Wednesday, January 5, 2011

Ancaman Krisis Makanan Dunia

Mastura bt Mohd Zain
Pegawai Penyelidik

16/12/2010 | Artikel Bahasa Malaysia

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata Malaysia perlu bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku krisis bekalan makanan global pada 2030.

Beliau dilaporkan sebuah akhbar sebagai berkata, langkah berjaga-jaga penting kerana statistik terbaru Bank Dunia menunjukkan peningkatan ketara harga barang makanan global sejak 1905. Ianya antara 80 hingga 90 peratus dan dijangka terus meningkat sehingga 2030.

Aktiviti manusia itu sendiri telah menyumbang kepada perubahan iklim yang berlaku terhadap bumi kini. Kejadian musim kemarau bertambah panjang menyebabkan sesetengah tempat berubah menjadi gurun dan tidak lagi sesuai dijadikan kawasan pertanian.

Perubahan iklim bukan berkenaan kenaikan suhu dunia sahaja, ia termasuk perubahan sistem ribut yang lebih kuat, kemarau yang panjang, serta peningkatan aras laut yang melampau.

Masaalahnya perubahan ini akan mempengaruhi pengeluaran makanan serta keselamatan makanan untuk manusia itu sendiri. Walaupun Malaysia tidak termasuk dalam lingkaran api tetapi kejadian tsunami, letupan gunung berapi di negara jiran harusnya membuatkan kita perlu bersedia segala kemungkinan.

Justeru kita kena fikirkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk membendung kemungkinan berlakunya krisis makanan yang berpunca daripada kenaikan harga yang melampau dan kekurangan bekalan.

Isu keselamatan makanan harus dipandang serius lebih-lebih lagi ia telah dibincangkan di persidangan World Food Organization di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB).

Langkah bersepadu untuk menangani kesan perubahan iklim dunia perlu diberi perhatian bagi mengelakkan ia mencetuskan krisis makanan. Kesan perubahan iklim sudah menjadi lumrah seluruh dunia dan tiada satu negara pun yang akan terlepas.

Kerajaan juga menyeru agar meningkatkan produktiviti pengeluaran kawasan pertanian sedia ada melalui penggunaan benih, teknologi dan infrastruktur baru. Syarikat swasta dan syarikat milik kerajaan juga disaran meningkatkan pelaburan dalam bidang pertanian.

Penglibatan mereka dapat melonjakkan pengeluaran yang tinggi melalui penggunaan teknologi moden. Mereka juga mampu membangunkan pertanian pada skala yang besar.

Dalam ura-ura kita menuju transformasi ekonomi dan mahu menjadi negara berpendapatan tinggi, jangan pula kita mengabaikan pertanian. Sepatutnya takrif tersebut dilihat secara menyeluruh dengan tidak meminggirkan bidang pertanian, khasnya pengeluaran makanan.

Ini penting demi kelangsungan masa depan generasi yang akan datang. Jika kita tidak mengambil berat akan perkara ini, besar kemungkinan anak cucu kita akan hidup melarat akibat krisis makanan.

Justeru sektor pertanian harus diperkasakan berbanding mengejar kemajuan dalam bidang teknologi yang lebih canggih. Seharusnya insentif dan subsidi disediakan kepada mereka yang mahu menceburkan diri dalam bidang pertanian seperti dibuat oleh beberapa negara lain.

Sebagai contoh, dalam sektor penanaman padi di Jepun, kerajaannya memberikan subsidi 99 peratus untuk menggalakkan pertanian dalam persediaan mereka membekalkan makanan yang cukup kepada rakyatnya.

Di peringkat individu pula, setiap dari kita harus menanamkan sifat bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Di sekolah guru-guru harus sentiasa mengingatkan murid-murid agar menjaga bumi dari dicemari dengan tidak membuang sampah rata-rata serta keaedah bagi mengitar semula barang-barang.

Di rumah pula ibu bapa harus memainkan peranan menasihati anak-anak agar memelihara alam sekitar dan tidak membuat sesuka hati kerana ia akan mengakibatkan iklim yang tidak menentu dan menjejaskan bekalan makanan.

Agama Islam memang mengingatkan manusia kepentingan menjaga alam kurniaan Tuhan dan tidak membuat sewenang-wenangnya akan bumi ini. Jika manusia rakus menebang pokok sana sini serta tidak mempedulikan kehendak agama, maka nantikanlah akibatnya.

Bekalan makanan akan mula merosot dan mungkin kehabisan akibat perbuatan tangan-tangan manusia itu sendiri. Pada masa itu mungkin sudah terlambat untuk menyesal kerana tidak mempedulikan bumi selama ini.

No comments: