Berita Harian Online | Saintis Muslim bertanggungjawab bangunkan sumber halal kapsul gelatin
Agensi kerajaan perlu bertindak bersama JAKIM tangani isu dalam penghasilan produk suci keperluan umat Islam
ISU kapsul gelatin bukan perkara baru dan perkembangan teknologi terkini serta inisiatif saintis Muslim membolehkan asid deoksiribonukleik (DNA) haram boleh dikesan segera.
Namun, kapsul diperbuat menggunakan gelatin terus menghantui umat Islam disebabkan statusnya yang meragukan sedangkan kebanyakan ubat yang diambil diisi dalam kapsul.
Agensi kerajaan perlu bertindak bersama JAKIM tangani isu dalam penghasilan produk suci keperluan umat Islam
ISU kapsul gelatin bukan perkara baru dan perkembangan teknologi terkini serta inisiatif saintis Muslim membolehkan asid deoksiribonukleik (DNA) haram boleh dikesan segera.
Namun, kapsul diperbuat menggunakan gelatin terus menghantui umat Islam disebabkan statusnya yang meragukan sedangkan kebanyakan ubat yang diambil diisi dalam kapsul.
Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Abdul Karim Alias dalam kertas kerja yang dibentangkan di World Halal Research 2009, berkata 90 peratus pengeluaran gelatin dunia adalah tidak halal walaupun diambil daripada lembu (bovine) kerana diragui status sembelihannya.
Memetik laporan akhbar, kira-kira 30 peratus daripada 100 produk kesihatan yang diuji di makmal Pusat Sains Farmasi USM tidak halal kerana menggunakan gelatin kapsul dari khinzir.
Terbaru pada 3 Mac lalu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof, berkata ada tiga daripada 15 kapsul gelatin farmaseutikal adalah positif DNA khinzir. Perkara sama didedahkan ahli farmasi, Abd Rahman seperti disiarkan Berita Harian menyatakan hasil carian maklumat dan kajian peribadinya ada 90 jenis ubat-ubatan mengandungi sumber babi.
Asasnya gelatin adalah protein dan tidak mengandungi karbohidrat mahupun lemak, ditapis daripada kolagen semula jadi dari tisu haiwan. Gelatin diperbuat daripada kulit lembu, khinzir, ikan, bahagian (splits) lembu, tulang khinzir, lembu dan ayam.
Contoh ikan adalah keli dan tilapia. Ia dikategorikan sebagai bahan mentah bukan bahan tambah makanan sebab itu tiada kod ‘E nombor’. Pembuatan gelatin diketahui orang Greek dan Mesir dan dimulakan orang Perancis.
Gelatin adalah bahan mentah yang unik dan pelbagai fungsi digunakan industri makanan seperti aiskrim, jeli, kek, yogurt dan marshmallow. Gelatin juga digunakan meluas dalam industri farmaseutikal sebagai pengembang plasma darah.
Selain itu, gelatin terkenal sebagai ejen pembentukan, salutan tablet dan pil, asas vaksin, span pembedahan, bahan campuran losyen, krim, kosmetik, kapsul gelatin keras, kapsul lembut untuk ubat-ubatan dan makanan tambahan.
Ada juga kapsul tumbuhan tetapi penggunaannya tidak meluas kerana kualiti dan permintaan industri tidak sehebat kapsul gelatin haiwan. Statistik gelatin dunia pada 2005, 44 peratus dari kulit babi, 28 peratus (bahagian tulang lembu), 27 peratus (tulang) dan 1 peratus (lain-lain).
Dari sudut hukum syarak adalah jelas jika diambil daripada sumber haiwan haram, maka haramlah gelatin dan kapsul itu, jika diambil dari sumber haiwan halal tetapi tidak disembelih mengikut hukum syarak maka ia tetap haram.
Firman Allah yang bermaksud: “Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala dan (diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah, (mengundi nasib dengan anak panah itu) adalah kefasikan.” (Surah Al-Maidah, ayat 3)
Pengeluaran gelatin halal dunia satu peratus saja, sedangkan permintaan industri halal meningkat. Sampai bila umat Islam harus bergantung hasil penemuan orang bukan Islam? Adakah kaedah darurat itu terpakai sepanjang zaman? Adakah sentiasa tiada pilihan?
Ada beranggapan semua ubat adalah diharuskan. Jika merujuk keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan melalui e-fatwa JAKIM, ada kategori ubat yang tidak dibenarkan penggunaannya seperti ubat Clexane dan Fraxiparine kerana hukumnya haram.
Muzakarah juga memutuskan penggunaan vaksin BioThrax dan RotaTeg adalah tidak dibenarkan. Antara hujah yang digunakan adalah belum sampai darurat dan ada pilihan lain.
Dalam hal ini, JAKIM sebagai agensi bertanggungjawab untuk pengesahan dan pensijilan halal dunia hanya membuat pemeriksaan serta pemantauan kepada produk yang ingin menggunakan logo halal saja. Pensijilan halal di Malaysia bersifat sukarela.
Justeru, mana-mana produk termasuk kapsul gelatin babi jika tidak menggunakan logo halal atau perbahasaan halal maka tidak melakukan kesalahan mana-mana undang-undang dan boleh dijual di pasaran.
Jika kapsul gelatin babi itu menggunakan logo halal atau perbahasaan halal, maka tindakan boleh diambil mengikut Perintah Perihal Dagangan 1975 yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
JAKIM hanya mengeluarkan sijil dan logo halal kepada produk farmaseutikal kategori tambahan kesihatan, ubat tradisional dan produk kosmetik.
Kemasukan serbuk gelatin ke negara ini dikawal oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang mewajibkan permit import. Ia juga bermakna telah disahkan halal oleh JAKIM. Merujuk laman web JPV, hanya sumber gelatin dari Pakistan dan China dibenarkan masuk dan disahkan halal oleh JAKIM.
Bagaimanapun, kapsul gelatin kosong (tanpa isi) bebas masuk ke negara ini sama ada ia halal atau haram. Jika kapsul gelatin yang sudah diisikan serbuk atau ubat maka ia di bawah kawalan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Semua ubat-ubatan yang diimport atau dikilangkan di negara kita perlu didaftarkan untuk memastikan ubat itu selamat, berkualiti dan berkesan, tanpa melihat status halal sesuatu kapsul asalkan ditulis sumber haiwannya.
Industri farmaseutikal yang mendukung aspirasi kerajaan sudah tentu bertanggungjawab mengisytiharkan sumber kapsul dan menggunakan kapsul yang disahkan halal saja. Sebagai pengguna adalah sukar untuk mengenali sumber kapsul disebabkan revolusi teknologi terkini.
Nu’man bin Basyir meriwayatkan, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perkara halal adalah jelas dan yang haram juga jelas. Bagaimana pun di antara keduanya terdapat perkara yang tidak jelas (syubhah), yang ramai orang tidak mengetahuinya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Justeru, ke arah Malaysia sebagai hab halal dunia, agensi kerajaan berkenaan harus memikirkan dan bertindak bersama untuk menangani isu ini yang tiada penghujung jika meletakkan tanggungjawab isu halal dibahu JAKIM semata-mata.
Sekarang ini, menjadi cabaran kepada saintis Muslim untuk membangunkan sumber bahan yang halal bagi menghasilkan gelatin halal demi memenuhi keperluan umat Islam. Begitu juga pihak industri untuk menunaikan tanggungjawab fardu kifayah menghasilkan gelatin halal bagi pasaran halal dunia.
Penulis ialah Penolong Pengarah Kanan, Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
No comments:
Post a Comment