Thursday, March 29, 2012

122 premis makanan di Sabah punyai sijil halal sah

KOTA KINABALU 27 Mac - Sebanyak 122 sijil halal dikeluarkan kepada premis makanan di negeri ini meliputi 62 restoran dan selebihnya premis makanan hotel.

Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Seri Nasir Tun Sakaran berkata, jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada 388 sijil halal yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

"Jumlah itu melibatkan, 26 premis penyembelihan, premis penjualan daging (51), produk pembungkusan (29), bahan gunaan (4), produk makanan (156), premis makanan/hotel (60) dan premis makanan/restoran dan kantin (62)," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Saddi Abdul Rahman (BN-Sukau) yang bertanya sejauh manakah pemantauan dan keberkesanan sistem kawalan yang dilakukan pihak berkuasa agama terhadap restoran-restoran yang menggunakan logo halal di Sabah.

Tambah Nasir, bagi memastikan keberkesanan sistem kawalan sijil halal, penguatkuasa JHEAINS melakukan pemantauan terhadap premis terlibat secara berterusan termasuk pemeriksaan lapangan yang dilakukan setiap tiga bulan.

"Selain daripada itu pemeriksaan mengejut juga dilakukan terutama jika jabatan agama menerima laporan daripada orang ramai terhadap mana-mana premis yang telah menerima sijil halal," katanya.

Dalam pada itu, Nasir berkata, mulai tahun ini hanya sijil halal yang dikeluarkan Jakim dan JHEAINS sahaja sah digunakan di negeri ini.

Tegasnya, mana-mana pihak yang menggunakan pengesahan halal dari pihak lain boleh dikenakan tindakan undang-undang.

No comments: