Tuesday, May 31, 2011

myMetro | ‘Kami kerugian’




myMetro | ‘Kami kerugian’

KUALA LUMPUR: “Sebagai seorang Islam tidak mungkin kami menjual minuman tidak halal kepada saudara seagama,” kata Pengarah Suria Wholesaler Sdn Bhd, Ahmad Al Yateem, pengedar minuman malta berjenama Barbican yang dikaitkan dengan bir halal yang kini dipersoalkan kandungan alkohol di dalamnya.

Ahmad berkata, jualan Barbican yang sudah berada dalam pasaran tempatan sejak enam tahun lalu terjejas teruk sejak timbul isu minuman bir halal mempunyai kandungan alkohol sehingga 0.5 peratus melebihi kadar yang dibenarkan untuk pengguna Islam.


Menurutnya, Barbican tidak pernah dilabelkan sebagai bir halal selama ini sebaliknya hanya minuman malta berperisa buah-buahan.

“Bagaimanapun sejak isu itu timbul banyak media menggunakan gambar Barbican sehingga mengelirukan pengguna.


“Saya ingin tegaskan Barbican tidak mengandungi alkohol malah anda boleh temui minuman ini dijual di Masjidil Haram di Makkah untuk umat Islam di sana,” katanya.


Ahmad berkata, Barbican dikeluarkan syarikat Aujan Industries Co yang berpusat di Dubai dan dipasarkan di seluruh negara Arab selain Asia serta Eropah untuk pengguna Islam.

“Kami mempunyai sijil daripada Kementerian Kesihatan Dubai, sijil untuk eksport dan sijil halal daripada Islamic Food Research Centre Malaysia & Asia Region (IFRC Asia). Kami sama sekali tidak menjual minuman yang mengandungi alkohol kepada umat Islam.


Dia bagaimanapun mendakwa isu itu mungkin timbul disebabkan persaingan berikutan Barbican semakin menjadi pilihan umat Islam di negara ini.

“Saya tidak tahu sama ada minuman yang dikatakan bir halal yang dijual di sini mengandungi alkohol atau tidak tetapi apabila ada pihak mengaitkan dakwaan itu dengan Barbican sudah tentu ia menjejaskan perniagaan kami.


“Isu ini mungkin juga disebabkan persaingan namun saya tidak mahu menuduh sesiapa dan pada masa sama saya juga merancang untuk bertemu pihak Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) bagi menyelesaikan kekeliruan ini,” katanya.

Sunday, May 29, 2011

Beku Permohonan Sijil Halal - Khairy

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN

PETALING JAYA: Pemuda Umno menggesa kerajaan membekukan permohonan sijil halal sehingga satu kajian terperinci mengenainya selesai dijalankan.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata satu proses pengauditan yang komprehensif perlu segera dijalankan oleh sebuah badan bebas terhadap proses kelulusan permohonan sijil halal oleh Jabatan Kebajikan Islam (Jakim), dan Majlis Agama Islam Negeri.

“Kita gusar, malah ia menimbulkan tanda tanya mengenai proses pengeluaran sijil halal serta pemantauan yang dilaksanakan.

“Ini termasuk, bagaimana syarikat-syarikat terbabit mendapat sijil halal dan kekerapan serta keberkesanan sistem pemantauan pihak berkuasa terhadap pemegang sijil halal,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, Rabu.

Jelasnya, kerajaan perlu mengkaji dan memantau semua 52 badan pensijilan halal di luar negara yang tidak diiktiraf oleh Jakim dalam mengeluarkan sijil halal.

“Pemantauan kerap dan menyeluruh perlu dilaksanakan ke atas pemegang sijil bagi memastikan mereka mengikut garis panduan.

Khairy berkata, pihaknya berasa terkejut dengan pendedahan Mesyuarat Panel Pengesahan Halal mengenai penemuan asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam bahan ramuan yang digunakan sebuah syarikat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, pemberian sijil halal penting kerana majoriti penduduk negara beragama Islam dan akan berasa tertipu jika produk makanan didapati mempunyai najis berat dan haram di sisi agama.

“Sikap sebilangan pengusaha makanan yang tidak peka dengan sensitiviti umat Islam mengecewakan.

“Terdapat lebih 2,000 hotel dan resort di seluruh negara, tetapi hanya 366 yang memiliki sijil halal yang diiktiraf,” katanya.

Baru-baru ini Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia mendedahkan penemuan mengejutkan iaitu DNA babi di dalam bahan ramuan Whole Egg Powder dan Whole Milk Powder yang digunakan syarikat Puratos Malaysia Sdn. Bhd.

Lebih memeranjatkan, blog Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), http://persatuanpenggunaislammalaysia.blogspot.com turut mendakwa bahawa bahan-bahan berkenaan kini dikatakan digunakan oleh rangkaian kedai pembuat kek terkenal dalam produk mereka yang sebahagian besar pelanggan adalah masyarakat Islam.

Laman web www.halal.gov.my milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyebut, mesyuarat yang diadakan pada 12 Mei lalu memutuskan permohonan Puratos Malaysia Sdn Bhd adalah tidak berjaya berikutan penemuan DNA babi berkenaan.

Jakim turut menyenaraikan bahan makanan itu digunakan rangkaian kedai kek berkenaan.


http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/5/26/mstar_berita/20110525153010&sec=mstar_berita

Secret Recipe Tidak Guna Tepung Keluaran Puratos

PETALING JAYA: Secret Recipe menyangkal dakwaan mempunyai kaitan dengan Puratos Malaysia Sdn. Bhd. sehingga ramuan kek keluaran syarikat itu dikatakan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.

Sebaliknya khabar angin itu timbul ekoran syarikat tersebut menggunakan perkataan umum 'secret recipe' pada produk mereka.

Eksekutif Halal Secret Recipe, Wan Zawani Wan Ahmad berkata, pihaknya kesal dengan hebahan dalam beberapa blog yang mendakwa mereka menggunakan dua bahan ramuan yang dikenal pasti mengandungi gelatin babi.

"Kami tidak menempah dan menggunakan bahan ramuan yang dikeluarkan syarikat itu. Dua jenis produk yang dikenal pasti itu menggunakan perkataan 'secret recipe' secara kebetulan," katanya.

Menurut Wan Zawani, kek keluaran Secret Recipe dihasilkan menggunakan bahan ramuan halal dan mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pada Isnin, mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia mendedahkan penemuan mengejutkan iaitu asid deoksiribonukleik (DNA) babi di dalam bahan ramuan Whole Egg Powder dan Whole Milk Powder yang digunakan syarikat Puratos Malaysia Sdn. Bhd.

Sementara itu, laman web www.halal.gov.my milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyebut, mesyuarat yang diadakan pada 12 Mei lalu memutuskan permohonan Puratos Malaysia Sdn Bhd adalah tidak berjaya berikutan penemuan DNA babi berkenaan.

Zawani berkata, pihaknya tidak pernah menggunakan bahan keluaran syarikat Puratos Malaysia Sdn Bhd, sebaliknya menggunakan beberapa bahan diambil dari rangkaian syarikat sama yang beroperasi di Belgium.

"Semua ramuan yang diimport juga mempunyai persijilan halal luar negara yang mendapat perakuan halal daripada Jakim," katanya.

Zawani berkata, jika terdapat sebarang kemusyikan berhubung perkara ini, anda boleh berhubung terus dengan pihak Secret Recipe di talian 03-78034891


http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/5/26/mstar_berita/20110526180652&sec=mstar_berita

Umat Islam diingatkan tak minum 'bir halal'



Umat Islam di negara ini diingatkan supaya tidak meminum sejenis bir yang didakwa halal oleh syarikat pengedarnya kerana didapati mengandungi alkohol melebihi had yang dibenarkan syarak.

NONEMenteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata dakwaan syarikat itu bahawa kandungan alkohol cuma 0.01 peratus adalah tidak benar selepas ujian makmal mendapati kandungannya sebanyak 0.5 peratus.

Katanya Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) bersama Majlis-Majlis Agama Islam Negeri akan bertindak menyekat penjualan minuman itu kepada umat Islam.

"Kita akan merujuk kepada Jabatan Kastam diRaja Malaysia (KDRM) untuk mendapatkan maklumat lebih jelas," kata Jamil Khir kepada pemberita selepas menutup program Juara Rakyat anjuran Umno Bahagian Padang Serai di Padang Awam Pekan Sungai Karangan, petang semalam.

Akhbar semalam melaporkan mengenai penjualan 'bir halal' di pasaran yang semakin popular di kalangan umat Islam dan dikesan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) baru-baru ini.

beer alcohol banAkhbar berbahasa Melayu yang memetik satu sumber berkata, JAIJ mengambil contoh minuman itu untuk diuji di makmal dan hasilnya mendapati bir tersebut dihasilkan dari pelbagai perisa buah-buahan mengandungi 0.5 peratus alkohol.

JAIJ kemudian memaklumkan kepada JAKIM dan KDRM supaya mengambil tindakan sewajarnya termasuk menghentikan penjualannya jika perlu.

Akhbar itu turut memetik Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsuddin sebagai berkata bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan kandungan alkohol dalam makanan serta minuman yang dibenarkan syariat Islam ialah tidak melebihi 0.01 peratus.

Katanya ulama bersepakat menetapkan jumlah alkohol dengan kuantiti itu kerana ia boleh terhasil dalam makanan dan minuman secara semulajadi.

NONEMinuman yang diimport dari sebuah negara Islam di Timur Tengah itu banyak terdapat di kafe-kafe di negara ini yang dijual antara RM3 hingga RM5 sebotol.

"Dalam keadaan tidak pasti, saya ingin menasihatkan umat Islam berhenti meminum minuman itu supaya tidak terperangkap dalam situasi yang mengelirukan," kata Jamil Khir.

Sebelum itu, dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa kesal kerana ada pihak-pihak yang ghairah mempermainkan institusi Mufti dan melabelkan mufti ke taraf terendah dan menyifatkan perbuatan itu sebagai biadap dan menghina agama.

Wednesday, May 18, 2011

Jakim sahkan susu 1Malaysia halal

YAN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan logo halal pada kotak susu 1Malaysia yang diragui statusnya sejak mula diagih secara percuma kepada pelajar sekolah mulai 11 Mei lalu, adalah produk yang mematuhi prosedur dan piawaian halal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, meskipun produk itu dikeluarkan di Korea, ia mematuhi piawaian halal berdasarkan penilaian Jakim dan badan Islam di negara berkenaan. Katanya, banyak produk keluaran badan Islam dari negara luar ketika ini dijual menggunakan logo halal selain logo dikeluarkan Jakim, namun ia tetap perlu mematuhi peraturan dan piawaian negara ini sebelum boleh dipasarkan. “Terdapat badan Islam luar negara yang mengeluarkan produk mereka sendiri dan kini dipasarkan secara meluas di Malaysia, namun ia memenuhi piawaian serta peraturan ditetapkan Jakim. “Dalam hal ini, Jakim sendiri membuat pengawasan dan penilaian terus terhadap produk itu sebelum ia boleh dipasarkan sebagai produk halal di negara ini. “Di peringkat kementerian juga kita ketika ini sedang berusaha untuk membolehkan isu halal ini diselaraskan dan hal berkaitan Akta Perihal Dagangan 1972 berhubung isu halal akan dibentangkan di Parlimen Jun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Surau Haji Yaacob di Kampung Batu 16, Padang Lumat, Guar Chempedak, di sini, semalam.

Monday, May 16, 2011

Proses sampah jadi makanan



Oleh ROZIANAH RISMAN
pengarang@utusan.com.my


Othman Nawang (kanan) memeriksa pelbagai barangan seperti susu tin, coklat dan ubat gigi tamat tempoh yang dikitar semula untuk dijual di Gombak, dekat Kuala Lumpur, kelmarin.

KUALA LUMPUR 11 Mei - Kegiatan sebuah premis yang mengaut keuntungan segera dengan membeli barangan runcit tamat tempoh sebelum menjualnya semula kepada orang ramai tumpas apabila diserbu pihak berkuasa di Kampung Sungai Salak, Batu 10, Jalan Gombak, dekat sini malam semalam.

Serbuan di rumah banglo tersebut dilakukan 10 anggota dan pegawai penguat kuasa dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Selangor, pukul 10.15 malam.

Modus operandi digunakan adalah membeli secara pukal atau mengutip barangan runcit tamat tempoh dari tong dan tempat pelupusan sampah, kedai dan kilang-kilang sebelum membersih dan melabel semula tarikh luput.

Dalam serbuan hasil maklumat awam dan risikan, sebanyak 3,500 pelbagai jenis produk makanan bernilai kira-kira RM30,000 yang dipercayai untuk dijual di pasaran sekitar Gombak dirampas.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNKK Selangor, Othman Nawang berkata, ketika serbuan, terdapat dua pekerja wanita warga tempatan dan Indonesia, masing-masing berusia 50-an dan 34 tahun leka membersihkan botol susu.

"Bahan yang dibersihkan itu kemudian diletakkan di sesuatu tempat sebelum proses melupuskan cop tarikh luput dilakukan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian dekat sini malam semalam.

Tambahnya, barangan runcit pelbagai jenama termasuk terkenal yang telah dibersihkan akan dihantar kepada beberapa pengusaha restoran, kedai runcit dan gerai-gerai kecil.

"Barangan runcit itu dihantar ke tempat yang membuat tempahan sama ada menggunakan bungkusan baru atau tanpa sebarang pelekat," jelasnya.

Othman memberitahu, selain produk makanan seperti susu tin, susu segar, teh, serbuk koko, bahan kegunaan harian yang telah rosak turut dijual semula antaranya sabun, lampin pakai buang, tuala wanita, ubat gigi dan losen.

"Malah lebih mengejutkan apabila pembekal itu turut menjual aiskrim yang dihasilkan daripada bahan yang telah rosak kepada pelajar-pelajar melalui penjaja di luar sekolah," jelasnya.

Katanya, pihaknya akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti suspek terlibat menjalankan kegiatan itu mengikut Akta Perihal Dagangan 1972.

Haram guna hormon khinzir

Oleh Norliza Abd. Rahman
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 13 Mei - Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa penggunaan ubat Clexane dan Fraxiparine yang mengandungi hormon babi untuk pesakit jantung adalah haram.

Setiausahanya yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha menegaskan, penggunaan kedua-dua jenis ubat itu ditegah kerana ia dihasilkan daripada sumber yang diharamkan Islam.

''Penggunaan ubat tersebut yang dianggap darurat kepada pesakit jantung bagi mencegah formulasi pembekuan darah secara serta-merta ketika pesakit berada pada tahap kronik adalah ditegah.

''Ini kerana pada masa ini terdapat alternatif ubat iaitu Arixtra yang dihasilkan daripada sumber halal dan mempunyai fungsi serta keberkesanan yang sama dengan Clexane dan Fraxiparine," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Othman mengulas tulisan Rozmal Malakan http://waghih.blogspot.com dalam ruangan forum pada 9 Mei lalu bahawa seorang doktor bukan Islam bertanya kepada bapanya yang sedang mendapatkan rawatan di Hospital Tampin, sama ada sanggup menerima suntikan hormon babi atau tidak untuk merawat penyakit jantungnya.

Menurut doktor tersebut, hormon babi adalah yang terbaik untuk pesakit jantung kerana dapat mencairkan darah dengan segera.

Bagaimanapun, bapa pengadu memilih untuk tidak menerima saranan doktor tersebut walaupun dikatakan ada juga orang Islam menerima suntikan hormon babi untuk rawatan sakit jantung.

Jelas Othman, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Kali ke-87 yang bersidang pada 23 hingga 25 Jun 2009 telah membincangkan hukum penggunaan ubat Clexane dan Fraxiparine.

Anggota majlis, katanya, memutuskan Islam menegah penggunaan ubat daripada sumber yang haram bagi mengubati sesuatu penyakit.

Melainkan ia dalam keadaan tiada ubat daripada sumber yang halal ditemui dan bagi menghindari kemudaratan mengikut kadar yang diperlukan sahaja sehingga ubat daripada sumber yang halal ditemui.

''Dalam hal ini, kita sudah ada ubat alternatif iaitu Arixtra. Justeru umat Islam mempunyai pilihan untuk mendapatkan ubat yang halal dan situasi di negara ini juga tidak darurat," katanya.

Elak guna penapis air

Oleh Shuhada Mansor
darmansor@hmetro.com.my

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KAJANG: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) tidak menggalakkan orang ramai memasang alat penapis air pada meter air utama rumah mereka kerana ia menyebabkan air yang ditapis mudah dicemari bakteria.

Pengarah Eksekutif, Bahagian Kualiti Air, Aset dan Sumber Strategik Syabas, Roowina Merican A Rahim Merican, berkata air yang ditapis itu tidak mempunyai kandungan klorin menyebabkan bakteria seperti E. coli dan Coliform sukar untuk dihapuskan kerana tiada tindak balas dengan klorin.


“Air yang bertakung di dalam tangki simpanan air rumah mudah untuk dicemari bakteria ini kerana kitaran tidak kerap berlaku disebabkan penggunaan air yang tidak banyak oleh pengguna,” katanya pada Kempen Kesedaran Pengguna Mengenai Kualiti Air di Universiti Tenaga Nasional.

Beliau berkata, sebagai pengguna kita tidak setiap hari menggunakan air, jadi apabila air yang dicemari itu digunakan ditambah pula kandungan karat dari tangki yang masuk ke dalam air, ia memberi kesan buruk kepada pengguna seperti gatal badan.


Bagi kategori rumah teres, air dari meter utama disalurkan kepada dua bahagian iaitu terus ke singki dapur dan dipam naik ke tangki simpanan air yang terdapat di setiap rumah manakala, bagi kategori rumah bertingkat pula, penduduk dari tingkat bawah sehingga tingkat empat menerima bekalan air terus dan penduduk tingkat seterusnya dibekalkan air dari tangki simpanan.


“Penggunaan penapis air adalah hak individu dan kami tidak menghalang jika orang ramai mahu memasang alat penapis air ini di rumah mereka,” katanya.

Menurutnya, apa yang penting, Syabas yakin dengan kualiti air yang dibekalkan kepada 7.3 juta pengguna yang menepati piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah program Kawalan Mutu Air Minimum Kebangsaan.


“Pengetahuan mengenai kualiti air ini akan diteruskan dalam Kempen Kesedaran Pengguna yang dianjurkan Syabas setiap bulan ditujukan kepada semua pengguna termasuk domestik dan komersial di samping bersama-sama memikul tanggungjawab dalam memastikan air yang diminum sentiasa bersih,” katanya.

Hadir sama, Pengurus Besar Kanan, Jabatan Kualiti Air dan Aset Syabas, Muhamad Darif Idris dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Alumni dan Pengurusan Uniten, Prof Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha.

Sunday, May 8, 2011

Jakim tarik balik sijil halal

PUTRAJAYA: Sijil pengesahan halal sebuah syarikat pengeluar daging dan produk nilai tambah berasaskan ayam seperti sosej dan bebola daging yang beribu pejabat di Pulau Pinang ditarik balik serta-merta berikutan penemuan Deoxyribonucleic Acid (DNA) babi dalam produk keluaran syarikat terbabit.

Menurut laman web Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), keputusan itu dibuat pada mesyuarat Panel Pengesahan Halal yang diadakan pada 22 April lalu.

“Kajian terhadap produk keluaran syarikat berkenaan mendapati terdapat DNA babi, menyebabkan sijil halal syarikat itu ditarik balik serta-merta.

“Sehubungan itu, semua pemegang atau pemohon baru sijil halal yang menggunakan produk keluaran syarikat terbabit perlu menukar produk itu kepada produk lain yang memiliki sijil halal diiktiraf,” kata kenyataan dalam laman web itu.

Selain itu mereka juga perlu mengemukakan resit pembelian produk baru, melakukan proses samak dan mengemukakan bukti surat akuan samak daripada Jabatan Agama Islam Negeri.

Tindakan itu diambil selepas mendapati syarikat itu melakukan kesalahan serius dalam Pensijilan Halal Malaysia (PHM) kerana membabitkan hukum syarak dan aspek teknikal.

Antara kesalahan membabitkan hukum syarak termasuk pengesahan status tidak halal terhadap produk, bahan ramuan dan peralatan oleh pihak berkuasa agama yang diiktiraf selepas dipersetujui Panel Pengesahan Halal, menggunakan ramuan tidak halal selepas memiliki sijil halal dan menyimpan bahan ramuan atau produk halal dengan tidak halal di tempat sama.

Kesalahan lain termasuk menggunakan peralatan dan perkakasan yang bercampur antara halal dengan tidak halal, memproses kenderaan yang tidak sempurna sembelihannya dan membawa masuk bahan tidak halal ke premis atau syarikat yang mendapat PHM serta menggunakan ‘stunning’ menyebabkan haiwan mati.

Kesalahan dari segi teknikal pula adalah perpindahan premis atau kilang tanpa memaklumkan Jakim, perubahan pengurusan dan nama syarikat tanpa memaklumkan kepada Jakim, penyembelih dan pemeriksa yang tidak memiliki tauliah atau tamat tempoh serta penggunaan ‘stunning’ tidak mengikut piawaian yang ditetapkan