Thursday, July 29, 2010

Akses status halal

SUBANG JAYA: Pasar raya besar dan pusat pengangkutan awam bakal dilengkapi dengan kiosk elektronik Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) (i-kiosk HDC) bagi membolehkan pengguna mengakses maklumat mengenai status halal produk dan premis perniagaan berasaskan makanan dengan lebih mudah dan pantas.
Ketua Pusat Sokongan Halal Global HDC Rohaizad Hassan berkata, HDC turut bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membangunkan program berkenaan khusus untuk mengenengahkan industri halal di kalangan masyarakat.


“I-kiosk HDC bukan saja berguna kepada masyarakat setempat menyemak status halal produk dibeli, malah memberi kelebihan kepada peniaga yang ingin mendapatkan bekalan bahan mentah status halalnya. “Setakat ini, terdapat kira-kira 75,000 produk dan 2,000 premis perniagaan makanan disahkan halal oleh Jakim dan ia boleh disemak melalui i-kiosk HDC yang terdapat di lokasi dipilih kelak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Tamat Latihan Kursus Halal anjuran HDC dan Mydin di Mydin Mall di sini, semalam.


Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Mydin dan Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Keusahawanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) merangkap Ahli Lembaga Pengarah HDC, Datuk Abdul Ghafar Musa.


Rohaizad berkata, pelaksanaan i-kiosk itu secara tidak langsung membantu pengusaha produk Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) berstatus halal mempromosi produk mereka kepada pengguna sekali gus meningkatkan standard halal. “Bagaimanapun, program berkenaan masih di peringkat percubaan dan kami masih lagi dalam proses mengumpulkan statistik untuk mengenal pasti keperluan ikiosk di sesuatu lokasi. “Pada peringkat permulaan, HDC memilih beberapa lokasi seperti di Alamanda, Putrajaya dan Mydin USJ bertujuan untuk kesedaran halal kepada masyarakat dan peserta industri. “Sekiranya mendapat sambutan, cadangan ini diketengahkan kepada pihak kerajaan untuk pelaksanaan secara berperingkat,” katanya.


Mukhriz dalam ucapannya berkata, usaha sama HDC dan Mydin menganjurkan latihan halal untuk pengusaha dan pembekal Mydin jelas menunjukkan agensi kerajaan seperti HDC boleh bekerjasama.

Akta halal diwujudkan

SEREMBAN 29 Julai – Pemantauan serta penguatkuasaan berhubung soal penggunaan status halal di kalangan penjual serta pengeluar makanan di negara ini akan diperkemaskan menerusi kewujudan Akta Halal yang akan dibentangkan di Parlimen, Oktober depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom

berkata, akta baru itu telah selesai dibincang dan akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang sebelum ia dikuatkuasakan.

‘‘Akta Halal ini akan dibentangkan menerusi pindaan terhadap Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 menerusi kajian, penelitian dan hasil pembentangan yang dijalankan bersama rakan saya, Datuk Seri Ismail Sabri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

‘‘Lanjutan daripada itu, kita akan mempunyai satu akta baru yang boleh berdiri secara sendiri dalam usaha memperkemas serta memantapkan penguatkuasaan dan proses perundangan bagi memantau soal halal di negara ini,” katanya.

Jamil berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Warisan Nabawi 2010 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, di sini hari ini.

Jelasnya lagi, penguatkuasaan serta tindakan bagi memantau penggunaan status halal diyakini dapat ditingkatkan menerusi struktur perundangan yang diwujudkan di bawah akta berkenaan.

‘‘Ini bermakna, dengan wujudnya akta ini, penguatkuasaan serta pemantauan terhadap premis perniagaan serta peniaga yang terlibat dengan pengusahaan berteraskan produk halal akan dapat dimantapkan.

