Wednesday, December 8, 2010

Hukum Menternak Dan Menjual Lintah Dan Cacing Untuk Tujuan Perubatan Dan Kosmetik

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-81 yang bersidang pada 31 Mac 2008 telah membincangkan Hukum Menternak Dan Menjual Lintah Dan Cacing Untuk Tujuan Perubatan Dan Kosmetik. Muzakarah telah memutuskan bahawa menggunakan lintah dan cacing dalam perubatan dan sebagai bahan kosmetik adalah harus, dan hukum menternak atau berjual beli atas dasar menafaat yang diperolehi daripada kedua-dua haiwan tersebut juga adalah harus.
Keterangan/Hujah:


1. Para fuqaha sepakat tentang kesucian haiwan air dan keharusan penggunaannya untuk tujuan perubatan dan kosmetik walaupun ia tidak boleh dimakan.

2. ‘Uruf masyarakat Islam menganggap lintah dan cacing sebagai benda kotor yang tidak boleh dimakan. Walau bagaimanapun, mengikut hukum asal dan pandangan ulama’, binatang air seperti lintah dan cacing tidak dikategorikan sebagai najis.

3. Sekiranya dianggap sebagai najis, banyak persoalan berkaitan hukum yang perlu diselesaikan. Umpamanya seorang yang sedang bersolat di tanah lapang dan digigit lintah, adakah sembahyang tersebut batal atau tidak. Begitu juga ikan yang diberi makan cacing, adakah ikan tersebut boleh dimakan atau tidak.

4. Kita perlu mengambil jalan mudah dalam menentukan hukum penggunaan lintah dan cacing kerana Islam tidak menghukumkan kedua-dua haiwan ini sebagai najis. Isu yang mengatakan kedua-dua haiwan ini adalah kotor dan jijik, adalah merupakan ‘uruf semata-mata.

5. Selagimana tidak dikategorikan sebagai najis, manfaat daripada kedua-dua haiwan ini boleh diambil oleh masyarakat Islam.

No comments: