Tuesday, June 8, 2010

Golongan Melayu gemari makanan halal Cina meningkat setiap tahun


KUALA LUMPUR 8 Jun - Bilangan golongan pertengahan Melayu yang menggemari masakan Cina halal meningkat setiap tahun, kata Pengerusi Persekutuan Restoran Ku Su Shin Choong Hung (Ku Su) Malaysia dan Selangor.
Pengerusinya, Lum Tuck Loy berkata, pengusaha industri makanan Cina tidak harus ketinggalan dalam perkembangan industri halal dunia yang kini diterajui Malaysia.
Tuck Loy menambah, industri makanan halal restoran di peringkat dunia kini dianggarkan bernilai RM1.4 bilion.
"Ini merupakan petanda baik dan menunjukkan pengusaha restoran Cina mampu menembusi pasaran makanan halal jika mengikut kaedah yang ditetapkan Islam," katanya.
Beliau menambah, masakan masyarakat Cina mendapat tempat di kalangan golongan beragama Islam kerana kelebihannya daripada segi kandungannya lebih menyihatkan.
Tuck Loy berkata demikian pada sidang akhbar pra pelancaran pertandingan The World Golden Chef and Expo 2010, hari ini.
Beliau berkata, terdapat beberapa kriteria yang ditetapkan di dalam industri halal dan kebanyakan kriteria sudah diamalkan oleh pengusaha restoran Cina ketika ini.
"Kita hanya perlu mengubah beberapa bahagian dari aspek kandungan dan penyediaan sahaja bagi mencapai status halal," katanya.
Katanya, bagi mempromosikan industri halal ini, satu forum akan diadakan semasa pertandingan The World Golden Chefand Expo 2010 yang dijadualkan bermula pada 1 Julai depan.
"Forum yang turut dihadiri chef dari seluruh dunia itu akan membincangkan isu pasaran industri halal dan bagaimana untuk menembusinya.
"Kami yakin jika semua pihak bekerjasama, masakan Cina mampu diterima oleh orang Islam di dalam dan luar negara," katanya.

No comments: