Sunday, April 5, 2009

Penglibatan Dalam Pekerjaan Yang Syubhah

soalan
Saya bekerja dengan satu syarikat broker insurans. Tugas saya adalah memastikan bahawa pelanggan-pelanggan saya mendapatkan perlindungan insurans yang lengkap supaya jika ada bencana menimpa mereka, mereka boleh mendapatkan pampasan melalui polisi insurans yg mereka beli.
Bagaimanakah kedudukan saya di dalam hukum Islam?
Adakah saya hanya dibolehkan berurusan dengan Syarikat Takaful sahaja?
Ada pendapat yg mengatakan harus saya terus bekerja supaya lama kelamaan orang Islam akan bertambah maju dan mula mencari cara untuk kita mengislamkan sistem insurans seperti yang dilakukan oleh Takaful dan juga bank-bank yang sekarang mula mengamalkan Sistem Pembankan Tanpa Faedah. Saya pernah untuk meninggalkan pekerjaan ini dan memohon pekerjaan di Bank Islam kerana hanya karier pembankan yang sesuai dengan kelulusan saya. Apa pendapat Panel Ustaz?

Jawapan: Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan juga Muslim jelas melarang seseorang itu menjerumuskan dirinya ke dalam perkara yang syubhah. Ini bermakna penglibatan diri seseorang ke dalam perkara yang jelas haramnya seperti penglibatan dalam syarikat Insuran yang tidak berorientasikan Islam lebih hebat dan keras haramnya di sisi syarak, kerana bertentangan dengan nas yang melarang memakan riba.
Dalam sebuah hadis riwayat At-Tirmidhi menjelaskan Allah SWT melaknat orang yang memakan riba, orang yang memberi riba, dua orang saksinya dan juga keraninya. Jika seseorang itu mampu berpindah ke syarikat lain yang lebih islamik, itu adalah lebih baik, kerana tindakan ini bersesuaian dengan kaedah feqah yang berbunyi: "Tinggalkanlah perkara yang meragukan anda kepada perkara yang tidak meragukan anda". Menurut Al-Qardawi dalam fatwanya untuk merubah sistem bank dan insuran yang diamalkan hari ini sekaligus tidak mungkin dan permasalahan riba tidak akan selesai.
Sebaliknya ia hendaklah dilakukan secara beransur-ansur. Jika seseorang itu mengambil tindakan berhenti terus sudah pasti orang-orang yang bukan Islam akan mengambil alih, menyebabkan sistem riba masih terus beroperasi. Kerana itu menurut beliau orang-orang Islam yang berkerja di sini hendaklah terus berkerja tetapi jangan meredhai pekerjaannya itu dan ia bekerja itu atas dasar mencari kemahiran. Sesudah memiliki kemahiran ia hendaklah berusaha berpindah ke syarikat yang berteraskan Islam dan menggunakan kepakarannya itu untuk memajukan syarikat Insuran Islam. Wallah A'lam.

No comments: