Tuesday, August 24, 2010

Penggubalan Akta Halal perlu disegerakan

BAGAIKAN musim, isu halal haram kini mendapat perhatian mendadak pihak berkuasa. Kita seolah-olah baru saja mengalami kejutan selama ini makanan di kebanyakan restoran dan hotel tidak disediakan dengan prosedur halal sepenuhnya.

Kalau restoran dan hotel menjadi sasaran pemantauan pihak berkuasa, bagaimana pula dengan gerai di tepi jalan dan pusat penjaja? Apakah kita yakin sepenuhnya dengan makanan di gerai?
Tidakkah kita terfikir bahawa terdapat banyak pasar raya yang menjual ayam dengan harga murah, sehingga kadangkala harga berkenaan tidak masuk akal.
Peniaga mungkin tertarik dengan harga ayam paling murah yang dijual di pasar raya besar. Namun bagaimana jika ayam itu tidak disembelih mengikut syariat Islam, atau diimport dari negara asing tanpa pengesahan halal?

Pihak berkuasa tidak boleh menjaga setiap pusat menjual makanan, dan terserah kepada pembeli menentukan sendiri apakah wajar mereka makan di tempat tertentu atau membeli barangan yang tidak disahkan halal.

Mungkin kita terlalu yakin tanggungjawab halal haram itu tanggungjawab pihak berkuasa, maka tidak menjadi hal bagi kita makan di restoran bukan Melayu yang mendakwa mempunyai sijil halal, atau mempamerkan salinan sijil halal daripada pihak berkuasa tertentu di premisnya.

Keadaan di mana orang Islam berbaris untuk mendapat tempat duduk di restoran bukan Melayu di kompleks beli-belah bukanlah gambaran asing. Ramai yang selesa makan di restoran bukan Islam kerana ia popular, sedap dan berprestij.
Justeru, sekiranya isu halal ini hendak diambil tindakan, ia hendaklah meliputi semua aspek dan bukan sekadar pemeriksaan di restoran dan hotel. Tidak lama dulu, sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur didapati menyimpan daging halal dan tidak halal dalam sebuah peti ais sama.

Pihak pengurusan hotel diberikan amaran supaya mengambil langkah membetulkan
keadaan.

Langkah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melakukan pemeriksaan ke atas premis makanan di hotel dan restoran adalah permulaan serius dan amat dialu-alukan umat Islam.

Kita berharap tindakan itu dijalankan dengan tegas tanpa mengambil kira siapa pemiliknya dan pengaruh pihak pengurusannya di kalangan orang yang berkuasa.

Mereka yang melakukan kesalahan membohongi pelanggan dengan mendakwa menyediakan makanan secara halal tidak harus dilepaskan begitu saja.

Jika JAKIM benar-benar serius, menangani permasalahan ini, ia tidak harus memberi alasan tindakan tidak dapat dilakukan sepenuhnya kerana tidak ada pegawai mencukupi, peruntukan undang-undang tidak cukup dan sebagainya.

Pengimportan ayam dari China dan Thailand serta daging kerbau dari India hendaklah dipantau dengan lebih teliti oleh JAKIM.

Banyak lagi perkara yang perlu dipantau mengenai isu halal haram bahan makanan mentah ini, termasuk penghantarannya dengan van atau lori yang mempunyai kemudahan simpanan sejuk, yang mungkin mencampuradukkan daging halal dan tidak halal.

Justeru, bagi pemantauan menyeluruh, memang wajar Akta Halal digubal bagi membolehkan JAKIM melaksanakan sendiri peraturan berhubung penguatkuasaan sijil dan pengeluaran logo halal.

Kita menyambut baik pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa JAKIM perlu diberikan kuasa bagi membolehkannya melaksanakan peraturan berkenaan.

Akta Perihal Dagangan 1972 tidak mencukupi jika kerajaan ingin menjadikan badan tunggal yang menguatkuasakan sijil dan logo halal.

Pengeluaran sijil halal juga tidak seharusnya dilakukan pihak swasta, kerana dikhuatiri ia boleh dimanipulasi mengikut kehendak peniaga dan pemberian sijil akan didorong oleh motif keuntungan.

Pada masa ini tiada satu akta yang dengan jelasnya menyatakan pihak lain tidak boleh mengeluarkan sijil dan logo halal, menyukarkan tindakan pihak berkenaan menguatkuasa peraturan berkenaan.

Pindaan kepada Akta Perihal Dagangan 1972 dijangka dibentangkan di Parlimen Oktober depan, tetapi melihat perkembangan semasa, adalah lebih wajar Akta Halal diwujudkan seiring dengan pindaan akta berkenaan.

Pemantauan dan tindakan perlu dilakukan terhadap kilang pengeluaran mi, kueh teow, bihun, bebola ikan, pucuk, roti, pau dan lain-lain yang sebahagian besarnya dihasilkan oleh bukan Islam, termasuk di premis yang boleh diragui seperti di sebelah kandang babi.

JAKIM diharap dapat memberi penjelasan mengenai emulsifier yang digunakan dalam pengeluaran coklat, biskut, aiskrim dan makanan seumpama bagi memastikan hanya emulsifier halal saja digunakan.

Maklumat disebarkan internet menyatakan 59 jenis emulsifier yang digunakan dalam makanan mengandungi lemak babi.

Apa yang mengelirukan ialah kadangkala terdapat emulsifier di atas yang terkandung dalam bahan coklat, yang turut mempunyai tanda logo halal.

Perkara ini sepatutnya diberi perhatian oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan agar umat Islam lebih jelas dan yakin dengan produk yang dijual di pasaran, termasuk bahan kosmetik.

Tidak guna kita memukul canang untuk menjadi hab halal sedunia kalau di negara kita sendiri banyak berlaku kelalaian status halal. Masyarakat Islam juga tidak harus terlalu liberal atau mengambil sikap acuh tak acuh dalam perkara ini.

No comments: