Friday, August 26, 2011

Jamil Khir: Tak perlu ragu status halal daging import

Umat Islam di negara ini tidak perlu meragui status halal daging import yang dibawa masuk untuk memenuhi keperluan bekalan daging sempena sambutan Aidilfitri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata ini kerana semua pengimport daging terbabit telah dikenal pasti mematuhi syarat kelulusan status halal sebelum dibenar berbuat demikian.

"Daging import merupakan daging yang dikenal pasti daripada pengimport yang mematuhi tanda aras dan juga sijil halal yang telah dikeluarkan.

"Jadi tak timbul keraguan umat Islam yang akan menyambut Aidilfitri beberapa hari yang akan datang ini berkenaan bekalan daging, selain jaminan daripada pihak KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan)," katanya kepada pemberita, di Gurun semalam.

"Termasuk juga tentang sembelihan itu, kita import daripada tempat-tempat yang mendapat kebenaran sijil daripada pihak Jakim," katanya.

Katanya Jakim sentiasa memantau pihak yang berkaitan untuk tujuan pembekalan serta pematuhan tanda halal yang telah diletakkan kerajaan.

Beliau yang ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Umno Bahagian Jerai di Kompleks Sukan Modenas berkata kerajaan juga mengimport bekalan dari pusat penyembelihan yang memiliki sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

- Bernama

Thursday, August 25, 2011

Makmal swasta dibenar ujian halal

Pengusaha produk makanan akan dibenarkan menggunakan kemudahan makmal swasta bagi mendapatkan status halal bagi pengujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk produk makanan keluaran mereka.

Keputusan itu dicapai selepas perbincangan di antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bersama pengusaha industri kecil dan sederhana serta pengusaha dalam industri halal.

Bagaimanapun, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal Jakim Hakimah Mohd Yusof berkata kebenaran itu hanya akan diberikan kepada makmal swasta yang memenuhi piawaian dan mempunyai kelengkapan setaraf dengan Jabatan Kimia Malaysia sahaja.

"Keputusan itu diambil bagi mempercepatkan lagi keputusan status halal sesuatu produk dapat diketahui selain memberi peluang kepada pengusaha industri menghantar terlebih dahulu sampel produk sebelum dihantar ke Jabatan Kimia.

"Kebenaran berkenaan juga antara penambahbaikan yang dibuat kerana kadangkala Jabatan Kimia lambat dan apabila keputusan keluar didapati negatif jadi tidak adil pula untuk pengusaha industri," katanya kepada pemberita di Putrajaya.

Beliau berkata Jakim sentiasa menyediakan peluang untuk pengusaha berkomunikasi bagi urusan mendapatkan persijilan halal tetapi pada masa yang sama kepentingan Islam dan umat Islam tidak dikompromi sama sekali.

Pada pertemuan itu, pengusaha industri makanan juga dibenarkan untuk melantik wakil bagi mengadakan perbincangan dengan Jakim mengenai ujian DNA dalam produk keluaran mereka serta perkara-perkara lain yang berkaitan.

Premis penyembelihan abai kebersihan

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Beberapa pusat penyembelihan ayam di ibu negara dikesan lebih mementingkan keuntungan kerana mengabaikan aspek kebersihan dan pematuhan halal menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu terbongkar apabila Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah bersama pegawai penguat kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turun padang memeriksa tiga premis penyembelihan ayam tanpa sijil halal, awal pagi ini.

Dalam pemeriksaan mengejut mulai pukul 4 hingga 6 pagi di dua pusat penyembelihan ayam di Jinjang dan sebuah di Pasar Borong Selayang itu, ketiga-tiga premis itu langsung tidak menjaga kebersihan.

Meskipun dua daripada premis didapati mematuhi syarat iaitu menggunakan khidmat penyembelih bertauliah, namun apa yang membimbangkan adalah tiada pemeriksaan dibuat terhadap ayam-ayam yang telah disembelih.

Memburukkan lagi keadaan, apabila pemeriksaan mendapati hanya dua penyembelih ditugaskan untuk menyembelih 4,000 ekor ayam dalam tempoh dua jam.

Jailani ketika ditemui semasa operasi itu berkata, ketiadaan pemeriksaan dilakukan terhadap ayam-ayam yang selesai disembelih mungkin mengakibatkan ada yang terlepas pandang ayam yang disembelih secara tidak betul.

Katanya, meskipun ada peningkatan kesedaran di kalangan pengusaha pusat penyembelihan akan keperluan ayam disembelih mengikut syarat tetapi ia tidak mencukupi jika mereka mengabaikan beberapa aspek terutama kebersihan.

"Dalam pemeriksaan ini, kita dapati setiap ayam yang telah disembelih tidak dilakukan pemeriksaan, malah pisau yang digunakan juga tidak dibasuh setiap kali sembelihan.

"Ayam juga didapati ada yang tidak sihat atau berkemungkinan berpenyakit, malah ayam yang mati dilonggok atas lantai," katanya.

Menurut Jailani lagi, kebanyakan pusat penyembelihan tidak memohon sijil halal kerana tidak bersedia untuk mematuhi syarat yang dikenakan, termasuklah menjaga kebersihan premis.

Beliau berkata, permintaan tinggi terhadap ayam pada bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri juga menyebabkan pengusaha agresif menghabiskan stok ayam sehingga mengabaikan aspek halal dan kebersihan.

Pusat sembelih ayam diserbu

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my
BUKIT MERTAJAM 24 Ogos – Sejak 20 tahun lalu sebuah kilang penyembelihan dan pemprosesan ayam segar di Taman Bukit Kecil dekat sini berselindung di sebalik plastik pembungkus yang berlogokan halal milik sebuah syarikat beralamat di Segambut, Kuala Lumpur.

Namun rahsia pusat yang beroperasi tanpa mengikut hukum syarak itu terbongkar apabila diserbu sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 3.30 pagi itu, pusat sembelihan terbabit didapati tidak memisahkan langsung ruang sembelihan untuk orang bukan Islam dan orang Islam yang hanya terletak kira-kira 10 meter.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP, Faizal Ibrahim berkata, pusat pemprosesan itu tidak memiliki sijil halal mereka sendiri sebaliknya menggunakan logo halal milik syarikat lain.

“Ayam-ayam yang diproses di pusat ini dipasarkan di sekitar Pulau Pinang termasuk juga beberapa hotel ternama, restoran, pasar pagi dan juga pasar malam.

“Kita menahan 10 pekerja yang sedang memproses ayam di situ termasuk beberapa pekerja warga asing dari Bangladesh dan Nepal berusia antara 30 hingga 35 tahun untuk diambil keterangan diri bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambah Faizal, dua lelaki tempatan yang bertugas sebagai penyembelih di kilang tersebut memiliki sijil tauliah penyembelihan yang sah namun ketika serbuan mereka didapati tidak mematuhi hukum syarak.

Jelasnya, sebanyak 3,000 ekor ayam yang telah siap diproses yang dianggarkan bernilai RM30,000 juga telah dirampas dan kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 dan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM250,000.

Friday, August 19, 2011

Pusat sembelih belum dimanfaat

JOHOR BAHRU: Usaha kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) membangunkan pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam halal dengan kos RM17 juta dekat Pandan di sini, nyata masih gagal dimanfaatkan pemborong ternakan itu di bandar raya ini.

Keadaan itu menyebabkan Pusat Penyembelihan dan Pemprosesan Ayam (3P) Sdn Bhd milik MBJB dekat Pandan itu ketika ini hanya mengendalikan sembelihan dan memproses 15,000 ekor ayam sehari, berbanding keupayaannya operasi hariannya mencapai 80,000 ekor.
Pengurus Pentadbiran dan Korporat 3P, Md Nazir Harasad, berkata ketika ini setiap hari pihaknya menerima tempahan menyembelih dan memproses 15,000 ayam itu daripada lima pemborong sekitar bandar raya.
“Kerajaan perlu melaksanakan penguatkuasaan supaya kewujudan pusat berkenaan tidak sia-sia dan dapat dimanfaatkan masyarakat.

“Sekarang, operasi di sini hanya menggunakan 20 peratus daripada keupayaan yang ada berikutan tidak ramai pemborong yang menghantar bekalan ayam untuk diproses di sini, " katanya ketika menerima lawatan Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Johor dan Persatuan Pengguna Bumiputera Negeri Johor (PPBNJ).

Setiap ayam yang disembelih dan diproses di pusat berkenaan, dibersih secara dimandikan terlebih dulu, sebelum diperdengarkan bacaan zikir yang membantu menenangkan ternakan terbabit. Ayam kemudian disembelih penyembelih bertauliah rakyat tempatan sepenuhnya.

Setiap ayam yang disembelih dan diproses di pusat berkenaan mempunyai tanda halal yang dikeluarkan Jabatan Agama Johor (JAJ) menerusi tag yang dipasang pada bahagian kepak yang turut tertera beberapa maklumat mengenai pemilikan serta tanda ia dikendalikan oleh 3P.
Difahamkan, selain 3P yang dikendalikan MBJB, sebuah lagi pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam hidup yang diiktiraf serta mendapat sijil halal JAJ di bandar raya ini ialah Pusat Penyembelihan Ayam Kempas.

Md Nazir berkata, selain berusaha menarik perhatian pemborong supaya menghantar ayam untuk disembelih di situ, pihaknya juga mencadangkan supaya MBJB meningkatkan penguatkuasaan terhadap pusat sembelihan haram yang mendedahkan pengguna khususnya umat Islam terhadap ayam tidak disembelih sempurna dan tidak halal.

Katanya, mereka juga bercadang meminta JAJ menghentikan pengeluaran ‘tauliah sembelih’ di sekitar bandar raya ini selain menyediakan kursus wajib kepada penjual ayam dan memuatkan isu ayam halal dalam Khutbah Jumaat.

Bendahari Majlis Penyelaras Gabungan NGO Johor, Zaini Atan, berkata pihaknya mengalu-alukan operasi pusat sembelihan seperti 3P yang membantu melindungi pengguna khususnya umat Islam dalam mendapatkan barangan makanan khususnya ayam halal.

“Penguatkuasaan bersepadu pelbagai agensi penting bagi memastikan pemborong mematuhi arahan dan tidak lagi menghantar ayam ke pusat sembelihan tidak diiktiraf dan tidak mempunyai sijil halal JAJ.

Kedai roti, kek guna DNA babi berleluasa

2011/08/06
KUCHING: Masyarakat Islam sekali lagi dikejutkan apabila ratusan kedai roti dan kek di seluruh Sarawak disyaki turut menggunakan mentega jenama Golden Churn Creamy Butter yang telah disahkan mengandungi DNA babi oleh Majlis Islam Sarawak (MIS).

Apa yang membimbangkan, kira-kira 40,000 kilogram mentega berkenaan berada di pasaran di negeri ini dengan bekalan masih boleh didapati di kebanyakan pasar raya dan kedai runcit yang menjualnya secara terbuka.
Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak, Wan Ahmad Huzir Wan Sulaiman, berkata penggunaan mentega Golden Churn Creamy Butter bukan saja di kalangan pengusaha kek lapis sebaliknya turut digunakan dalam industri pembuatan roti dan kek.
Katanya, banyak pengusaha kedai roti dan kek termasuk yang bukan beragama Islam dikesan menggunakan jenama mentega itu selepas mendapat pengiktirafan halal dari Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

“Golden Churn Creamy Butter telah digunakan secara meluas di Sarawak sebelum ini dan ia tidak terhad digunakan pengusaha kek lapis saja kerana ia turut membabitkan kedai roti serta kek yang banyak di seluruh negeri.

"Selesai pemeriksaan semua premis pengusaha kek lapis, kami akan meneruskannya ke atas kedai roti dan kek bagi memastikan mereka mematuhi sijil halal dikeluarkan JAIS,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Selasa lalu, MIS memutuskan mentega jenama Golden Churn Creamy Butter adalah haram selepas ujian makmal di Jabatan Kimia Malaysia mendapati wujud DNA babi di dalam sampel yang diambil dari pengedar di sini.
Wan Ahmad Huzir, berkata pihaknya telah mengeluarkan arahan ke atas semua pasar raya yang menjual mentega berkenaan agar mengalihkannya ke seksyen tidak halal selain meminta pengedar menampal logo halal pada bahagian bungkusannya.

“Kita tidak boleh mengarahkan mentega ini dimusnahkan kerana ada pelanggan bukan Islam masih menggunakannya.

“Mengenai dakwaan mengatakan wujudnya penghantaran Golden Churn Creamy Butter yang halal dari Australia, pihak kami menetapkan keseluruhan produk berkenaan adalah haram dan tidak ada sebarang penghantaran yang halal,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak (PPKLS), Rabiah Amit, meminta tindakan tegas turut dikenakan ke atas mana-mana pihak didapati pernah dan menggunakan mentega itu.

“Janganlah hanya ‘menyerang' pengusaha kek lapis kerana Golden Churn Creamy Butter turut digunakan banyak pihak termasuk hotel terkemuka dan kedai roti bagi menghasilkan kek atau biskut yang dijual kepada orang ramai.

“Mereka juga harus mengambil langkah sama termasuk menghentikan penggunaan mentega berkenaan dan menyamak peralatan dan perkakasan kerana pelanggan mereka merangkumi umat Islam juga,” katanya.

Roti Gardenia boleh guna semula logo halal

2011/08/16
KOTA KINABALU: Larangan mempamerkan logo halal pada roti Gardenia di Sabah yang dikuatkuasakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak Januari lalu berikutan ada keraguan mengenai kaedah pembuatan roti itu, sudah ditarik balik pertengahan bulan lalu.

Penarikan balik dibuat selepas kajian Hab Halal JAKIM di Cyberjaya mendapati beberapa aspek kebersihan yang menimbulkan keraguan sebelum ini, sudah terjawab.
Sumber JAKIM berkata, sepanjang Januari hingga pertengahan Julai lalu, syarikat pengeluar roti Gardenia di sini yang menjalankan perniagaan itu secara francais dari syarikat induk di Shah Alam, diarah menutup logo halal pada bungkusan roti kerana permohonan mereka untuk memperbaharui penggunaan logo itu mempunyai keraguan.
“Syarikat yang berpejabat di Inanam itu mengemukakan permohonan untuk memperbaharui penggunaan logo halal dikeluarkan JAKIM hujung tahun lalu.

“Berikutan itu, kami menghantar sampel ke Hab Halal JAKIM di Cyberjaya. JAKIM melalui kerjasama Jabatan Makmal dan Jabatan Kesihatan menemui beberapa keraguan berhubung aspek kebersihan ketika itu, tetapi tiada gelatin babi ditemui,” katanya kepada Berita Harian.

Sumber itu menjelaskan, JAKIM mengarahkan syarikat berkenaan menggunakan bungkusan baru tanpa logo halal JAKIM tetapi syarikat itu membuat rayuan untuk terus menggunakan bungkusan berkenaan kerana sudah mengeluarkan kos tinggi membuatnya.

Berikutan itu, JAKIM mengarahkan syarikat menutup logo halal sejak Januari lalu.
“Hanya pertengahan Julai lalu, Hab Halal JAKIM selesai membuat penyelidikan dan mengeluarkan surat menyatakan syarikat itu boleh menggunakan semua logo halal,” katanya.

Seorang pengguna, Noor Izati Shamsuddin, 46, berkata sejak logo halal ditutup, beliau tidak lagi membeli roti berkenaan kerana bimbang ia mengandungi gelatin babi.

“Bagaimanapun, sejak sebulan lalu, saya dapati penutup itu sudah dibuka semula. Saya hairan macam mana logo halal itu boleh sekejap ditutup dan sekejap dibuka,” katanya.