Tuesday, June 9, 2009

KKM sahkan ACYW135 halal

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam mengesahkan vaksin Meningococcal Quadrivalen (ACYW135) adalah halal kerana ia tidak mengandungi unsur-unsur dari sumber babi atau lembu dalam penyediaannya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican dalam kenyataannya kepada Kosmo! menjelaskan, pelalian itu adalah untuk mencegah jangkitan meningococcal meningitis.
"Ia diwajibkan oleh Kerajaan Arab Saudi sebagai syarat pengeluaran visa haji dan umrah,'' katanya.
Mohd. Ismail seterusnya menambah, suntikan vaksin itu boleh diperoleh di klinik kesihatan kerajaan secara percuma untuk jemaah haji melalui temu janji dan ia hanya perlu diberikan sekali dalam setiap tiga tahun.
Kenyataannya itu dikeluarkan ekoran laporan akhbar Batam Pos baru-baru ini mengenai keputusan Majlis Ulama Indonesia mengharamkan vaksin meningococcal meningitis kepada jemaah haji negara tersebut kerana mengandungi enzim babi.
Ia kemudian mendorong beberapa pakar agama di negara ini meminta pihak berkuasa menyemak semua status suntikan vaksin untuk jemaah haji dan umrah kerana dikhuatiri turut menggunakan sumber haram.

No comments: