MELAKA 20 Ogos - Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) meminta pemilik hotel di negeri ini agar memperbaharui sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam tempoh enam bulan sebelum tamat tempoh sah.
Pengarah JAIM, Sulaiman Harmain Shah berkata, pemilik hotel perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan ketika mereka memohon pensijilan halal daripada Jakim bagi mengelak timbul sebarang kekeliruan.
Menurutnya, kebanyakan hotel di negeri ini terutama bertaraf lima dan empat bintang mengambil sikap sambil lewa dan tidak ambil peduli kerana lewat memperbaharui sijil halal yang tamat tempoh sah.
"Sepatutnya mereka memperbaharui sijil halal dalam tempoh enam bulan sebelum tamat kerana ia terkandung dalam arahan yang dikeluarkan ketika mula-mula mohon sijil halal.
"Tetapi kerana sikap tidak ambil peduli dan menganggap remeh menyebabkan pembaharuan sijil halal beberapa hotel lewat dikeluarkan oleh JAIM," ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Menurut Sulaiman, JAIM mengeluarkan senarai 19 hotel yang mempunyai sijil halal dan bukannya bermaksud hotel lain makanannya tidak halal.
"Ada pihak hotel cepat melatah dan tidak faham apa dimaksudkan JAIM apabila mengeluarkan senarai 19 hotel yang mempunyai sijil halal daripada Jakim.
"Kalau mereka tidak mahu melatah, patuhi arahan JAIM, baharui sijil halal dalam tempoh enam bulan sebelum tamat tempoh sah. Bukankah ia sangat mudah sebenarnya," ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, hotel bertaraf lima dan empat bintang di negeri ini sepatutnya lebih bijak untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan JAIM.
"Mereka ini pandang rendah terhadap soal makanan halal yang melibatkan orang ramai. Jika mereka ambil kisah tidaklah mereka lewat baharui sijil halal," katanya.
Bagaimanapun, katanya, ada juga beberapa hotel di negeri ini yang memohon untuk mendapat sijil halal daripada Jakim dan JAIM tetapi ditolak kerana menu masakan menggunakan bahan mentah yang meragukan.
"Bagi hotel seperti itu, ia tidak menyediakan makanan halal kerana timbul keraguan dari segi bahan mentah yang digunakan selain perkakas dan tempat tidak bersih," ujarnya.
No comments:
Post a Comment