Tuesday, August 24, 2010

Isytihar kandungan masakan

Utusan Malaysia Online - Pahang

EMERLOH 24 Ogos – Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menggesa semua hotel di negeri ini mengisytiharkan kandungan yang digunakan dalam masakan bagi mempercepatkan proses permohonan sijil halal.

Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIP, Noridzuan Abdul Manan berkata, kegagalan pihak pengurusan hotel berbuat demikian akan melewatkan proses kelulusan sijil halal.

Langkah itu juga, kata beliau, bertujuan memudahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan JAIP memantau seterusnya meluluskan permohonan sijil halal dalam masa singkat.

‘‘Permohonan sijil halal yang mempunyai cukup syarat hanya mengambil masa kira-kira sebulan untuk diluluskan.

‘‘Kaedah ini akan dilaksanakan bagi semua permohonan sijil halal baru daripada hotel-hotel di seluruh Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil halal kepada Hotel Seri Malaysia Temerloh di sini malam tadi.

Hadir sama, Pengurus Seri Malaysia Temerloh, Rusli Yusoff.

Noridzuan memberitahu, masih banyak hotel bertaraf bintang di negeri ini yang belum memohon sijil halal yang diiktiraf Jakim dan JAIP.

Sehubungan itu, tegas beliau, pihaknya akan turun padang memantau semua hotel di negeri ini supaya mereka mempunyai sijil halal yang diiktiraf Jakim.

Sehingga kini jelas beliau, sebanyak 26 hotel di seluruh negeri telah mendapat sijil halal dan menyediakan promosi bufet Ramadan.

‘‘JAIP juga menyasarkan semua hotel bertaraf lima bintang di Pahang akan menerima sijil halal menjelang hujung tahun ini,” katanya.

Sementara itu tambah Noridzuan, kelewatan Hotel Seri Malaysia menerima pengiktirafan sijil halal sejak tiga tahun lalu disebabkan masalah teknikal.

Dengan pengiktirafan itu, kata beliau, Hotel Seri Malaysia Temerloh menjadi hotel ke-26 yang layak menyediakan minuman dan makanan yang diiktiraf halal oleh Jakim dan JAIP.

No comments: