Thursday, April 8, 2010

Tiga tong ‘ayam lemas’


KUALA LUMPUR: Meloyakan dan tidak sepatutnya berlaku apabila ada segelintir peniaga ayam tempatan bertindak menjual ‘ayam lemas’ kepada pelanggan Islam walaupun menyedari ia meragukan dan boleh dianggap sebagai bangkai.Kewujudan ayam lemas itu didedahkan berikutan penemuan tiga tong penuh berisi air yang digunakan peniaga ayam untuk melemaskan ratusan ayam dalam satu pemeriksaan mengejut di Pasar Sentul di sini, awal pagi semalam.
Lebih menjijikkan apabila peniaga turut sengaja mencampakkan puluhan ayam yang baru disembelih ke lantai berlumut sebelum dijual kepada orang ramai.
Tindakan yang disifatkan tidak bertanggungjawab itu dibongkar selepas sepasukan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan pemeriksaan di pasar berkenaan.
Sumber berkata, operasi bermula jam 4 pagi itu disasarkan ke kawasan pasar terbabit bagi menilai tugas penyembelihan ayam selain memastikan ia mengikut hukum syarak serta halal sebelum dijual kepada pengguna Islam.
“Dalam operasi itu, empat premis sembelihan ayam di pasar terbabit diperiksa, tetapi tiga daripada premis berkenaan tidak menjalankan perniagaan seolah-olah mengetahui lebih awal kehadiran pihak berkuasa.


Bagaimanapun, pemeriksaan ke atas premis yang menjalankan perniagaan itu agak mengejutkan apabila mendapati kebanyakan ayam yang disembelih terus dimasukkan ke dalam tong berisi air,” katanya.
Menurutnya, tindakan memasukkan terus ayam yang baru disembelih ke dalam tong berisi air bersama puluhan ayam lain mencetuskan tanda tanya sama ada ayam terbabit mati akibat disembelih mengikut hukum syarak atau mati akibat terhimpit dan lemas. “Tong berisi air terbabit berisi ratusan ayam yang semuanya dalam keadaan terendam dan mati berhimpit antara satu sama lain. Keadaan ini jelas menimbulkan isu ‘syubahah’ atau curiga sama ada ia halal dimakan atau sebaliknya.
“Walaupun semua ayam terbabit disembelih dan putus urat leher mengikut hukum syarak, cara ia mati dianggap boleh menyebabkan ia dianggap sebagai bangkai. Mengikut hukum syarak, ayam sebegini yang tidak mati akibat sembelihan haram dimakan umat Islam,” katanya.
Selain itu, keadaan tempat penyembelihan yang kotor dan ayam sembelihan yang diletak berteraburan di atas lantai berlumut turut menimbulkan keadaan jijik.
Berikutan beberapa isu meragukan itu, pegawai Jakim menyoal siasat pemilik premis penyembelihan ayam terbabit sebelum lelaki berusia 40-an itu diberikan tazkirah berhubung kaedah penyembelihan sewajarnya.


Difahamkan, peniaga berkenaan turut diberikan kompaun oleh pihak DBKL berhubung kesalahan dilakukan.
Dalam operasi diadakan sebelum ini di Pasar Pudu, pihak Jakim pernah mengesan tindakan peniaga melemaskan ayam yang baru disembelih ke dalam tong besar berisi air atau menindihnya dalam tong bagi mempercepatkan proses kematian sebelum diproses dan dijual kepada orang ramai. Lebih menjijikkan apabila ada antara pusat penyembelihan ayam terbuka itu ‘berjiran’ dengan gerai atau tempat penjualan daging babi, sekali gus menimbulkan kegusaran sama ada ayam terbabit halal dimakan. Soal siasat terhadap seorang pekerja mendapati, tugas penyembelihan dilakukan warga Bangladesh dan Indonesia yang diambil bekerja tanpa sijil pentauliahan penyembelihan sah.

No comments: