Tuesday, June 1, 2010

JAKIM AKAN MEMANTAU AKTIVITI 'TUKANG SEMBELIH' WARGA ASING



KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memandang serius kewujudan ‘tukang sembelih’ warga asing yang semakin berani menjalankan operasi di tempat terbuka walaupun tanggungjawab memantau perkara ini bukan terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa jabatan berkenaan.Pengarah Hab Halal Jakim, Saimah Mukhtar, berkata pihaknya hanya bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pusat sembelih yang mendapat kelulusan dan logo halal daripada Jakim.
“Bagaimanapun, atas dasar tanggungjawab sebagai institusi Islam, kami tetap menjalankan pemantauan terhadap aktiviti seperti ini dan sebarang maklumat akan disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan selanjutnya“ katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas mengenai kehadiran tukang sembelih ayam warga Bangladesh yang bertempiaran lari ketika pemeriksaan pihak berkuasa daripada pelbagai agensi di Pasar Pudu Ahad lalu.
Menurutnya, Jakim mensyaratkan semua penyembelih ayam yang berdaftar mestilah warganegara Malaysia beragama Islam, namun terdapat pengusaha pusat sembelih yang mengatakan amat susah untuk mendapatkan khidmat penyembelih ayam tempatan.
“Syarat yang kita kenakan adalah untuk memastikan penyembelih ayam adalah benar-benar bertauliah dari segi hukum agama, teknik dan kebersihan, malangnya masih ada pengusaha pusat sembelih menggunakan khidmat warga asing dari Bangladesh, Pakistan dan Indonesia,” katanya.
Menurutnya, meskipun warga asing yang menjadi penyembelih beragama Islam, namun dari aspek kebersihan dan teknik penyembelihan, kebanyakan mereka ini masih belum menepati ciri dikehendaki Jakim.

No comments: