Wednesday, July 28, 2010

Memperkasa Jakim atasi isu kopitiam

ABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu diperkasakan saiz penguat kuasanya sekurang-kurangnya sama dengan beberapa agensi kerajaan lain supaya ia tidak mengelirukan rakyat atau dilihat boleh dipermainkan oleh pihak tertentu, khususnya para pengusaha kopitiam dan restoran bersabit penggunaan logo halal.

Biarpun tidak sekuat atau sebesar jumlah anggota pasukan polis, jika boleh anggota Jakim setanding dengan beberapa agensi penguat kuasa lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Imigresen dan Kastam.

Isu ini lebih mengelirukan bila dilaporkan terdapat pihak swasta turut mengeluarkan logo halal walaupun beberapa kali ditegaskan hanya Jakim diberi kuasa mengeluarkan lesen dan sijil halal, di samping pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Negeri.

Agak mengelirukan apabila sebuah jabatan kerajaan mengeluarkan lesen atau sijil halal yang juga dikeluarkan oleh pihak swasta seperti dilaporkan. Kejadian ini mungkin tidak berlaku kepada jabatan atau pihak penguat kuasa lain.

Jakim seolah-olah dipermain-mainkan dengan sering timbulnya isu penyalahgunaan 'logo halal' sejak sekian lama sebelum timbul isu kopitiam sekarang.

Ini kerana tanggungjawab Jakim bukan sahaja mengeluarkan lesen atau sijil halal, malah meliputi banyak bidang lain termasuk industri makanan, hotel-hotel yang berselerak di semua bandar di seluruh negara dan peniaga -peniaga di pelbagai pasar termasuk pasar raya yang menjual ayam, daging, arnab, kambing dan lembu yang perlu diperiksa dan dipastikan halal haramnya.

Dengan bilangan anggota yang amat terhad, khabarnya kira-kira 400 orang saja, tentunya sukar bagi Jakim memastikan penggunaan logo halal ini dipatuhi. Ia sekali gus boleh menyebabkan umat Islam merasa was-was untuk mengunjungi premis-premis kopitiam yang menjadi trend dan kesukaan ramai kebelakangan ini.

Keperluan memperbesarkan institusi Jakim dilihat lebih mendesak melalui langkah kerajaan mempelopori dan menawarkan Malaysia sebagai hab halal dunia yang tentunya memerlukan tambahan berganda bilangan kakitangan dan penguat kuasanya.

Tanpa mempersoalkan kedudukan Jakim yang telah mendapat pengiktirafan dunia di samping pegawai-pegawai yang dikatakan amat berdedikasi, orang ramai khususnya umat Islam masih merasakan jumlah kakitangan termasuk para pegawai penguat kuasa Jakim yang ada tidak sepadan atau mencukupi dengan beban tugas dipikul, di samping liputan tanggungjawab amat luas dan kompleks yang diamanahkan kepadanya.

Selain kemungkinan mengadakan cawangan di peringkat negeri dan daerah untuk mengadakan perkhidmatan yang lebih besar dan menyeluruh, sebagai langkah permulaan proses memperkasa Jakim adalah dengan menempatkan pegawai penguat kuasa di Jabatan Agama Islam negeri-negeri bagi membendung penyalahgunaan logo halal.

Di samping mengharapkan kerjasama semua pihak, Jakim sepatutnya telah lama bertindak memberi kesedaran dan pengajaran tentang memahami erti sebenar selok-belok halal haram di sisi Islam, bukan sekadar penggunaan logo halal semata-mata kepada masyarakat peniaga bukan Islam.

MAT PIAH TEH DERIS

Seri Kembangan, Selangor

No comments: