Friday, June 18, 2010

Kilang teh pakai logo halal tak iktiraf diserbu

KUALA LUMPUR - Sebuah kilang teh terkenal diserbu dalam operasi bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) kerana menggunakan logo halal daripada syarikat yang tidak diiktiraf.

Pegawai Perhubungan Awam JAIS, Nur Hamizah Othman berkata, logo halal premis yang beroperasi di Taman Perindustrian KIP, Sri Damansara itu juga tidak mendapat pengiktirafan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Kita mengambil langkah penguatkuasaan ini untuk memastikan setiap pengeluaran produk yang benar-benar diiktiraf.

"Walaupun premis berkenaan mempunyai sijil halal swasta yang masih sah namun ia sememangnya tidak menepati mutu dan piawaian yang ditetapkan oleh Jakim dan JAIS," katanya kepadaKosmo! di sini semalam.



Sunday, June 13, 2010

Campur aduk babi

KUALA LUMPUR: Sebahagian besar pekerjanya memakai baju bertanda logo halal, namun amat mengejutkan apabila sebuah syarikat pengeluar makanan dikesan turut menjual produk berasaskan daging babi.
Lebih menjijikkan, makanan berasaskan daging babi iaitu bebola babi diletakkan bercampur aduk dengan makanan halal seperti mi, kuetiau, bebola ikan dan kek ikan di dalam peti sejuk besar. Amalan menjijikkan itu terbongkar hasil serbuan penguat kuasa Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Putrajaya di kilang terbabit di Taman Sutra, Sungai Petani, Kedah, Selasa lalu. Menurut sumber Jakim, operasi diketuai Penolong Pengarah cawangan itu, Amri Abdullah dan disertai dua pegawai Jakim serta dua pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Sungai Petani, Kedah. Katanya, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan orang ramai berhubung kemusykilan status syarikat pengedar makanan terbabit yang dikenal pasti memasarkan produk mereka kepada pengguna Islam di Kedah. “Hasil serbuan pada jam 11.30 pagi, premis terbabit adalah kilang menghasilkan mi dan kuetiau oleh pemiliknya seorang pengusaha bukan Islam. Pemiliknya juga tidak pernah memohon sijil halal daripada Jakim.
“Pada masa sama mereka turut mengedarkan tiga makanan yang diambil daripada pengusaha lain iaitu bebola ikan dan kek ikan yang ada kelulusan halal daripada Jakim. “Namun, kesalahan dilakukan pemilik kilang terbabit ialah mencampurkan semua produk itu dengan bebola babi yang mereka peroleh daripada pengeluar lain,” katanya
Menurutnya, pihak Jakim dan KPDNKK menyedari kewujudan produk berasaskan daging babi itu berdasarkan pemeriksaan terhadap senarai barang jualan yang turut mencatatkan ‘pork ball’ atau bebola babi. “Hasil pemeriksaan, kami menemui peket bertulisan ‘pork ball’ yang dicampurkan dengan produk makanan halal mempunyai logo Jakim di dalam peti sejuk besar,” katanya. Sumber itu berkata, percampuran produk halal dengan daging babi terbabit boleh menimbulkan syubahah (keraguan) dari segi hukum syarak dan tindakan pemilik kilang itu menyalahi peraturan dan garis panduan yang tertakluk dalam syarat pemberian Sijil Pengesahan Halal Jakim. “Malah, siasatan lanjut mendapati produk babi dan makanan halal termasuk mi dan kuetiau dicampurkan di dalam satu lori sejuk beku yang sama sebelum dihantar kepada pelanggan dan peruncit di Sungai Petani,” katanya. Menurutnya, ketika serbuan ada kira-kira 15 pekerja termasuk pekerja warga asing Bangladesh memproses makanan berkenaan dan kebanyakannya memakai pakaian yang memaparkan logo halal. “Pekerja mereka pakai baju dengan logo halal sedangkan pihak syarikat turut menjual babi. Tindakan itu seolah-olah mempersenda Islam,” katanya. Menurutnya, pemilik syarikat terbabit berusia 40-an memberi alasan mudah apabila memberitahu tidak tahu ia satu kesalahan mengikut hukum Islam. “Susulan itu, KPDNKK merampas lebih 20 peket bebola babi berkenaan untuk tindakan lanjut. Siasatan turut mendapati syarikat terbabit tidak mempunyai lesen dari pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk beroperasi,” katanya.

Tuesday, June 8, 2010

Golongan Melayu gemari makanan halal Cina meningkat setiap tahun


KUALA LUMPUR 8 Jun - Bilangan golongan pertengahan Melayu yang menggemari masakan Cina halal meningkat setiap tahun, kata Pengerusi Persekutuan Restoran Ku Su Shin Choong Hung (Ku Su) Malaysia dan Selangor.
Pengerusinya, Lum Tuck Loy berkata, pengusaha industri makanan Cina tidak harus ketinggalan dalam perkembangan industri halal dunia yang kini diterajui Malaysia.
Tuck Loy menambah, industri makanan halal restoran di peringkat dunia kini dianggarkan bernilai RM1.4 bilion.
"Ini merupakan petanda baik dan menunjukkan pengusaha restoran Cina mampu menembusi pasaran makanan halal jika mengikut kaedah yang ditetapkan Islam," katanya.
Beliau menambah, masakan masyarakat Cina mendapat tempat di kalangan golongan beragama Islam kerana kelebihannya daripada segi kandungannya lebih menyihatkan.
Tuck Loy berkata demikian pada sidang akhbar pra pelancaran pertandingan The World Golden Chef and Expo 2010, hari ini.
Beliau berkata, terdapat beberapa kriteria yang ditetapkan di dalam industri halal dan kebanyakan kriteria sudah diamalkan oleh pengusaha restoran Cina ketika ini.
"Kita hanya perlu mengubah beberapa bahagian dari aspek kandungan dan penyediaan sahaja bagi mencapai status halal," katanya.
Katanya, bagi mempromosikan industri halal ini, satu forum akan diadakan semasa pertandingan The World Golden Chefand Expo 2010 yang dijadualkan bermula pada 1 Julai depan.
"Forum yang turut dihadiri chef dari seluruh dunia itu akan membincangkan isu pasaran industri halal dan bagaimana untuk menembusinya.
"Kami yakin jika semua pihak bekerjasama, masakan Cina mampu diterima oleh orang Islam di dalam dan luar negara," katanya.

Wednesday, June 2, 2010

Jakim Akan 'Gempur' Hotel Tiada Sijil Halal


PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan "menggempur" hotel-hotel di seluruh negara bagi memastikan premis berkenaan memiliki sijil halal yang diiktiraf.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, pendekatan itu perlu dilakukan bagi menjaga kepentingan pengunjung serta pelancong luar negara beragama Islam di samping menjaga nama baik industri pelancongan negara.
"Kita akan mengadakan kempen 'menggempur' ini supaya pengusaha-pengusaha hotel memperoleh sijil halal daripada Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri-negeri.
"Kita tidak mahu pelancong dari luar terutamanya dari Timur Tengah yang mula datang beramai-ramai sekarang terperdaya dengan promosi makanan yang ditawarkan hotel-hotel berkenaan tetapi mereka tidak mempunyai sijil halal," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Daripada semakan di laman web e-halal Jakim, hanya 60 dapur hotel di seluruh negara yang mempunyai sijil halal Jakim sedangkan bilangan hotel di Malaysia mencecah lebih 2,000 buah.
Buat permulaan, Wan Mohamad berkata, pihaknya akan mengadakan kempen tersebut di hotel dalam kawasan peranginan yang menawarkan pakej pelancongan seperti di Batu Feringgi, Langkawi, Genting Highlands dan Melaka.
Beliau berkata, Jakim akan mengambil pendekatan berbincang dan menasihati para pengusaha hotel berkenaan terlebih dahulu, supaya mereka mendapatkan sijil halal tersebut.
Bagaimanapun, jika hotel terbabit masih ingkar, Jakim akan pergi ke premis berkenaan dan sekiranya masih berdegil, kita akan umumkan nama hotel tersebut, katanya.
"Operasi ini sebenarnya sudah bermula tetapi kita akan mengadakannya secara besar-besaran dalam tempoh terdekat. Ini kerana kebanyakan hotel di negara ini masih belum memiliki sijil halal," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kesemua hotel bertaraf tiga bintang ke atas di Sarawak sudah memperoleh sijil halal.
"Ini disebabkan polisi kerajaan Sarawak bahawa sebarang acara rasmi kerajaan negeri hanya diadakan di hotel yang mempunyai sijil halal," katanya. - BERNAMA

Tuesday, June 1, 2010

JAKIM AKAN MEMANTAU AKTIVITI 'TUKANG SEMBELIH' WARGA ASING



KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memandang serius kewujudan ‘tukang sembelih’ warga asing yang semakin berani menjalankan operasi di tempat terbuka walaupun tanggungjawab memantau perkara ini bukan terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa jabatan berkenaan.Pengarah Hab Halal Jakim, Saimah Mukhtar, berkata pihaknya hanya bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pusat sembelih yang mendapat kelulusan dan logo halal daripada Jakim.
“Bagaimanapun, atas dasar tanggungjawab sebagai institusi Islam, kami tetap menjalankan pemantauan terhadap aktiviti seperti ini dan sebarang maklumat akan disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan selanjutnya“ katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas mengenai kehadiran tukang sembelih ayam warga Bangladesh yang bertempiaran lari ketika pemeriksaan pihak berkuasa daripada pelbagai agensi di Pasar Pudu Ahad lalu.
Menurutnya, Jakim mensyaratkan semua penyembelih ayam yang berdaftar mestilah warganegara Malaysia beragama Islam, namun terdapat pengusaha pusat sembelih yang mengatakan amat susah untuk mendapatkan khidmat penyembelih ayam tempatan.
“Syarat yang kita kenakan adalah untuk memastikan penyembelih ayam adalah benar-benar bertauliah dari segi hukum agama, teknik dan kebersihan, malangnya masih ada pengusaha pusat sembelih menggunakan khidmat warga asing dari Bangladesh, Pakistan dan Indonesia,” katanya.
Menurutnya, meskipun warga asing yang menjadi penyembelih beragama Islam, namun dari aspek kebersihan dan teknik penyembelihan, kebanyakan mereka ini masih belum menepati ciri dikehendaki Jakim.

ENAK TAPI TAK SAH - Harian Metro 28-5-2010



KUALA LUMPUR: Nasi ayam dihidangkan enak bukan kepalang, namun berpuluh-puluh pelanggan yang sedang menjamu selera di sebuah kedai nasi ayam terkenal di Bukit Bintang, di sini, semalam tersentak apabila premis terbabit tiba-tiba diserbu pegawai penguat kuasa agama kerana didapati menggunakan logo halal palsu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).Lebih menyakitkan mata, pemilik premis yang sering dipenuhi umat Islam bagaikan sengaja cuba memperdaya pelanggan apabila memasang tiga logo halal Jakim bersaiz besar di hadapan premis bagi menarik kedatangan orang ramai.
Tindakan tidak bertanggungjawab pemilik kedai nasi ayam terkenal itu bagaimanapun berakhir apabila sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya dan pegawai Jakim melakukan pemeriksaan mengejut sekitar jam 11 pagi semalam.
Sumber KPDNKK berkata, pemeriksaan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam yang ragu terhadap status halal dan logo Jakim yang dipamerkan secara berlebih-lebihan di premis menjual nasi ayam berkenaan.
Menurutnya, pegawai KPDNKK dan Jakim yang melakukan pemeriksaan mendapati pemilik kedai nasi ayam terbabit menggunakan logo halal Jakim tanpa kebenaran.
“Pemeriksaan mendapati pemiliknya sengaja memasang logo halal Jakim bersaiz besar di hadapan dan sisi tepi restoran terbabit bagi menarik perhatian orang ramai. Siasatan lanjut mendapati kedai nasi ayam terbabit sebelum ini pernah diberikan pentauliahan sijil halal Jakim beberapa tahun lalu.
“Malangnya pemilik kedai terbabit gagal mematuhi syarat pensijilan halal Jakim menyebabkan sijil halal Jakim yang diberikan itu ditarik semula pada Oktober tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, pemilik premis terbabit pernah diberikan notis supaya menurunkan logo halal terbabit, namun dia didapati ingkar dan masih menggunakan logo halal Jakim semata-mata untuk meraih keuntungan daripada pelanggan Islam.
“Tindakan menarik semula sijil halal diberikan sebelum ini berpunca sikap pemilik premis tidak menggunakan pekerja beragama Islam seperti disyaratkan sebalik menggunakan pekerja Myanmar serta Nepal untuk memasak dan menyajikan makanan.
“Malah, ketika serbuan dilakukan hari ini (semalam), pemilik kedai menjual nasi ayam itu masih enggan akur dengan nasihat Jakim apabila terus menggunakan khidmat lebih 10 pekerja warga asing bukan Islam di restoran berkenaan,” katanya.Operasi terbabit yang diketuai Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK Putrajaya, Ismail Hamzah dan dibantu Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah kemudian bertindak tegas mengarahkan semua logo halal Jakim palsu itu ditanggalkan serta-merta.
Menurutnya, arahan tanpa kompromi itu dilakukan bagi memastikan logo halal Jakim terbabit tidak terus dimanipulasi bagi tujuan keuntungan perniagaan pihak tertentu. “Operasi yang berakhir sekitar jam 1.30 tengah hari itu dianggap berhasil apabila dua logo halal Jakim yang dipasang secara kekal berjaya dicabut. Malah, pemilik premis bersetuju memanggil kontraktor bagi melakukan kerja menanggalkan logo halal Jakim yang dipasang terlalu hampir dengan kabel elektrik.“Pemilik premis terbabit yang berusia 50-an akur dengan kesalahan dilakukan itu dan berjanji untuk memohon semula sijil halal Jakim serta mematuhi syarat ditetapkan mengikut perbahasan halal,” katanya.

Peniaga saman Tesco RM1.6 juta kerana jual ayam tidak halal

2010/05/31GEORGETOWN: Seorang peniaga dan empat anggota keluarganya hari ini memfailkan saman ganti rugi RM1.6 juta terhadap Tesco Stores (M) Sdn Bhd kerana didakwa cuai memastikan produk ayam segar yang siap diproses dan dilabelkan halal, benar-benar halal megikut agama Islam. Saman itu difailkan oleh Raja Muzaffar Kamar Raja Busu, Lijah Awang Kechik, Raja Kamar Idris Raja Busu, Norhayati Abdullah dan Raja Teh Rahmah Raja Busu.
Writ saman itu difailkan oleh peguam Kamal Razali melalui firma guaman, Badruzzaman & Kamal, Peguambela & Peguamcara, Peguam Syariah di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, di sini.
Dalam pernyataan tuntutannya, Raja Muzaffar Kamar yang mewakili empat plaintif lain dari Bayan Baru, memohon ganti rugi am RM1 juta, ganti rugi teladan RM500,000 dan ganti rugi teruk RM100,000. Beliau turut menuntut surat permohonan maaf secara terbuka oleh defendan kepada semua plaintif kerana mengalami trauma dan maruah plaintif tercalar kerana menjual ayam haram. Raja Muzaffar Kamar berkata, beliau mengalami trauma dan berasa berdosa kerana memakan ayam yang haram bersama plaintif lain dan memberi makan produk ayam yang haram kepada pelanggan di restoran miliknya di Astaka Gelugor, di sini. Katanya, pada 12 Mac lalu beliau membeli tiga ayam yang siap disembelih dan dipek dengan bungkusan berjenama HyFresh tertera logo halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Raja Muzaffar Kamar berkata, beliau memasak ayam itu dan sebahagiannya dimakan bersama keluarganya manakala bakinya dijual di premis perniagaannya. Beliau berkata ketika membuang sisa ayam itu mereka mendapati kesan sembelihan pada leher ayam berkenaan mencurigakan kehalalannya di sisi Islam dan membuat laporan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP). "Pada 16 Mac lalu, JHEAIPP kemudian membuat siasatan dan merampas ayam berjenama HyFresh di pasar raya itu kerana tidak disembelih mengikut kaedah ditetapkan Islam," katanya. Katanya, pada 31 Mac lalu, Jabatan Mufti Pulau Pinang mengeluarkan surat mengesahkan produk ayam berkenaan tidak disembelih mengikut ketetapan syariat Islam dan haram dimakan oleh orang Islam. - Bernama