Thursday, July 28, 2011

Hanya Jakim, MAIN keluar sijil halal

PETALING JAYA 26 Julai - Hanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) mempunyai kuasa untuk mengeluarkan sijil halal apabila Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 (pindaan 2011) dikuatkuasakan selewat-lewatnya Jan tahun depan.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, tujuh syarikat pengeluar sijil halal swasta ketika ini tidak lagi dibenarkan mengeluarkan sijil tersebut.

"Tujuh syarikat ini tidak mempunyai makmal (halal). Orang hantar pun, dia tengok kertas dan terus bagi sijil halal dan tujuh syarikat ini hanya mempunyai satu tauke sahaja dan dia kaut keuntungan sebanyak mungkin," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan 50 Pegawai Pentadbir Masjid Daerah (PPMD) di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kewujudan makmal halal milik Jakim di kawasan Enstek, Nilai, Negeri Sembilan dengan kos kira-kira RM27 juta tidak lama lagi akan memudahkan Jakim mengeluarkan sijil halal dengan lebih telus dan berkesan.

Jamil Khir berkata, pindaan akta itu juga memperluaskan bidang kuasa pegawai Jakim termasuk untuk mendakwa individu atau syarikat yang melanggar akta berkenaan termasuk penyalahgunaan sijil halal.

Sebelum pindaan tersebut, kuasa pegawai Jakim hanya terhad kepada menyerbu dan melakukan siasatan manakala kuasa pendakwaan terletak pada Kementerian Perdagangan dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Beliau berkata, sejumlah 62 pegawai Jakim sedang dilatih pegawai KPDNKK bagi memastikan pelaksanaan pindaan itu kelak berkesan.

Beliau berkata, pindaan akta itu turut membolehkan 'beban pembuktian' iaitu kepada pemilik kedai makanan berkenaan.

"Tauke kedai kena buktikan ia halal, kalau halal dia kena tunjuk bukti dia termasuk berapa pekerja dia yang memasak termasuk seorang Muslim.

"Dia juga kena tunjukkan resit pembelian barangan masakan kedai berkenaan daripada mana, ini 'beban pembuktian' kita serah kepada dia," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Jamil Khir meminta Jakim supaya menyelaraskan semula perjawatan Pegawai Pentadbir Masjid Daerah (PPMD) yang sebelum ini diwujudkan di pelbagai peringkat termasuk di peringkat negeri, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Macam di Kelantan, mereka ada Pegawai Pentadbiran Masjid Jajahan (PPMJ) dan disebabkan keadaan banyak berubah tinggal seorang. Jadi, hanya tinggal dia sahaja yang selaraskan masjid di seluruh Kelantan.

"Macam di Melaka pula, oleh kerana perjawatan ini (PPMD) adalah merupakan di peringkat negeri, maka ia diselaraskan secara langsung di bawah Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd. Ali Rustam)," katanya sambil menambah cara penyelarasan berkenaan akan dilakukan secara bersama oleh Jakim dan MAIN.

Terdapat 89 PPMD sehingga kini dan daripada jumlah tersebut, 68 adalah lantikan Jakim manakala selebihnya adalah lantikan MAIN. - BERNAMA

Majlis Fatwa minta 'beer' ditukar dengan nama lain

KUALA LUMPUR 26 Julai - Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan minuman malta menggunakan nama seperti 'beer halal' atau sejenis dengannya sebagai halal diminum berdasarkan kandungan kadar alkohol yang rendah dan bukan diproses sebagaimana proses membuat arak.

Pengerusinya, Prof. Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, bagaimanapun pengeluar dan pengedar minuman malta seperti itu diminta supaya tidak menggunakan label serta jenama yang boleh menimbulkan keraguan kepada pengguna khususnya umat Islam.

"Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 16 hingga 18 Jun lalu, membuat keputusan berdasarkan minuman malta jenama Barbican adalah boleh dan halal diminum oleh seluruh umat Islam.

"Barbican dan sebagainya yang diproses bukan untuk tujuan pembuatan arak dan alkohol terkandung dalam minuman tersebut juga bukan terhasil daripada proses pembuatan arak serta dengan kadar sedikit dan tidak memabukkan adalah dibolehkan sesuai dengan keputusan Muzakarah," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita sempena Majlis Penyampaian Sumbangan dan Pelancaran Ihya Ramadan Peringkat Kebangsaan di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan di sini, semalam.

Sebelum ini, timbul polemik dalam kalangan pengguna dan penguat kuasa Islam di negara ini berhubung lambakan minuman malta menggunakan slogan 'beer halal' di pasaran tempatan sehingga ia diharamkan pihak berkuasa.

Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan:

a) Setiap minuman arak mengandungi alkohol tetapi bukan semua alkohol adalah arak. Hukum bagi alkohol yang diperoleh daripada proses pembuatan arak adalah haram dan najis.

b) Alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum dalam bentuk asli kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.

c) Minuman ringan yang diproses bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah 1 peratus adalah harus (boleh) diminum.

d) Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.

e) Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semula jadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh) dimakan atau diminum.

f) Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak lebih 0.5 peratus.

g) Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.

FOMCA gesa ubat tanpa sijil halal disenaraikan

26/07/2011 4:30pm

KUALA LUMPUR 26 Julai - FOMCA meminta pihak berkuasa menyenaraikan mana-mana ubat yang tidak mendapat perakuan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta syarikat-syarikat yang telah memohon sijil halal bagi ubat-ubatan yang dikeluarkan.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, langkah ini penting dalam membantu pengguna mengelak daripada membeli ubat-ubatan yang tidak halal.

"Walaupun tiada akta khusus berkaitan perkara ini pihak berkuasa dan media perlu main peranan untuk hebahkan jenis-jenis ubat yang mengandungi unsur tidak halal,” katanya kepada pemberita selepas persidangan meja bulat Farmaseutikal yang Halal: Isu-isu dan Cabaran di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, hari ini.

Dua pembentang kertas kerja lain adalah pakar farmasi Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Zhari Ismail dan Ketua Jabatan Fiqh dan Usul Universiti Malaya (UM) Dr. Saadan Man. - Bernam

Pengeluar ”bir halal” dinasihat dapatkan sijil halal Jakim

25/07/2011 10:34pm

KUALA LUMPUR 25 Julai – Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia menasihatkan pengeluar minuman ringan malta atau ”bir halal” mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau majlis agama Islam negeri (MAIN).

Pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, ini bagi mengelakkan kekeliruan umat Islam selepas muzakarah jawatankuasa itu pada 16 dan 18 Jun lepas memutuskan minuman tersebut diproses bukan untuk tujuan pembuatan arak.

"Alkohol yang terkandung dalam minuman tersebut juga bukan terhasil daripada proses pembuatan arak serta dengan kadar yang sedikit dan tidak memabukkan adalah dibolehkan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Pelancaran Ihya” Ramadhan Peringkat Kebangsaan 2011 di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan.

Isu bir halal timbul sejak 28 Mei lepas, susulan laporan akhbar mengenai penjualan minuman berkenaan yang semakin popular pada kalangan umat Islam di negara ini. – Bernama

Tuesday, July 26, 2011

Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan

Keputusan:

Berdasarkan taklimat, pembentangan dan penjelasan yang disampaikan oleh pakar-pakar daripada Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia serta dengan mengambilkira keputusan-keputusan yang telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia terdahulu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan seperti berikut:


Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walaubagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.

Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.

Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.

Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.

Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh ) dimakan/diminum.
Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dankuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.

Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranyaalkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan ar
ak

Laksana perubatan halal dengan bersungguh-sungguh: Harussani

Laksana perubatan halal dengan bersungguh-sungguh: Harussani


2011/07/26
KUALA LUMPUR: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, meminta semua pihak di negara ini bersungguh-sungguh dalam melaksanakan perubatan halal untuk rakyat beragama Islam.

Beliau berkata, walaupun ubat yang mengandungi unsur tidak halal diharuskan kepada umat Islam dalam keadaan "darurah" (darurat) dan "istihalah" (bahan yang sudah mengalami transformasi kepada bahan lain yang berbeza daripada asalnya sama ada dari segi sifat, zat dan nama), namun umat Islam perlu berusaha untuk mencari alternatif bagi menggantikan produk tersebut.
"Kalau terus guna atas dua alasan ni, sampai bila pun tak berubah. Kalau kita usahakan boleh dapat (alternatif kepada ubat dari sumber tidak halal). Kalau tak usaha, takkan sampai 500 tahun kita nak kata darurat?" katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi perbincangan selepas persidangan meja bulat Farmaseutikal Yang Halal: Isu-isu dan Cabaran di Institut Kefahaman Islam Malaysia di sini, hari ini.

Harussani berkata, isu perubatan halal perlu dikaji secara menyeluruh dan dilaksanakan sepenuhnya mengikut syariat Islam.

"Kita nampak kerajaan selalu mengutamakan Perlembagaan...Islam sebagai agama rasmi negara maka setiap pertikaian dalam masalah membabitkan agama, Islam mesti didahulukan. Tapi kenapa kita kalah? Sebab kita tak serius.

"Kita kena serius, IKIM pun ada. IKIM ini institusi kerajaan jadi biarlah kita usaha sungguh-sungguh. Beritahu ini usaha kami dan ini yang dikehendaki oleh rakyat," katanya.
Menjawab soalan anggota persidangan yang lain mengenai hukum bahan dari sumber halal tetapi apabila diproses sudah berubah menyerupai sifat bahan lain yang berasal dari sumber tidak halal, Harussani berkata hukumnya tetap halal.

Katanya, umat Islam tidak mempunyai masalah untuk menggunakan bahan, malah katanya itulah yang perlu diusahakan.

"Saya rasa tidak mustahil untuk kita mencari bahan alternatif jika kita usahakan betul-betul. Pengkaji kita banyak, ahli farmasi banyak, profesor pun banyak, cipta sesuatu yang baru," katanya. - BERNAMA

Tuesday, July 12, 2011

Jakim, MAIN tak iktiraf produk tidak halal

KUALA LUMPUR 11 Julai - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) tidak akan mengiktiraf serta mengeluarkan sijil dan logo halal terhadap mana-mana produk tidak halal yang menggunakan istilah halal.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, ini kerana perkara itu bertentangan dengan piawaian halal yang telah ditetapkan oleh agensi berkenaan.

Menurut beliau, produk terbabit antaranya ialah bak kut teh, bir, bacon dan rum yang sebelum ini pernah dilabel dengan istilah halal sehingga mengelirukan orang ramai.

"Nama-nama yang haram ke atas produk halal seperti bak kut teh, bir, bacon serta rum tidak dibenarkan. Untuk itu, Jakim dan MAIN tidak akan iktiraf dan beri pensijilan serta logo halal. Hal ini termaktub di dalam Rang Undang-Undang Perihal Dagangan 2011.

"Dalam perkembangan lain, mengenai isu sijil dan logo halal juga, mengikut undang-undang sedia ada pensijilan dan logo halal yang dikeluarkan pihak luar selain Jakim dan MAIN adalah tidak dilarang asalkan pengesahan halal itu mengikut hukum syarak.

"Namun, selepas rang undang-undang ini diluluskan, hanya pensijilan dan logo oleh Jakim dan MAIN sahaja yang dibenarkan. Ini bermakna, pengesahan oleh pihak lain tidak lagi dibenarkan. Ia terpakai di seluruh negara dan telah mendapat kelulusan dan perkenan raja-raja, sultan serta Yang Dipertua negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan mengenai rang undang-undang tersebut yang kemudiannya diluluskan di Sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Rohani berkata, pemberian kuasa sepenuhnya kepada Jakim dan MAIN dalam pengeluaran sijil serta logo halal dilakukan kerana terdapat banyak kekeliruan dalam kaedah pensijilan sebelum ini.

"Banyak keraguan termasuk dikatakan sijil dan logo halal dikeluarkan secara sewenang-wenangnya. Justeru, dengan kelulusan rang undang-undang itu, pengusaha perlu melihat tarikh luput pensijilan yang diperoleh. Kalau sudah tamat, mereka perlu memohon untuk mendapatkan sijil halal di Jakim atau MAIN," katanya.

Berhubung peraturan pengeluaran sijil dan logo halal, ujar beliau, semua permohonan yang diterima disemak oleh Jakim dan MAIN dan pengeluaran sijil akan dikeluarkan dalam tempoh 30 hari dari tarikh pembayaran yuran permohonan terbabit.

Dalam pada itu, Dewan Negara turut meluluskan Rang Undang-Undang Petroleum (Cukai Pendapatan) (Pindaan) 2011 yang terkandung insentif iaitu kadar cukai pendapatan diturunkan daripada 38 peratus kepada 25 peratus untuk medan minyak marginal.

Ia diluluskan selepas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin selesai menggulung perbahasan mengenai rang undang-undang berkenaan.

Dewan Negara juga meluluskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Sekuriti (Pindaan) 2011, Rang Undang-Undang Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Pindaan) 2011 serta Rang Undang-Undang Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011.