Sunday, November 28, 2010

Sijil penanda aras Malaysia hab makanan halal

Sijil penanda aras Malaysia hab makanan halal

KUALA LUMPUR 28 Nov. - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) digesa menyelaraskan, memudahkan dan menyeragamkan proses pemberian sijil halal kepada syarikat yang memohon, terutama dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab makanan halal.

Pengarah Urusan Wesria Food Sdn. Bhd. (Wesria), Mohd. Taib Ali berkata, kepantasan proses pemberian sijil tersebut akan menjadi penanda aras kepada komitmen negara dan Islam sebagai agama yang menekankan aspek halal.

''Pada masa ini, proses pemberian sijil halal yang ditetapkan adalah sangat merumitkan dengan proses memakan masa yang panjang.

''Selain itu, pihak Jakim juga perlu menambah pegawai-pegawainya yang terlatih bagi mempercepatkan proses dan perlu telus dalam pemberian sijil halal itu,'' katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mohd. Taib berkata, proses yang telus akan menjadikan Jakim lebih dipercayai dan diiktiraf sehingga ke peringkat global.

''Ini kerana terdapat beberapa pengusaha makanan antarabangsa yang lebih berminat untuk mendapatkan sijil halal dikeluarkan di peringkat Asia Tenggara seperti yang dikeluarkan di Thailand melalui Pusat Halal Asia Tenggara berbanding Jakim.

''Mereka berpendapat penggunaan sijil tersebut lebih mudah dan dapat diterima oleh banyak pihak di rantau ini. Pusat tersebut juga bekerjasama dengan Universiti Chulalongkorn dalam menjalankan aktiviti pembangunan dan penyelidikan (R&D),'' jelasnya.

Tambah Mohd. Taib, langkah kerajaan mengembalikan tanggungjawab pengeluaran sijil Halal Malaysia daripada Perbadanan Kemajuan Industri Halal (HDC) kepada Jakim berkuat kuasa serta-merta adalah satu langkah yang amat baik.

Ia adalah bagi mengurangkan kekeliruan pelbagai pihak mengenai status halal makanan atau produk yang digunakan.

''Sekarang terpulang kepada Jakim untuk memantapkan kedudukan mereka dengan kuasa penguatkuasaan dan perundangan.

''Jakim yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri diharap dapat melaksanakan tanggungjawab itu dengan berkesan, proaktif dan mesra pengguna,'' katanya.

Jakim kini sepatutnya perlu memberi fokus untuk menjadi peneraju kepada pemberian sijil halal yang berkualiti yang dapat diterima di peringkat global berbanding hanya di Malaysia dan hanya selepas itu hasrat kerajaan untuk menjadi pusat makanan halal akan tercapai, jelasnya.

No comments: