terlalu tinggi adalah tidak baik untuk kesihatan bayi, malah beberapa pakar mendedahkan bahawa ia mungkin boleh mendatangkan risiko keguguran sewaktu trimester pertama.
Premitha memberi senarai masalah yang boleh berlaku jika minuman berkarbonat atau kopi menjadi pilihan ibu hamil:
1. Minuman soda atau berkarbonat menyamai sekurang-kurangnya tujuh sudu gula dalam setiap tin. Ini mungkin mendorong kepada masalah berat badan yang naik mendadak, penyakit kencing manis dan beberapa komplikasi lain yang berlanjutan daripada dua penyakit tersebut.
2. Kopi dan teh mengandungi kafein. Jika sebelum ini anda penggemar kafein, elakkan pengambilan kedua-dua jenis minuman itu secara harian. Kafein yang tinggi boleh menjejaskan proses perkembangan kandungan dan menyebabkan perubahan hormon tubuh.
3. Kafein juga mengakibatkan diuresis, iaitu keadaan yang menyebabkan pundi kecing menjadi aktif. Badan boleh kehilangan air secara berlebihan akibat terlalu kerap kencing

MALU BILA BUAT DOSA

Dari An Nawwas bin Sim ‘an RA, dari Nabi SAW bersabda : Kebaikan itu ialah elok budi pekerti. Dan dosa itu ialah apa yang bergetar dalam diri engkau dan engkau benci di lihat oleh manusia kepadanya. (Riwayat Muslim) Ulasan Hadis :

1. Di dalam hadis ini, mengandungi nilai akhlak dan budi pekerti yang menjadi ukuran dalam kehidupan seseorang. Ianya diketahui melalui keelokan budi pekerti.
2. Hadis ini menerangkan tentang dua perkara penting, iaitu (kebaikan akhlak) dan (dosa). Kebaikan itu ialah bagus budi pekerti atau sopan, dan ianya terbahagi kepada 2 perkara:
a) Kebaikan sesama manusia dan sekelian makhluk.
b) Kebaikan melaksanakan segala amal ketaatan zahir mahupun batin. Ketaatan Zahir seperti mendirikan solat, bersedekah, sabar dalam ujian dan seumpamanya, manakala Ketataan batin seperti keimanan kepada ALLAH, alam ghaib dan sebagainya.
3. Manakala yang dimaksudkan dosa pula di dalam hadis ini ialah ; “apa yang bergetar di hati dan engkau benci di lihat orang “. Ialah perbuatan dosa atau haram yang dilakukan seseorang sehingga zahir perasaan takut dan gerun hingga berdebar-debar, bimbang dan cemas dan tidak suka jika dilihat dan diketahui orang lain.
4. Setiap perbuatan kita hendaklah berlandaskan ilmu dan akal, yang didasari dengan iman. Manusia sering lemah dan tunduk dengan hawa nafsu hingga lenyaplah iman, bila iman tiada maka ketika itu dia tidak lagi takut lagi untuk melakukan kesalahan. Bermula daripada kesalahan akan terhasillah budi pekerti yang tidak baik dan tercetuslah dosa.
5. Justeru, Nabi SAW memberi pengajaran yang sangat penting, 2 perkara yang dinyatakan Baginda sudah cukup untuk menjadikan kita seorang hamba yang bertaqwa kepada ALLAH SWT.
6. Beryukurlah andai kita sentiasa mahukan kebaikan kepada diri dan menginsafi diri daripada melakukan dosa. Itu tanda ALLAH masih mahukan kebaikan kepada kita, andai kita tidak mahu kebaikan dan buta hati daripada merasakan dosa itu adalah dosa itu tanda DIA telah jauhkan kita daripadaNYA. NAUZUBILLAH. WALLAHU’ALAM


Wednesday, March 17, 2010

TYT. Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Di Australia Turut Serta Dalam Audit Pemantauan Rumah Sembelih Di Australia


Audit Pemantauan Rumah Sembelih adalah merupakan program berkala yang dilaksanakan oleh Atase Halal di Australia terhadap 27 buah premis rumah sembelih yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia untuk mengeksport daging halal ke Malaysia.

Pada 4 Mac 2010 yang lalu, Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Dato’ Salman bin Ahmad telah sudi melapangkan masa untuk turut serta di dalam program Audit Pemantauan yang dilaksanakan oleh Atase Halal Australia, Dr. Sirajuddin Suhaimee terhadap Southern Meat Pty. Ltd., Goulburn, New South Wales.

Program audit yang dilaksanakan antara jam 10 pagi hingga 12 tengahari telah memberikan pendedahan kepada TYT. Pesuruhjaya Tinggi Malaysia mengenai prosedur pelaksanaan audit pematuhan berdasarkan MS 1500:2009 dan juga proses yang dilaksanakan oleh rumah sembelih yang mengeluarkan daging halal.

Sesi audit turut disertai oleh wakil Australian Quarantine and Inspection Services (AQIS) Dr. Michael Hibbert dan wakil Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) Dr. Mohamed Helmy sebagai Badan Pensijilan Halal yang bertanggungjawab memantau rumah sembelih berkenaan.

bahana cinta sebelum kahwin

-pasti kelak diriku ibarat lembu yang ditarik hidung oleh nafsu
- menyibukkan hati merindui makhluk yang tidak halal bagiku seumpama membuka pintu bagi syaitan menjalankan jarumnya utk melupakanku drpda-Nya
-hati akn t'siksa dengan barah rindu
-rindu palsu akn membelenggu minda hingga ia t'jajah dan t'hina d'bawah jajahan syaitan
-cinta lalai akn menyebabkanku alpa drpa mempersiapkan diri utk keperluan dunia dan akhirat
-aku boleh menjadi tak rasional b'fikir jika benar-benar mabuk cinta
-fitrah cinta ibarat racun yang akan membunuh akal,jiwa dan perasaan
-jiwaku t'ganggu dalam menilai yang mana baik, mana yang buruk utk diriku
-jika aku dan dia berjaya melangkah ke alam rumah tangga nescaya terbina atas dasar maksiat, yang mengundang padah kepada peribadi zuriat kami pastinya

Nauzubillah !!
Subhanallah !!
Astaghfirullah !!

1Halal1Malaysia

sebernarnya penulis pun tdk tau nak komen..apa "requied" apa yang "optional"..bagi penulis yang "required"..ialah x perlu pergi.."optional"..pilihan ialah x perlu pergi jg..haha...ssh pada akhir zaman sekarang..amat menyedihkan..ia berlaku..dinegeri bersejarah..negeri yang mana mengambarkan negara Malaysia kalau dimata dunia..nak tahu mcne malaysia tengokla pada negeri bersejarah..Ya Allah..semoga..pemuda & pemudi kita selamat daripada fitnah ini..kalau takut dilambung ombak..jgn bermain ditepi pantai..kalau takaut dibakar api neraka..jgn bermain dgn maksiat..sekian..

Sunday, March 14, 2010

Elak ke kopitiam tanpa sijil halal Jakim

KUALA LUMPUR 14 Mac – Umat Islam diminta menggunakan kuasa pengguna dengan mengelakkan diri daripada mengunjungi kedai kopi atau kopitiam yang tidak mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana statusnya meragukan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, umat Islam harus sedar ketiadaan sijil halal Jakim akan mendedahkan mereka untuk makan atau minum bahan-bahan yang tidak dapat dipastikan, sama ada ia halal atau sebaliknya.
Katanya, Islam amat menitikberatkan soal makanan kerana daripadanya ia akan membentuk sahsiah, peribadi dan jati diri seseorang.

“Semuanya ini terpulang kepada kesedaran umat Islam sendiri. Dalam soal makanan, kita harus lebih berhati-hati, peka dan prihatin kerana makanan ini yang akhirnya menjadi darah daging kita.

“Ini tidak, tengok sahaja pekerjanya bertudung, ada rupa Melayu sedikit, kita kata kedai itu halal. Belum tentu lagi halalnya,” kata Mashitah kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Seruan Mashitah ini dibuat berikutan sebahagian besar kopitiam di seluruh negara masih gagal mendapatkan sijil halal Jakim walaupun pelbagai pendedahan dibuat oleh media sebelum ini.

Semakan senarai terkini pengesahan sijil halal Jakim di www.halal.gov.my mendapati jumlah kopitiam yang mempunyai sijil halal di negara ini masih kekal dua iaitu Pak Hailam Kopitiam Sdn. Bhd., dan Jonker Walk Kopitiam Sdn. Bhd.

Tempoh sah sijil halal Pak Hailam Kopitiam sehingga 15 Februari 2012, manakala Jonker Walk Kopitiam sehingga 15 Februari 2013.

Beliau berkata, pihaknya tidak boleh memaksa setiap kopitiam mendapatkan sijil halal Jakim kerana ketiadaan undang-undang untuk menguatkuasakannya.

Beliau menjelaskan, setiap permohonan halal mana-mana syarikat yang berasaskan makanan akan diaudit oleh Jakim dari segala segi, antaranya penyediaan makanan, dapur, bahan asas digunakan dan tahap kebersihan.

“Sekiranya ada salah satu elemen tidak mencapai piawaian, permohonan mereka untuk mendapatkan sijil halal terpaksa kita tangguhkan sehinggalah setiap standard yang ditetapkan dipenuhi,” katanya.

Thursday, March 11, 2010

ASAS HALAL DAN HARAM DALAM ISLAM

Pengenalan

Firman Allah S.W.T:
“Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa-apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata bagimu.”
(al-Baqarah: 168)

Daripada Abi Abdillah Al-Nu’man bin Bashir r.a berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:
“Yang halal adalah jelas dan yang haram juga jelas, tetapi di antara keduanya terdapat juga perkara yang belum jelas (syubhah) yang tidak diketahui oleh kebanyakkan orang.”

Sumber hukum

Para Fuqaha dalam menentukan batasan pengharaman sesuatu makanan atau minuman adalah berpandukan kepada sumber berikut :
•Al-Quran
•Hadis
•Qias & Ijma’ Ulama’

Apakah makanan halal?

•Makanan dan minuman serta ramuannya yang dibenarkan oleh hukum Syarak
•Tidak mengandungai apa-apa bahan yang tidak halal dan najis, beracun, memabukkan, memudaratkan kesihatan dan tidak selamat dimakan

Definisi halal, haram dan masbuh

Halal: Dari segi perkataan bermaksud dibenarkan (lawful). Ia merujuk kepada makanan/minuman yang diizinkan dan tidak berdosa memakannya berdasarkan prinsip undang undang Islam.
Haram: Dari segi perkataan bermaksud tidak dibenarkan (unlawful). Ia merujuk kepada makanan/minuman yang tidak dibenarkan mengikut undang undang Islam.
Masbuh/Syubhah (suspect): bermaksud meragukan. Ia merujuk kepada sesuatu pemakanan yang tidak jelas status hukumnya apakah ia halal atau haram.

Kuaci import guna logo halal meragukan



Posted by PicasaKAJANG 10 Mac - Kuaci jenama ini memang diiktiraf sebagai pilihan nombor satu rakyat Malaysia. Meskipun makanan ini diimport dari China tetapi pembeli beragama Islam tidak berasa was-was untuk menikmatinya kerana ia mempunyai logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada bungkusannya. Namun, alangkah mengejutkan kerana setelah 10 tahun berada di pasaran, produk makanan itu didapati menggunakan logo halal Jakim palsu. Penipuan syarikat itu terbongkar selepas lapan pegawai penguatkuasa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Jakim memeriksa gudang syarikat pengedar kuaci terbabit di Taman Perindustrian Balakong Jaya 2 di sini hari ini. Pengarah Bahagian Hub Halal Jakim, Saimah Mukhtar berkata, tindakan pemalsuan atau penggunaan sijil tanpa kebenaran adalah tidak adil kepada pihak industri yang mematuhi syarat memperolehi sijil halal berkenaan. "Jakim tidak mengatakan bahawa kuaci terbabit haram dimakan tetapi apa yang menjadi persoalan adalah penggunaan logo halal tanpa sijil pada produk itu," katanya ketika ditemui selepas pemeriksaan itu hari ini. Sehubungan itu, katanya, syarikat terbabit diarahkan membuat permohonan kepada Jakim untuk mendapatkan sijil halal yang sah jika mahu menjual produk tersebut. Terdahulu, lawatan mengejut pegawai kementerian dan Jakim menyebabkan berlaku kekecohan apabila pihak pengurusan syarikat enggan bekerjasama sebaliknya bertindak mempertikaikan kuasa dan tindakan mereka memeriksa syarikat tersebut. Lebih mengejutkan, pihak pengurusan syarikat bertindak mengunci pintu pagar dan bangunan kilang menyebabkan pegawai kementerian dan Jakim terkurung dalam pejabat syarikat itu selama lebih 30 minit. Situasi mencemaskan itu memaksa sepasukan polis dari Balai Polis Taming Jaya bergegas ke kilang itu untuk meredakan ketegangan dan memujuk pengurus syarikat supaya memberi kerjasama. Selepas diasak pelbagai soalan, lelaki itu akhirnya mendakwa mempunyai sijil halal daripada sebuah syarikat perunding swasta yang menawarkan perkhidmatan memperolehi sijil halal daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIP). Bagaimanapun, siasatan mendapati sijil halal ditunjukkan itu tidak pernah diiktirafkan oleh JAIP termasuk Jakim berdasarkan maklumat meragukan dan status individu yang menurunkan tandatangan pada sijil berkenaan. Dalam pemeriksaan itu, 710 kotak berisi lebih 100,000 bungkus kuaci bernilai hampir RM100,000 dirampas untuk siasatan lanjut.
komen penulis...taniah JAKIM..teruskan usha..mencari halal fardu bagi kita..syukran Otaiku..UStaz Amri Abdullah.

Tuesday, March 9, 2010

Jus guna sijil halal Jakim palsu dikesan

PETALING JAYA 9 Mac - Pembungkusan produk minuman ini memang menarik, ditambah pula ia mempunyai pengesahan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Justeru, tidak hairanlah jika minuman jus buah-buahan keluaran syarikat tempatan ini mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.
Namun, selama ini pembeli ruparupanya ditipu apabila hasil pemeriksaan Jakim ke atas produk terbabit mendapati 'sijil halal' itu sebenarnya dokumen palsu yang sudah diubah suai menyerupai sijil asli.
Sepasukan pegawai penguat kuasa dari Jakim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya bertindak memeriksa syarikat terbabit selepas menerima aduan daripada orang ramai yang curiga dengan logo halal dipamerkan pada botol minuman tersebut.
Pemeriksaan yang dibuat di syarikat itu yang terletak di Damansara pukul 1 tengah hari ini diketuai Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah.
Jurucakap KPDNKK memberitahu, ketika pemeriksaan dilakukan, dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an muncul dan mendakwa mereka pemilik syarikat berkenaan.
"Mereka mendakwa sebelum ini pernah membayar sejumlah wang kepada syarikat perunding khas untuk mendaftarkan perniagaan dan memperolehi sijil halal Jakim bagi produk jus buah-buahan yang dipasarkan di seluruh negara.
"Bagi membuktikan dakwaan itu, mereka menunjukkan salinan sijil halal Jakim yang didakwa dikeluarkan oleh syarikat perunding terbabit," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Namun, katanya, selepas disemak dan diteliti, pegawai Jakim berasa ragu dengan maklumat tertera pada logo halal tersebut.
Antara perkara yang meragukan katanya, ialah individu yang menurunkan tanda tangan pengesahan pada sijil terbabit dan tempoh ia diperakui.
Jelasnya, pada sijil halal terbabit dinyatakan tempoh ia diperakui ialah untuk setahun sahaja sedangkan sijil halal yang dikeluarkan oleh Jakim sah digunakan bagi tempoh dua tahun.
"Apa yang pasti, sijil halal ditunjukkan itu sudah diubah suai maklumatnya tanpa kebenaran dan ia jelas satu penipuan terancang yang sukar dikenal pasti oleh agensi penguat kuasa lain jika tidak dilihat secara teliti," ujarnya.
Beliau berkata, pemilik syarikat terbabit mendakwa tidak tahu menahu berhubung sijil halal Jakim palsu itu dan meletakkan kesalahan kepada syarikat perunding.
Malah, katanya, seorang daripada pemilik syarikat terbabit mendakwa sedang membuat permohonan berasingan sijil halal Jakim melalui laman web e-halal yang disediakan jabatan itu bagi memudahkan urusan permohonan melalui laman web.
Tambahnya, KPDNKK kemudian merampas ratusan kotak produk minuman keluaran syarikat terbabit kerana kesalahan menggunakan sijil halal Jakim tanpa kebenaran.
"Pemilik syarikat ini boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sunday, March 7, 2010

MAIS haramkan logo halal swasta


SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) semalam membuat keputusan mengharamkan penggunaan sijil halal keluaran enam buah syarikat swasta di negeri ini berkuat kuasa serta-merta.
Kesemua syarikat itu yang selama ini mengeluarkan sijil halal kepada kira-kira 100 pengusaha restoran dan makanan di negeri ini dilarang menerima permohonan baru untuk mendapatkan sijil tersebut.
Keenam-enam syarikat terbabit ialah Bahtera Lagenda Sdn. Bhd., Islamic Food and Research Council (IFRC), SAS-H Consultancy, Perak Religious Officer Association, Halal Food Council S.E.A dan IFANCA International.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, bagi pengusaha premis pula, mereka diarahkan supaya tidak lagi menggunakan logo halal terbabit sebaliknya perlu segera membuat permohonan semula dengan pihaknya atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Katanya, tindakan tegas itu diambil ekoran terdapat pelbagai logo halal keluaran syarikat swasta yang tidak diiktiraf telah dikesan berada di pasaran menyebabkan berlaku kekeliruan di kalangan masyarakat Islam.

Jamil Khir sokong tindakan MAIS

KUALA LUMPUR – Tindakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengharamkan penggunaan logo Halal yang dikeluarkan enam syarikat swasta adalah tepat dalam memastikan sesuatu produk halal yang dijual mengikut hukum syarak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, jika sijil halal dikeluarkan syarikat swasta tanpa kawalan, ia akan menimbulkan pelbagai keraguan di kalangan pengguna kelak.
"Syarikat swasta yang tidak mengikut prosedur ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan majlis agama Islam negeri akan menyebabkan syarikat swasta yang lain akan melakukan perkara yang sama dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan sijil halal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis konvokesyen ke-5, Kolej Islam Antarabangsa, Gombak dekat sini hari ini.
Jamil Khir diminta mengulas laporan akhbar hari ini yang mengatakan MAIS mengharamkan serta-merta penggunaan logo halal yang dikeluarkan enam syarikat swasta di semua restoran, kafe, hotel dan medan selera di Selangor.

Enam syarikat terbabit ialah Bahtera Lagenda Sdn. Bhd., Islamic Food and Research Council (IFRC), SAS-H Consultancy, Perak Religious Officer Association, Halal Food Council SEA dan IFANCA International. – Bernama