2010/04/19PUTRAJAYA: Memakan haiwan ternakan, termasuk ikan keli yang diberi makanan sebahagian besarnya organ dalaman babi atau haiwan lain secara berterusan adalah haram bagi umat Islam dan fatwa mengenai pengharaman itu sudah diwartakan. Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd Amri Abdullah, berkata fatwa pengharaman itu wajar menjadi panduan kepada umat Islam bagi mengelak membeli hasil ternakan haram dimakan.
“Umat Islam perlu berhati-hati dan mengelakkan memakan ternakan seumpama kerana fatwa mengenai kesahihan haram atau halal sudah dikeluarkan,” katanya kepada Berita Harian, ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas laporan akhbar baru-baru ini mengenai seorang penternak ikan keli di Taman Agro Teknologi Pertanian Bestari Jaya di Kuala Selangor, Mohd Fadzil Ibrahim, mendakwa ada ikan keli yang diternak bukan Melayu diberi makan seperti perut ayam, bahan buangan, bangkai dan organ dalaman babi.
Namun, Mohd Amri berkata walaupun Jakim bertanggungjawab terhadap persijilan halal seperti ditetapkan oleh standard ISO MS150 2009, pihaknya tidak berhak memeriksa produk yang tidak mempunyai persijilan halal atau tanpa logo halal.
“Jakim hanya boleh memeriksa pengeluaran, penyediaan, pemberian makanan, penyembelihan, pengendalian, penyimpanan dan pembungkusan bagi produk yang ada sijil halal, Pendek kata, semua proses dari ladang hingga sampai kepada konsumer di meja makan adalah dalam bidang kuasa Jakim.
“Bagaimanapun, bagi produk yang tiada persijilan halal atau menggunakan logo halal, ia tidak bermakna bahan terbabit haram dimakan tetapi pengguna harus menggunakan budi bicara dan jangan beli sekiranya was-was,” katanya.
Beliau berpendapat adalah berbaloi bagi pengusaha hasil ternakan seperti ikan keli, yang sebahagian besar pelanggannya adalah orang Melayu atau umat Islam, memohon persijilan halal bagi menghapuskan syak wasangka terhadap kesahihan status halal produk yang dipasarkan.
No comments:
Post a Comment