‘‘Untuk itu, pihak saya akan menjalinkan kerjasama erat dengan KPDNKK termasuk Kementerian Kesihatan untuk mempergiatkan usaha bagi memastikan pihak terlibat mematuhi kriteria halal,”

‘‘Bahkan, saya juga telah mengarahkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk meneliti akta yang telah siap dibincangkan itu sebelum ia dibentangkan nanti,” ujarnya.

Dalam perkembangan berasingan, Jamil yang diminta mengulas berhubung penubuhan sekolah khas bagi menempatkan remaja hamil luar nikah memberitahu, langkah itu perlu dikaji dan dirumuskan melalui pandangan dari pelbagai pihak sebelum ia boleh dilaksanakan.

‘‘Bagi saya, kewajaran untuk menubuhkan sekolah ini tertakluk kepada rumusan yang dibuat dari kajian, penelitian dan pandangan semua pihak.

‘‘Ini kerana ada pihak yang bersetuju dan ada pihak yang tidak, maka kita perlu kumpulkan semua pandangan itu sebelum ia boleh dilaksanakan,” katanya.

Wednesday, July 28, 2010

Peluang di bulan Ramadan dan ketelusan

Saranan Salleh

SESIAPA saja akan berasa kagum membaca berita mengenai kira-kira 15,000 peniaga ingin berebut mendapatkan 400 tapak perniagaan bazar Ramadan di kawasan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Bayangkanlah begitu ramai yang berminat untuk berniaga pada bulan Ramadan.

Tentulah suatu persoalan yang timbul ialah apakah faktor yang bakal digunakan oleh mereka yang membuat keputusan untuk memberikan lesen kepada peniaga yang berjaya mendapatkan tapak tersebut.

Selain daripada kemampuan membayar yuran lesen yang saya jangka tidak begitu berat, apakah pengalaman berniaga diambil kira. Bagaimana pula kalau seseorang itu belum ada pengalaman tetapi ingin mencuba.

Atau penganugerahan akan diberikan berdasarkan jenis perniagaan atau makanan yang akan disediakan? Pada masa yang lalu, kita pernah terdengar cerita ada orang yang berkuasa memperoleh sampai 10 lesen dan lesen itu diberikan kepada sesiapa yang mampu membayar jumlah besar yang dikehendaki pemegang lesen tersebut.

Dalam kes sebegini tidak hairanlah kalau rasuah memainkan peranan. Sesiapa yang pernah berniaga di bulan Ramadan tentu sedar bahawa berniaga sepanjang bulan tersebut mendapat laba yang sama dengan berniaga satu tahun.

Jadi, kalau disuruh bayar ‘bawah meja’, banyak mana pun mungkin ramai yang sanggup kecuali mereka yang langsung menjauhkan diri daripada amalan tersebut. Ada baiknya undian siapa yang dapat ini dibuat secara telus dihadiri oleh juruaudit seperti Price Waterhouse yang boleh memantau perjalanan undian tersebut seperti yang pernah dilakukan untuk cabutan Tawaran Awal Awam untuk saham.

Setiap daripada 15,000 peniaga tersebut dikehendaki membayar misalnya cengkeram sebanyak RM1,000 untuk kebersihan kerana kawasan perniagaan perlu dijaga oleh mereka yang berniaga. Wang itu akan dipulangkan selepas tamat tempoh berniaga.

Yuran untuk lesen itu terpulanglah berapa jumlah yang wajar difikirkan munasabah untuk dikenakan. Sebaiknya yuran ini patut berbeza berdasarkan lokasi petak perniagaan. Maklumlah Jalan Raja Alang di Kampung Baru tentu lebih panas berbanding dengan lain-lain tempat seperti Kampung Pandan Dalam.

Untuk majlis pengundian tersebut, satu peta menunjukkan di mana petak-petak yang 400 ini terletak harus dipamerkan dengan diberikan nombor pengenalan masing-masing supaya semua yang berhajat boleh nampak kalau mereka terpilih.

Nama 15,000 orang tadi dimasukkan ke dalam tong dan diminta wakil-wakil pihak DBKL untuk mencabut setiap satu daripada 400 petak perniagaan tersebut.

Dengan cara ini, rasa saya barulah tidak ada tuduhan pilih kasih, orang itu mampu bayar dan sebagainya.

Seperkara lagi yang tidak kurang pentingnya ialah hanya mereka yang betul-betul berniaga saja yang patut diberikan lesen dan apabila sudah bermula, lawatan rambang untuk memastikan warung tidak digadaikan kepada orang lain.

Mereka yang didapati melakukan demikian wajar disenarai hitamkan. Maklumat penting yang utama dan wajib disimpan oleh pihak berkuasa ialah nama peniaga dan kad pengenalannya. Satu pangkalan maklumat boleh dibangunkan untuk rujukan masa depan. Kalau setiap kawasan, daerah, negeri mengikut proses pengundian sebegini, barulah adil kepada semua pihak.

Kita tahu untuk mendapatkan tempat berniaga pada bulan Ramadan terutama di kawasan-kawasan yang panas, orang dari kawasan tersebut wajar diberikan keutamaan supaya jangan sampai orang dari negeri lain pun nak merebut peluang orang tempatan.

Atau pun untuk memberikan juga peluang itu kepada orang luar, maka bayaran lesen yang lebih patut dikenakan. Kita tidak tahu berapa banyak di seluruh negara tapak-tapak berniaga yang dibuka untuk bulan Ramadan yang rasmi. Kita tahu selain daripada yang dikenakan lesen, banyak juga yang akan menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Di sinilah pihak penguatkuasa perlu menjalankan rondaan kerana kalau ada yang patuh dengan undang-undang sanggup melalui proses pemilihan seperti diundi dan sebagainya, tiba-tiba ada orang itu boleh buka warung lemang dan rendang dekat sudut simpang jalan yang sibuk begitu saja hingga menyebabkan kesesakan trafik, mereka wajib disaman.

Misalnya di jalan raya MRR2, apabila hampir Syawal, jalan arah ke Taman Melawati akan sesak kerana ramai sangat peniaga yang tidak berlesen. Kita terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas yang begitu panjang. Selain daripada berebut tapak berniaga, syarat utama ialah kebersihan kawasan dan makanan yang disediakan.

Di setengah tempat, terdapat juga sukarelawan yang menjaga perjalanan kenderaan supaya pemandu tidak meletakkan kereta sesuka hati. Di kawasan seperti Shah Alam, warung-warung disediakan di kawasan letak kereta Stadium Shah Alam yang luas. Ia tidak menjadi masalah tetapi di kawasan-kawasan lain seperti Taman Cempaka, Ampang, memang selalu berlaku kesesakan.

Perkara penting yang perlu diakui ialah Ramadan memberikan peluang kepada peniaga. Lihat saja bayaran makanan yang dikenakan oleh hotel-hotel untuk berbuka puasa yang semakin tahun semakin tinggi. Berita akhbar yang pernah melaporkan hanya dua peratus daripada keseluruhan hotel di Kuala Lumpur menghidangkan makanan halal sungguh mengejutkan. Hotel dan kedai makan turut mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan di bulan Ramadan dengan pakej berbuka puasa yang bukan-bukan.

Saya rasa pihak berkuasa wajar memantau harga-harga yang dikenakan. Apakah setimpal dengan makanan yang dihidangkan? Amalan mengenakan harga yang bukan-bukan ini berleluasa dan patut diambil perhatian oleh pihak yang berkuasa.

Syarikat swasta proses permohonan sijil halal sebulan...ikhtiraf?

UALA LUMPUR 25 Julai - Bahtera Lagenda Sdn. Bhd. (BLSB) memberi jaminan bahawa ia mampu menyelesaikan proses pemberian status halal dalam tempoh selewat-lewatnya sebulan selepas permohonan diajukan kepada syarikat tersebut.

Pengarah Urusannya, Abdullah Fahim Ab. Rahman berkata, syarikat itu menyasarkan tempoh tersebut memandangkan permintaan untuk mendapatkan sijil halal oleh pengusaha makanan di negara ini semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun katanya, ia bukan bererti pihaknya meluluskan semua permohonan secara sambil lewa kerana syarikat pengeluar status halal itu akan memastikan semua prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dipatuhi.

"Proses yang lebih mudah, cepat serta menepati hukum syariah ini diharap dapat menggalakkan lebih ramai pengusaha produk dan pemilik premis makanan dari kalangan bukan Islam tampil untuk mendapatkan sijil halal BLSB,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abdullah Fahim berkata, BLSB juga memastikan setiap pemohon mengisi borang yang antaranya mengkehendaki disenaraikan menu dan bahan yang akan digunakan dalam produk atau masakan.

"Selain itu kita turut memberikan khidmat untuk menerangkan secara terperinci mengenai kandungan bahan yang ditetapkan dalam Islam supaya pengusaha produk dapat mematuhi standard halal ini,'' katanya.

Abdullah Fahim berkata, penerangan ini penting supaya pengusaha makanan khususnya di kalangan bukan Islam tidak akan terkeliru dengan penggunaan bahan yang digunakan jika tidak diberi penjelasan secara terperinci.

Kata beliau, pihaknya kemudian akan mengunjungi premis atau pengusaha produk yang antara bagi memastikan bahan yang digunakan itu daripada punca yang halal.

"BLSB akan memastikan apa yang diisi di dalam borang itu adalah sama dengan apa yang kita lihat sewaktu lawatan tersebut supaya tidak berlaku sebarang kekeliruan sebelum permohonan itu dibawa ke mesyuarat bagi pengeluaran sijil,'' katanya.

Beliau berkata, setakat ini BLSB yang ditubuhkan pada 2002 telah mengeluarkan lebih 1,000 sijil untuk produk makanan dan premis makanan di seluruh negara.

Abdullah Fahim berkata, pihaknya bukan sahaja menjalankan perkhidmatan mengeluarkan sijil halal di negara ini malah di sekitar negara Asia termasuk China.

Keluarkan juga sijil haram untuk restoran diragui

PRODUK halal dan haram sememangnya banyak di pasaran dewasa ini. Pihak kerajaan di bawah agensi dilantik sememangnya menjalankan tanggungjawab mereka dalam menentukan dan memberi pengiktirafan halal ini.

Mekanisme dan garis panduan juga telah ditetapkan cuma adakah pihak (peniaga/pengilang/pengeluar) berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut?

Saya mencadangkan agar agensi yang terbabit dengan proses mengeluarkan sijil halal ini proaktif melakukan siasatan berkala terhadap kopitiam, kedai kek, pengilang atau pengeluar tanpa menunggu permohonan.

Saya juga mencadangkan, jika premis/pengilang terbukti diragui kehalalan produknya, keluarkan sahaja sijil haram. Dengan ini, pihak pengguna Islam dengan mudah menjauhi premis terbabit. Sebagai contoh apabila kita mengunjungi pasar raya, ada seksyen yang menjual makanan dan minuman haram, dengan jelas telah terpampang perkataan makanan atau minuman haram sebagai panduan untuk pengguna Islam. Secara automatiknya pengguna Islam tahu dan akan menjauhi seksyen tersebut.

Dengan cara ini sekiranya kopitiam, pengilang atau pengeluar tidak rela diisytiharkan sebagai haram maka sudah tentunya mereka akan berusaha untuk mematuhi piawaian dan garis panduan ditetapkan dan agensi yang terbabit pula hendaklah tidak lepas tangan, selalulah melakukan pemantauan dan pemeriksaan agar tidak diperlekehkan dan dipermainkan.

MATT Melaka

Alasan pengusaha kopitiam

KUALA LUMPUR 26 Julai - Beberapa pengusaha kopitiam hari ini meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melonggarkan prosedur mendapatkan sijil halal yang ketika ini dianggap terlalu merumitkan.

Pemilik kopitiam Uncle Lim's Cafe, Datuk Goh Seng Toh turut mendakwa ramai pemilik kopitiam sukar mendapatkan kerjasama Jakim dalam berurusan bagi memperoleh sijil halal.

"Permohonan yang ditetapkan pihak Jakim melecehkan, pengusaha terpaksa mengisi butir-butir yang tidak munasabah di samping menyenaraikan setiap bahan yang digunakan.

"Contoh mudah adalah seperti gula dan juga belacan, sudah tentu pengusaha kopitiam mengambil bahan tersebut daripada pembekal yang diakui halal," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, Jakim seharusnya membantu memudahkan proses permohonan kerana ia melibatkan orang Islam yang semakin gemar berkunjung ke kopitiam.

"Disebabkan ketidakcekapan Jakim, kami mengambil keputusan untuk mendapatkan sijil halal daripada agensi swasta," jelasnya.

Pendapat yang sama turut dikongsi oleh Pengurus Operasi Kluang Station, Phun Jun Jin, yang mencadangkan Jakim menubuhkan satu jawatankuasa bagi memudahkan proses permohonan sijil halal melalui pemberian maklumat yang berkesan dan jelas.

"Jika pihak Jakim tidak memudahkan proses pemberian status halal ini, mungkin sampai bila-bila isu ini akan berlarutan," katanya.

Menurut Jun Jin, sebelum ini pihaknya menerima pelbagai tawaran daripada agensi swasta yang menawarkan sijil halal.

"Namun pihak kami enggan untuk mendapatkan sijil tersebut kerana tidak mahu menipu pelanggan menggunakan sijil halal yang tidak diiktiraf oleh kerajaan.

"Kami juga sukar untuk mendapatkan status halal Jakim kerana proses permohonan yang kurang jelas," katanya.

PappaRich cawangan Kepong ditutup

KUALA LUMPUR 26 Julai - Rangkaian kopitiam terkenal, PappaRich mengambil tindakan tegas menutup cawangannya di Kepong berkuat kuasa hari ini.

Eksekutif Bahagian Halal, Komunikasi Korporat PappaRich, Mohd. Nur Azrul Nordin berkata, keputusan tersebut dicapai hasil perjumpaan pihak ibu pejabat dan juga pemilik cawangan terbabit.

"Tindakan tersebut dilakukan setelah mengambil kira kepentingan umum dan juga nama baik syarikat.

"Buat masa ini, pihak kami akan menunggu laporan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai kesahihan bekalan ayam yang diterima oleh cawangan itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jumaat lalu, premis terbabit diserbu Jakim kerana mendapatkan bekalan ayam daripada sebuah syarikat penyembelihan bukan Islam.

Ia terbongkar selepas pasukan penguat kuasa jabatan itu melakukan pemeriksaan di sebuah syarikat penyembelihan ayam bukan Islam yang tidak diiktiraf Jakim di Jinjang, Rabu lalu.

Dalam pemeriksaan itu, Jakim menemui sejumlah salinan invois urusan jual beli melibatkan kopitiam berkenaan.

Menurut Azrul, pihaknya juga akan memantau kesemua cawangannya di seluruh negara dari semasa ke semasa.

"Kami mengambil langkah berjaga-jaga dengan memantau segenap aspek bagi mengelak perkara ini daripada berulang.

"Malah, kami juga akan memastikan cawangan-cawangan yang lain memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh ibu pejabat," jelasnya.

Sementara itu, pihaknya masih lagi dalam proses mendapatkan sijil halal daripada Jakim bagi kesemua cawangannya menerusi badan penasihatnya, Halal Industry Development Corporation (HDC).

Menurut beliau, semua cawangan PappaRich lain tidak mempunyai masalah serta menjalankan perniagaan mengikut prosedur halal.

Berikutan itu, Azrul berharap orang ramai tidak ragu-ragu untuk berkunjung ke cawangan-cawangan PappaRich yang lain.