Sunday, February 13, 2011

Hab halal Sarikei buka peluang pada bukan Islam

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata pembangunan hab makanan halal di Tanjung Manis di Sarikei akan membuka banyak peluang perniagaan kepada semua golongan termasuk bukan Islam.

Justeru kata beliau, semua usahawan harus merebut peluang itu khususnya dalam industri pemprosesan makanan.

"Saya yakin dengan pengalaman anda semua dalam bidang perniagaan, anda mampu melaksanakan tugas ini. Lebih-lebih lagi anda tidak perlu menjadi orang Islam untuk terlibat dalam perniagaan makanan halal," katanya berucap pada majlis sambutan Tahun Baru Cina Persatuan Cina Bersatu (UCA), di Sibu malam tadi.

Ini kerana katanya, Malaysia mempunyai skim persijilan halal yang sangat ketat selain banyak bergantung kepada kredibiliti rakyatnya sebagai 'penjaga' kepada makanan halal.

Selain itu, Abdul Taib berkata Sarawak juga diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Dunia sebagai tempat terbaik untuk menternak atau menjadi pusat transit haiwan ternakan kerana negeri ini bebas penyakit.

"Anda boleh membawa masuk ternakan dari Australia atau New Zealand dan memperosesnya di sini untuk dieksport. Industri makanan halal dunia mencecah trilion dolar setiap tahun dan selain negara Timur Tengah, makanan halal juga semakin popular di Amerika, Britain dan lain-lain," katanya.

Pada masa yang sama, Abdul Taib berkata kedudukan Sibu yang strategik juga memudahkan usaha memproses, memasar serta mengedarkan produk.

Beliau juga turut berbangga kerana eksport Sarawak semakin meningkat setiap tahun.

Apabila jalan dari Tanjung Manis ke sini siap tahun ini, Sarawak akan mempunyai satu lagi pelabuhan yang dapat membantu memesatkan lagi sektor eksport, katanya.

Selain itu kata beliau, Sibu juga mempunyai industri membina kapal yang boleh dieksploitasi sepenuhnya.

"Dengan sebegitu banyak potensi di sini, Saya yakin Sibu akan membangun dengan pesat sekalipun bandar ini telah kehilangan ramai usahawan dan tenaga kerja yang berhijrah ke bandar lain selepas letusan sektor pembalakan pada 1950an dan 1960an," katanya.

--Bernama

No comments: