Tuesday, January 4, 2011

JAKIM tubuh makmal analisis institut halal

NILAI: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menubuhkan Makmal Analisis Institut Halal Malaysia yang dikendalikan pegawai jabatan itu sendiri di Bandar Enstek di sini, yang dijangka beroperasi sepenuhnya dua tahun lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata institut itu menjadi satu-satunya makmal seumpamanya di dunia, sekali gus meningkatkan jaminan halal bahan yang diuji.
“Tiada mana-mana kerajaan di dunia membina makmal atau institut khas untuk menguji dan menganalisis status halal sesuatu bahan kerana selalunya ia hanya dikendalikan oleh universiti atau pihak swasta.
“Justeru itu, pembinaan makmal ini menunjukkan kesungguhan kerajaan yang mahu menjadikan Malaysia sebagai Pusat Halal Dunia dengan menjadikan JAKIM sebagai rujukan utama dalam persijilan halal,” katanya selepas majlis taklimat dan lawatan tapak Makmal Institut Halal Malaysia di Bandar Enstek di sini, semalam.

Beliau berkata, ketika ini JAKIM bekerjasama dengan Makmal Analisis Sementara Produk Halal Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi melaksanakan persijilan halal.

Mengulas lanjut, katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah menyiapkan pelan pembangunan fasa satu bangunan tiga tingkat institut itu yang bernilai RM27.3 juta di atas tanah seluas 16.19 hektar yang pembinaan dijangka bermula September depan.

Katanya, projek itu dijangka siap pada Disember 2012 dan pusat itu akan mempunyai 57 kakitangan dan pegawai, termasuk juruanalisis makanan dan ahli kimia, serta beroperasi sepenuhnya pada 2013.
Jamil Khir berkata, institut itu akan mempunyai lima unit, iaitu Unit Fiber, Kulit dan Bulu; Unit Alkohol; Unit Lemak dan Minyak; Unit Protein dan Gelatin serta Unit Aditif (bahan tambah).

Katanya, makmal itu tidak hanya menganalisa makanan, malah berupaya menguji apa saja produk atau bahan termasuk peralatan yang digunakan dalam pembedahan klinikal.

“Kita boleh menguji apa saja bahan dan jika memenuhi syarat dan piawaian halal, kita akan memberi persijilan halal JAKIM yang diiktiraf di seluruh dunia.

“Ia sebenarnya memberi nilai tambah kepada sesuatu produk, terutama untuk pasaran di negara yang majoriti penduduk Islam,” katanya yang memberi contoh ada syarikat menghantar komponen digunakan untuk pembedahan tulang, bagi mendapatkan pensijilan halal.

Beliau berkata, fasa kedua institut itu yang akan dibina beberapa tahun lagi membabitkan bangunan latihan untuk membolehkan JAKIM melatih pegawai dan kakitangan tempatan serta luar negara.

Sementara itu, Jamil Khir berkata, usul bagi pindaan Akta Perihal Dagangan 1972 akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Rakyat, Mac depan.

Pindaan itu membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menggunakan logo halal palsu serta pengeluar sijil halal swasta yang tidak bertauliah.

No comments: