POH 26 Julai - Persatuan Pengguna Perak (PCA) menggesa kerajaan supaya menyenaraihitam pengusaha restoran dan kopitiam yang didapati menipu penggunaan logo halal di premis mereka.
Naib Presiden PCA, Othman Yunus berkata, tindakan tegas itu perlu bagi mengelakkan lebih banyak pengusaha restoran dan kopitiam bersikap sambil lewa dan mengulangi kesalahan sama.
Sambil menyokong denda melebihi RM250,000 yang bakal dikenakan kepada pengusaha terlibat katanya, langkah menyenarai hitam lebih menampakkan kesan dalam usaha kerajaan menangani isu tersebut.
"Perkara yang perlu difikirkan sekarang ini adalah kalau setakat denda atau perniagaan disita, mereka (pengusaha restoran dan kopitiam) pandang sebelah mata sahaja.
"Selepas bayar denda, mereka boleh buka kembali perniagaan dan mungkin menggunakan nama lain. Jadi isu ini tidak akan selesai," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas pindaan Akta Perihal Dagangan 1972 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat Oktober ini dan bakal menyaksikan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pengusaha terlibat.
Melalui pindaan tersebut, pengusaha restoran dan kopitiam yang didapati menipu penggunaan logo halal dalam menjalankan perniagaan mereka akan didenda melebihi RM250,000.
Menurut Othman, selain tindakan terbabit, Jabatan Agama Islam juga perlu memainkan peranan lebih aktif memantau fenomena tersebut agar tidak timbul keraguan di kalangan pengguna.
"Minggu lepas sahaja, 32 laporan dibuat oleh pengguna kepada PCA yang meragui kesahihan logo halal di beberapa premis di bandar raya ini kerana sekadar meletakkan logo halal yang difotostat.
"PCA hanya boleh menerima laporan dan menjalankan pemantauan. Tugas sebenarnya terletak di tangan Jabatan Agama Islam kerana ia adalah bidang kuasa mereka," katanya.
Pada masa sama, beliau turut menasihati pengguna di negeri ini agar tidak terus mengunjungi mana-mana premis makanan yang menggaji tenaga kerja beragama Islam.
Ini kerana, katanya, langkah menggaji pekerja Islam adalah taktik terbaru pengusaha restoran dan kopitiam untuk menarik pelanggan Melayu.
"Kita dapati kebanyakan pelanggan Melayu yang mudah tertipu dengan taktik baru ini. Asalkan sahaja nampak pelayan premis terbabit memakai tudung atau Melayu, mereka terus masuk.
"Walaupun premis tersebut tidak ada logo halal, mereka tetap masuk kerana percaya dengan pelayan yang bekerja. Masalahnya, tukang masak di dapur tidak semestinya orang Islam," katanya.
No comments:
Post a Comment