Tuesday, July 12, 2011

Produk sama nama produk haram tidak beri sijil halal

11/07/2011 6:05pm

KUALA LUMPUR 11 Julai – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) tidak mengiktiraf serta memberi sijil dan logo halal kepada produk yang namanya menyamai produk tidak halal.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim berkata langkah itu sejajar dengan piawaian halal yang ditetapkan.

Produk berkenaan termasuk bak kut teh, bir dan bakon yang sebelum ini pernah menggunakan label ”halal” dan ini mengelirukan orang ramai, katanya menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perihal Dagangan 2011, di Dewan Negara, di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, rang undang-undang tersebut apabila dilulus dan diwartakan kelak memperuntukkan hanya sijil halal yang dikeluarkan Jakim dan MAIN saja diterima.

"Rang undang-undang itu juga penting bukan sahaja untuk melindungi pengguna malah menyediakan platform bagi menggalakkan perniagaan serta perdagangan lebih beretika,” katanya.

Rohani berkata rang undang-undang itu juga memberi kuasa penuh kepada Jakim dan Main untuk mengeluarkan sijil serta logo halal bagi mengelakkan kekeliruan dalam kaedah pensijilan sebelum ini.

"Banyak keraguan termasuk dikatakan sijil dan logo halal dikeluarkan secara sewenang-wenangnya. Justeru, dengan kelulusan rang undang-undang itu, pengusaha perlu melihat tarikh luput pensijilan yang diperoleh. Kalau sudah tamat, mereka perlu memohon untuk mendapatkan sijil halal di Jakim atau MAIN,” katanya.

Mengenai peraturan pengeluaran sijil dan logo halal, beliau berkata semua permohonan akan disemak oleh Jakim dan MAIN sebelum sijil dikeluarkan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh pembayaran yuran permohonan dibuat.

Rang undang-undang itu kemudian diluluskan. Dewan Negara sebelum itu meluluskan Rang Undang-undang Petroleum (Cukai Pendapatan)(Pindaan) 2011. - Bernama

Halal: Buat pemeriksaan mengejut

PENGGUNA PRIHATIN
Klang, Selangor

SEBAGAI seorang Islam, saya tertarik dan bertanggungjawab untuk mengemukakan permasalahan mengenai kualiti pembekalan produk-produk halal oleh pihak industri yang selama ini dipantau oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Saya amat mengharapkan keperihatinan pihak Jakim untuk lebih kerap membuat pemeriksaan mengejut ke kilang-kilang atau ke premis-premis perniagaan produk-produk halal, terutamanya dalam industri pembekalan, pemprosesan, penyediaan dan pusat-pusat penyembelihan ayam/daging halal.

Ini kerana terdapat beberapa pusat-pusat penyembelihan ayam/daging halal ini diragui produk keluaran halalnya kerana rata-rata pemilik premis ini merupakan mereka yang bukan beragama Islam.

Malah daripada segi pemahaman mereka mengenai konsep makanan halal adalah terbatas kepada makanan yang selain daripada daging khinzir sahaja.

Ini berbeza dengan konsep makanan halal yang diajarkan oleh Islam iaitu makanan halal meliputi daripada segi penyembelihan, cara penyediaan dan kebersihan kualiti produk yang dihasilkan yang mengikut syariat Islam. Malah ada diantara mereka yang menggunakan khidmat pekerja asing untuk dijadikan sebagai tukang penyembelih.

Oleh itu, pemahaman dan penerangan seumpama ini perlu diberikan oleh pihak Jakim kepada mereka agar kefahaman terperinci mengenai konsep makanan halal mengikut syariat Islam terus terpelihara. Orang ramai pula dapat menikmati produk makanan halal tanpa rasa ragu-ragu.

Oleh itu pemantauan yang beterusan oleh pihak Jakim secara mengejut amat diperlukan bagi menjamim kualiti produk makanan halal yang berterusan.

Diharapkan isu ini dapat membuka mata pelbagai pihak agar dapat diperhalusi secara bijaksana dan tidak dipandang secara sinikal.

Saya mengharapkan tindakan sewajarnya daripada pihak Jakim mengenai isu yang dibangkitkan ini agar masyarakat Islam di Malaysia tidak disajikan dengan produk-produk yang diragui status halalnya.

Tiada kopitiam halal di Selangor

SERDANG – Tidak ada satu pun daripada kira-kira 180 buah premis kopitiam di Selangor mempunyai sijil halal yang diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Malah, daripada jumlah itu, kira-kira 10 peratus atau 18 premis kopitiam sahaja dari negeri itu yang memohon pensijilan halal daripada JAIS dan Jakim.

Pengarah JAIS, Marzuki Hussin berkata, setakat ini, pihaknya masih belum mengeluarkan sijil halal kepada mana-mana premis kopitiam di Selangor.

“Selangor belum ada kopitiam yang dapat sijil halal daripada JAIS walaupun kita ada buat pengumuman supaya mereka (pengusaha kopitiam) memohon untuk mendapatkannya.

“Sehingga kini, permohonannya ada tapi kurang iaitu kurang daripada 10 peratus sahaja yang memohon sijil halal daripada JAIS atau Jakim,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar kesedaran dan kepenggunaan halal Negeri Selangor di sini semalam.

Sunday, July 10, 2011

Minda Pengarang: Akta Perihal Dagangan 2011 basmi salah guna logo halal

2011/06/30
ISU halal dan haram sudah lama menjadi topik perbincangan di negara ini, khususnya dalam soal penyediaan makanan di restoran milik bukan Muslim dan penyembelihan haiwan ternakan mengikut hukum syarak. Selain itu, terdapat sebilangan restoran bukan Muslim menampal poster atau menggantung ayat suci al-Quran pada dinding premis mereka bagi meyakinkan pelanggan Muslim bahawa makanan yang disediakan adalah halal. Perbuatan ini bukan perkara baru kerana sudah lama dilakukan dengan bebas oleh kebanyakan pemilik restoran bukan Muslim. Hanya segelintir saja dikenakan tindakan pihak berkuasa tempatan, manakala yang lain dibiarkan meneruskan perniagaan tanpa sebarang tindakan.

Yang anehnya, orang Melayu juga tidak begitu menghiraukan status halal atau haram makanan disediakan restoran terbabit. Asalkan ada ayat suci al-Quran, itu sudah memadai dan dianggap sebagai halal, sedangkan kalau diperhatikan kebanyakan premis berkenaan turut menjual minuman keras atau arak. Banyak juga restoran bukan Melayu turut mempamerkan logo halal tanpa pengesahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau pihak berkuasa agama negeri dengan sewenang-wenangnya tanpa berasa bimbang dikenakan tindakan pihak berkuasa. Justeru, kita percaya apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan membentangkan rang undang-undang Akta Perihal Dagangan 2011 di Parlimen kelmarin, umat Islam di negara ini menyambut baik langkah itu bagi membolehkan tindakan diambil terhadap restoran yang menimbulkan kekeliruan itu.
Selama ini ramai orang Melayu melanggan restoran bukan Muslim tanpa menyedari bahawa mereka menjadi mangsa penipuan atau dikelirukan dengan status halal di restoran tertentu hanya kerana terdapat ayat suci al-Quran menghiasi dinding restoran terbabit, selain mempamerkan kalimah Allah dan Muhammad. Ada juga pengusaha restoran menggantung gambar Masjidil Haram dan Masjid Nabawi bagi meyakinkan lagi pelanggan beragama Islam mengenai kesucian makanan yang dihidangkan di premis masing-masing. Selain itu, kebanyakan restoran berkenaan turut menggunakan pekerja asing beragama Islam dan bertudung bagi meyakinkan pelanggan Muslim mereka. Apabila akta itu dikuat kuasa mulai 1 Januari tahun depan, restoran milik bukan Muslim yang sewenang-wenangnya mempergunakan ayat suci al-Quran bertujuan mengelirukan pelanggan Islam bakal berdepan tindakan mahkamah. Pengguna juga boleh membuat aduan mengenai kewujudan restoran terbabit dan kementerian yang bertanggungjawab akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pemiliknya.
Serentak penguatkuasaan akta itu, logo halal diseragamkan kerana pada masa ini ada tujuh syarikat swasta diberikan kuasa mengeluarkan sijil halal selain JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri. Kita berpendapat memang tidak wajar memberi kuasa untuk mengeluarkan logo halal kepada syarikat swasta kerana sebagai entiti perniagaan, syarikat terbabit sudah tentu mempunyai motif keuntungan, yang boleh mendorong kepada berlaku pelbagai masalah lain, termasuk penyalahgunaan kuasa. Demi menjaga kesucian Islam, umat Islam diingatkan lebih berhati-hati dan jangan mudah terpedaya ketika melanggan restoran bukan Muslim yang tertera logo halal dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika mengesyaki berlaku penipuan.

Kastam rampas daging beku ekor lembu diragui halal

08/07/2011 10:41pm

Oleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN

PELABUHAN KLANG 8 Julai – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor merampas sejumlah 22,750 kilogram ekor lembu dalam bentuk daging beku bernilai RM342,150 yang diragui status halal selepas memeriksa sebuah kontena di Pelabuhan Utara semalam.

Pemangku Pengarah JKDM negeri, Mohd. Pudzi Man berkata, pihaknya memeriksa kontena tersebut yang diisytiharkan mengandungi muatan lobak merah pada pukul 10 pagi semalam.

“Setelah diperiksa, kami mendapati hanya tiga baris pertama dalam kontena itu mengandungi muatan lobak merah. Baki muatan kontena itu adalah daging ekor lembu beku yang dibungkus di dalam kotak dipercayai dibawa dari Argentina serta tidak mempunyai sebarang sijil pengiktirafan halal,” katanya pada sidang akhbar di Wisma JKDM di sini hari ini.

Mohd. Pudzi berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport tanpa lesen dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi 20 kali ganda nilai barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. - Utusan

Monday, July 4, 2011

Utusan Malaysia Online - Sabah & Sarawak


Utusan Malaysia Online - Sabah & Sarawak



MIRI 3 Julai - Orang Islam di negeri ini diingatkan agar tidak menggunakan mentega berjenama Golden Churn Pure Creamery Butter selepas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk berkenaan tidak halal.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata, setakat ini keputusan Jakim adalah muktamad meskipun syarikat pengeluar produk membuat penafian.

"Pihak Jakim memutuskan bahawa ia tidak halal kerana mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi walaupun syarikat pengeluarnya dari New Zealand mendakwa telah menjalankan penyelidikan kimia dan mengesahkan ia tidak mengandungi bahan tersebut.

"Justeru, kita akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa termasuk memberi amaran kepada orang Islam supaya tidak membeli atau menggunakan produk tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Wakaf Masjid Senadin bagi mengumpul dana RM4 juta untuk merealisasikan pembinaan masjid tersebut di sini, hari ini.

Mengenai Masjid Senadin, Daud memberitahu, pembinaan masjid di atas kawasan seluas 2.5 ekar itu mampu menampung kira-kira 2,000 orang jemaah pada satu-satu masa dan bakal menjadi mercu tanda pembangunan Islam di wilayah utara Sarawak.

Katanya, pembinaan masjid yang dijangka bermula tahun ini dan siap pada 2013 tidak boleh bergantung kepada sumbangan kerajaan semata-mata, sebaliknya masyarakat perlu mencari inisiatif untuk mengumpul dana bagi membinanya.

Halal: Kita baru kuasai 1 peratus pasaran

KUALA LUMPUR 29 Jun- Malaysia kini hanya menguasai kira-kira satu peratus daripada pasaran makanan halal dunia yang berpotensi besar bernilai AS$680 bilion, kata Ketua Pegawai Eksekutif Halal Industry Development Corporation (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin.

Menurut beliau, peluang berkenaan boleh dan patut direbut melalui peningkatan syarikat pengeluar produk halal berbanding 1,679 syarikat sedia ada yang memperoleh pensijilan halal tahun lalu.

Bilangan berkenaan membabitkan 64 peratus produk makanan proses, penjagaan kesihatan (11 peratus), bahan-bahan produk (enam peratus) serta kosmetik dan penjagaan diri (enam peratus).

"Saya yakin syarikat yang mendapat pensijilan halal ini akan meningkat dan mampu menguasai pasaran produk makanan premium dan pengeluar bahan mentah selain produk bukan makanan," katanya.

Tambah Jamil, HDC membangunkan pelbagai inisiatif untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan halal yang bakal berfungsi sebagai pusat sehenti untuk pengguna dan pelabur mendapatkan maklumat berkaitan industri tersebut.

HDC juga katanya turut memperkenalkan aplikasi halal menerusi telefon pintar iPhone bagi membolehkan pengguna mencari lokasi premis makanan dan restoran yang menyajikan makanan halal menerus Sistem Kedudukan Sejagat (GPS).

Selain berfungsi sebagai pusat rujukan halal HDC juga komited untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan halal dan diberi tanggung jawab untuk mempromosikan lapan taman halal di negara ini.

Mereka adalah Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ), Hab Halal Selangor, Pulau Indah, Taman halal Serkam, Melaka, Taman Halal Pedas, Negeri Sembilan, Hab Halal Tanjung Manis, Sarawak, Techpark @ Enstek, Negeri Sembilan, Taman Perindustrian Halal, Pulau Pinang dan Taman Halal @ POIC, Sabah.

Tambah Jamil, HDC juga berjaya menarik pelaburan daripada Australia, Pakistan dan Jepun.

"Dalam usia empat tahun, HDC sudah berjaya menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan halal dan kini fokus kami adalah membangunkan industri halal.

"Dengan itu pelaksanaan fasa kedua pelan induk HDC amat penting kerana setelah dikenali sebagai hab halal, Malaysia juga berpotensi untuk membekalkan produk halal," katanya.

Bagi memastikan industri halal dapat dibangunkan secara berterusan di samping meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap industri itu, HDC menjalin kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyediakan latihan kepada syarikat yang berminat dalam industri halal.

Pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara kedua-dua organisasi tersebut melibatkan empat bidang utama iaitu program latihan dan perundingan, hubungan antara agensi dan industri, pembangunan dan perkongsian ilmu serta promosi halal Malaysia.

"MoU untuk tempoh dua tahun ini mampu menjadi penyelesai kepada permasalahan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terhadap pensijilan halal selepas perkongsian maklumat dan pengetahuan dilaksanakan," tambah Jamil lagi.

Kursus yang ditawar mengikut struktur dan keperluan industri itu juga melibatkan syarikat antarabangsa dari Perancis, Turki dan Rusia.