Monday, October 19, 2009

Sijil halal ekspres dijaja RM5,000

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


CYBERJAYA: Keghairahan pemilik restoran eksklusif dan kopitiam menjerat pelanggan bagi mengaut keuntungan lumayan mendorong mereka sanggup melabur sehingga RM5,000 bagi memperoleh sijil pengesahan halal ekspres yang dikeluarkan badan tidak diiktiraf pihak berkuasa berkaitan di negara ini.

Pengeluaran sijil ekspres yang boleh mengelirukan umat Islam itu didalangi warga tempatan yang menguasai empat badan yang kononnya memperoleh hak berkenaan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mengeluarkan sijil ekspres terbabit.

Empat organisasi misteri yang mempunyai ibu pejabat di Kuala Lumpur itu dikatakan turut melebarkan sayap di beberapa negeri bagi memudahkan mereka mengeluarkan sijil kepada ahli perniagaan yang berhasrat membuka restoran eksklusif.

Kegiatan pengeluaran sijil ekspres itu didedahkan Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Saimah Mokthar yang mengakui kebanyakan restoran dan kopitiam yang beroperasi di negara ini memiliki sijil halal tidak dikeluarkan Jakim, tetapi beberapa badan swasta yang tidak diiktiraf.

Beliau berkata, sikap pengusaha restoran dan kopitiam yang ingin mendapatkan sijil pengesahan halal dengan cepat menyebabkan mereka sanggup membayar ribuan ringgit berbanding kadar tidak melebihi RM1,000 ditawarkan Jakim.

“Kami sudah mengenal pasti empat badan swasta yang menjalankan kegiatan ini yang mengenakan bayaran cukup mahal bagi mendapatkan sijil halal.

“Kami mendapat maklumat ini hasil aduan pengusaha restoran dan kopitiam yang mendakwa terpaksa membayar sehingga RM5,000 selepas tidak berpuas hati apabila mengetahui Jakim mengenakan bayaran yang jauh lebih murah.

“Jakim hanya mengenakan bayaran RM100 bagi pengusaha industri kecil, RM400 bagi industri sederhana dan RM700 untuk syarikat multinasional mendapatkan sijil halal,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Saimah berkata, logo halal yang dikeluarkan juga berlainan dengan logo halal Malaysia yang dikeluarkan Jakim yang tertera bintang lapan bucu dengan perkataan halal dalam bahasa Arab di tengahnya, dua bintang kecil di kiri dan kanan, selain mempunyai perkataan Malaysia dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab.

Tanpa berselindung, beliau menegaskan, hanya logo berkenaan saja yang diiktiraf Jakim dan jaminan halal itu berdasarkan proses piawaian serta prosedur ditetapkan, selain melalui sistem pengauditan yang terperinci.

“Kami tidak mengiktiraf selain daripada logo halal Malaysia kerana tidak mengetahui prosedur dan piawaian yang digunakan badan berkenaan sebelum mengeluarkan sijil halal,” katanya.

Saimah berkata, pengguna yang meragui sijil halal di restoran atau kopitiam boleh membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPNDKK) kerana Jakim tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan pengusaha premis berkenaan.

Katanya, hanya KPDNKK yang boleh mengambil tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 1975 (APD 1975), bagaimanapun, Jakim akan memberikan kerjasama bagi melakukan siasatan.

“Jika pengguna dapat membuktikan jualan, produk atau makanan yang dijual tidak halal, pengusaha boleh dikenakan tindakan mengikut APD 1975 dan kompaun sehingga RM250,000 boleh dikenakan jika sabit kesalahan,” katanya.

No comments: