Wednesday, January 5, 2011

FMD serang lima negeri

2011/01/06
RM2 juta bantu penternak terjejas penyakit kuku dan mulut

PUTRAJAYA: Wabak penyakit kuku dan mulut (FMD) yang menyerang ternakan lembu tenusu, dikesan di Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin ketika mengesahkan perkara itu, bagaimanapun berkata wabak itu dalam keadaan terkawal.
Katanya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan kira-kira RM2 juta bagi membantu penternak yang terjejas akibat wabak berkenaan, termasuk pemberian wang tunai, lembu tenusu serta perubatan.
Abdul Aziz turut menafikan laporan 20 pusat ternakan terjejas akibat wabak FMD di Negeri Sembilan.

“Hanya empat pusat di negeri itu terjejas akibat penyakit yang boleh menjangkiti semua ternakan seperti lembu, kerbau, kambing dan babi, tetapi tidak berjangkit kepada manusia.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar mensasarkan 2016 bagi mencapai status bebas FMD,” katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat mengenai lembu tenusu di sini, semalam.

Sehubungan itu, Abdul Aziz berkata Pusat Kuarantin Antarabangsa (IQC) perlu dibina bagi membendung penularan wabak seperti FMD dan penyakit lain yang menyerang ternakan kerana ia boleh menjejaskan ekonomi negara.
Katanya, IQC dijadikan penempatan sementara ternakan dari luar negara bagi membina imunisasi haiwan terbabit, selain memantau kehadiran wabak penyakit.
“Ternakan akan ditempatkan di IQC sekurang-kurangnya dalam tempoh dua bulan, sebelum dibawa ke pusat ternakan,” katanya.

Beliau berkata, kos pembinaan IQC dianggarkan kira-kira RM10 juta dan ia perlu dibina di lokasi terpencil seperti pulau, dengan keluasan 8.0937 hektar. - BERNAMA

No comments: