Sunday, October 31, 2010

Tiada bukti kopi Starbucks haram



KUALA LUMPUR - Umat Islam tidak perlu keliru dengan penyebaran mel elektronik akhir-akhir ini berhubung status halal beberapa produk keluaran rangkaian kafe ternama, Starbucks.

Pengarah Bahagian Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zainal Abidin Jaffar dalam e-mel kepada Kosmo! menjelaskan, siasatan mereka mendapati, dakwaan pihak tertentu itu tidak berasas.

"Ia disahkan sebagai halal dan apa yang berlaku merupakan kekeliruan di kalangan pengguna sahaja," katanya sebagai mengulas kiriman e-mel kononnya ia kenyataan Jakim mengesahkan status haram produk terbabit.

Kosmo! yang juga menerima e-mel itu dimaklumkan bahawa pelbagai produk syarikat berkenaan seperti coklat, vanila dan kopi didakwa mengandungi lemak babi selain sejenis arak, rum.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin menambah, penggunaan bahan kimia dengan kod E471 atau mono di-glycefides dalam produk itu turut disahkan halal sebagai bahan tambahan makanan dibenarkan.

"Jakim sendiri membuat pemeriksaan terperinci dan ujian makmal untuk memastikan bahan itu mendapat pengesahan halal berasaskan kepada tumbuhan sahaja serta digunakan oleh kilang berdaftar dengan Jakim," tegasnya.

Beliau juga memaklumkan Starbucks Coffee Company Sdn. Bhd. dan The Coffe Bean & Tea Leaf (Malaysia) Sdn. Bhd. masih memegang sijil halal dikeluarkan oleh Jakim yang tamat tempoh akhir tahun depan.

Wednesday, October 6, 2010

Sijil halal, logo JAKIM berkuat kuasa April depan

PUTRAJAYA: Berkuat kuasa April tahun depan semua syarikat dan premis perniagaan perlu menggunakan sijil dan logo halal Malaysia dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, mereka yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 (Pindaan 2010).
“APD 1972 akan dibentangkan untuk bacaan pertama pada sesi Parlimen Isnin ini juga membatalkan hak pengeluaran sijil dan logo halal tujuh syarikat swasta lain.
“Pindaan terhadap APD 1972 khususnya membabitkan Perintah Perihal Dagangan (Perbahasan ‘Halal’) 1975 akan memberi kuasa mutlak kepada JAKIM untuk mengeluarkan Sijil Halal Malaysia dan Logo Halal Malaysia, manakala permohonan mendapatkan sijil boleh dikemukakan kepada JAKIM dan jabatan agama Islam negeri,” katanya selepas menghadiri taklimat pindaan APD 1972 di sini, semalam.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Wan Mohammad Sheikh Abdul Aziz dan Pengarah Hab Halal JAKIM, Saimah Mukhtar.

Ismail Sabri berkata, ketika ini, sebanyak 12 negeri sudah memberikan persetujuan berhubung pindaan ini manakala dua lagi masih dalam proses dokumentasi.

Mengenai tindakan penguatkuasaan, beliau berkata, ia masih di bawah bidang kuasa kementeriannya, tetapi sebarang kegiatan penguatkuasaan akan dijalankan dengan kerjasama JAKIM.
“Satu jawatankuasa bersama dan pasukan khas dianggotai wakil kementerian serta JAKIM ditubuhkan bagi menguatkuasakan akta itu,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan peniaga yang menyalahguna sijil dan logo halal Malaysia yang dikeluarkan oleh JAKIM akan didenda RM500,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya dan meningkat kepada RM1 juta serta 10 tahun penjara jika mengulangi kesalahan sama, mengikut APD 1972 (Pindaan 2010).

Syarikat yang melakukan kesalahan sama juga dikenakan denda RM1 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, manakala denda RM5 juta atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya, bagi kesalahan seterusnya.

Sementara itu, Saimah berkata, pindaan itu akan memudahkan lagi pihaknya memproses permohonan bagi mendapatkan sijil dan logo halal Malaysia berikutan wujudnya penyeragaman pengeluaran sijil dan logo terbabit di seluruh negara.

Beliau berkata, ia kerana sebelum ini semua permohonan oleh syarikat yang mengeluarkan produk bagi pasaran antarabangsa perlu dikendalikan oleh JAKIM, manakala produk bagi pasaran tempatan diproses oleh jabatan agama Islam negeri.