Wednesday, July 28, 2010

Denda tak pamer sijil, logo halal akan dinaikkan

KUALA LUMPUR 27 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan meminda Akta Perihal Dagangan 1972 bagi menaikkan kadar denda kepada individu atau syarikat korporat yang gagal mempamerkan sijil dan logo halal yang sah.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pindaan itu dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat Oktober ini bagi membolehkan ia dikuatkuasakan bermula awal tahun depan.

Menurutnya, dalam cadangan ini, individu dan syarikat yang didapati bersalah akan didenda RM100,000 dan RM250,000 beserta tiga tahun penjara.

“Bagi kesalahan kali kedua, kadar denda akan dinaikkan kepada RM500,000 untuk individu dan RM1 juta kepada syarikat korporat dengan lima tahun penjara.

“Manakala bagi kesalahan seterusnya, mereka akan dikenakan denda sebanyak RM1 juta dan RM5 juta bersama 10 tahun penjara,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan projek perumahan Casabella@Grandville di sini hari ini.

Dalam laporan Utusan Malaysia hari ini, Ismail Sabri menyatakan hanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhak mengeluarkan sijil halal apabila akta tersebut dipinda tidak lama lagi.

Tambah Ismail Sabri, piawaian halal bukan hanya berkaitan makanan sahaja sebaliknya meliputi produk kecantikan wanita.

“Isu halal ini tidak boleh diambil mudah. Ia melibatkan aspek agama. Justeru, saya mahu semua pihak termasuk pengusaha restoran dan pengguna mengambil serius hal ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan pihak Jakim mengambil berat segala rungutan pemohon termasuk kesukaran dan kelewatan proses mendapatkannya.

“Bagaimanapun orang ramai perlu tahu, proses pemberian sijil dan logo halal bukan mudah.

“Ia perlu dipastikan menepati piawaian halal dengan maksud yang sebenar, bukan dengan melalui panggilan telefon sahaja,” jelasnya.

No comments: