Wednesday, February 23, 2011

366 hotel, resort miliki sijil halal



PUTRAJAYA 23 Feb. - Sebanyak 366 buah hotel dan resort layak menerima taraf pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN).

Ia adalah jumlah yang diluluskan daripada 680 permohonan setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, daripada jumlah keseluruhan penarafan tersebut, sejumlah 289 ditauliah oleh JAIN manakala 77 lagi diiktiraf oleh Jakim.

Menurutnya, senarai terkini menunjukkan 273 hotel bertaraf tiga hingga lima bintang mendapat sijil halal, selain 53 hotel satu hingga dua bintang dan selebihnya adalah hotel bajet dan resort yang menyediakan perkhidmatan sajian.

"Peningkatan hotel dan resort yang mendapat penarafan sijil halal Malaysia membuktikan kini pengusaha hotel tidak lagi mementingkan keuntungan semata-mata.

"Jika sebelum kita terpaksa menyeru kepada mereka untuk memohon dan kemudian baru mereka berbuat demikian, namun kini sudah ada inisiatif daripada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan sijil halal kepada dua hotel terbaru yang yang diiktiraf iaitu Thistle Hotel dan Pullman Hotel Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (Maho), Shaharuddin Saaid.

Menurut Jamil Khir, Jakim dan JAIN dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Maho mahu mencapai sasaran 412 buah hotel bertaraf tiga hingga lima yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan sebagai pemegang sijil halal Malaysia menjelang akhir tahun ini.

"Sebelum ini sambutan terhadap pensijilan halal di hotel-hotel agak dingin dan ia dibimbangi akan menjejaskan daya tarikan negara ini dari segi perkhidmatan makanan halal.

"Salah satu sebab pelancong Asia Barat memilih Malaysia selain dari faktor kestabilan politik serta produk-produk pelancongan menarik ialah kerana tarikan makanan halal," katanya.

Selain itu, katanya, jika pelancong maklum bahawa operator hotel tidak mengambil berat aspek halal, ia nanti boleh menjejaskan industri pelancongan dari segi jangka masa panjang.

Dalam pada itu, Jamil Khir menasihatkan mana-mana hotel dan resort yang ingin mengadakan program berbuka puasa pada bulan Ramadan supaya memohon sijil halal Malaysia.

"Menyedari tentang budaya berbuka puasa di hotel-hotel sepanjang bulan Ramadan, kita berharap pihak penganjur majlis berbuka puasa dapat memilih hotel-hotel yang memiliki sijil halal Jakim atau dari JAIN.

"Sijil ini penting bagi memastikan umat Islam tidak berasa was-was ketika menghadiri majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh kebanyakan hotel di negara ini," katanya.

BANGKAI tikus dijumpai dalam kuali di sebuah premis yang diperiksa di Klang.



Ops Bersih 3 gempur premis niaga kotor sekitar Klang

KLANG: Bangkai tikus dalam kuali. Mungkin sukar dipercayai tetapi itulah yang dilihat dalam satu operasi penutupan premis makanan dan penguatkuasaan dinamakan ‘Ops Bersih 3' yang diadakan di sekitar bandar diraja ini, baru-baru ini.

Pemilik sebuah restoran mendakwa kuali itu tidak lagi digunakan tetapi alasan terbabit gagal melepaskan dirinya daripada dikenakan tindakan tegas bahagian penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Sentral yang mengikuti operasi bersama Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Klang diketuai Pemangku Timbalan Pengarah Kesihatan MPK, Amran Jali mendapati kebanyakan premis yang digempur pasukan penguat kuasa itu kotor dan berbau meloyakan.
Dalam operasi bulanan itu, pasukan berkenaan turut menemui mi goreng yang sudah basi disimpan di bawah rak makanan dan boleh memudaratkan kesihatan jika ia dipanaskan dan dihidangkan semula kepada pelanggan.

Bagaimanapun, kebanyakan pelanggan terus menjamu selera di restoran terbabit seperti langsung tidak mengendahkan operasi yang sedang dijalankan.

Amran berkata, lapan premis yang diperiksa gagal mempamerkan tahap kebersihan sepatutnya di samping melakukan pelbagai kesalahan lain seperti tidak melabel jenis makanan dan pekerja memakai selipar.

"Kami sudah mengenal pasti kawasan ini sebelum mengadakan operasi. Kebanyakan restoran yang diperiksa didapati gagal menepati piawaian kebersihan seperti ditetapkan, antaranya tong sampah tidak ditutup dan lantai kotor.
"Malah, kami turut menjumpai bangkai tikus, najis tikus dan lipas di beberapa premis," katanya sambil menambah semua premis itu diarah ditutup untuk tempoh dua minggu bagi mereka membersihkan premis masing-masing.

Pemilik premis boleh beroperasi kembali jika MPK dan PKD Klang berpuas hati dengan tindakan yang mereka ambil daripada aspek kebersihan tetapi jika gagal, kes mereka akan dibawa ke mahkamah.

Tindakan itu diambil mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
Bulan lalu, sebanyak 12 premis restoran diarahkan tutup dalam Ops Bersih 2 yang diadakan di sekitar kawasan Bukit Tinggi.

Tuesday, February 22, 2011

Hanya 2 logo halal yang diiktiraf

SEREMBAN 17 Feb. - Hanya dua jenis tanda halal yang diiktiraf oleh kerajaan negeri iaitu logo Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan logo yang dikeluarkan oleh jabatan agama Islam negeri-negeri.

Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berkata, terdapat juga logo halal antarabangsa yang telah mendapat akreditasi Jakim dan boleh dijadikan panduan oleh umat Islam di negeri ini ketika membeli atau menggunakan sesuatu produk atau perkhidmatan.

Selain daripada logo-logo berkenaan, katanya, umat Islam boleh mengelak daripada membeli barangan yang mempunyai tanda halal yang dipertikaikan sebagai jalan terbaik ketika berdepan dengan masalah untuk menentukan kesahihan sesuatu produk atau perkhidmatan.

"Sebagai langkah proaktif, umat Islam boleh menyemak status halal sesuatu produk melalui laman web http://www.ns.gov.my/jabatan/jheains/ atau http://www.halal.gov.my/v2/ yang mempunyai direktori tanda halal dan produk halal," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai tinjauan di beberapa buah pasar raya di sekitar daerah Jempol yang mendapati hampir 30 peratus barang yang dijual mempunyai logo halal yang mengelirukan.

Ia termasuk logo yang berwarna berbentuk bintang yang mempunyai bucu, bulat dan tiga segi.

Laporan itu menggesa pihak berkuasa bertindak bagi mengelakkan umat Islam daripada terpedaya dengan logo halal palsu sesuatu barangan.

Jurucakap itu berkata, sehingga kini, pihaknya belum menerima aduan daripada pengguna di negeri ini yang mempertikaikan logo halal sesuatu produk.

Beliau berkata, pihaknya atau beberapa pihak berkuasa lain akan mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang sekiranya terdapat aduan daripada orang ramai mengenai logo halal yang disyaki palsu.

Sunday, February 20, 2011

Alkohol tetap haram

SAYA pernah menonton rancangan televisyen berkenaan kesan alkohol dalam makanan. Satu kumpulan diberikan makanan yang dicampur dengan alkohol dan satu kumpulan lagi hanya diberi minuman keras.

Selepas makan, mereka semua diuji dengan tahap alkohol dalam badan. Kumpulan yang minum minuman keras ternyata mempunyai tahap alkohol yang tinggi dalam badan, tetapi tidak pula kumpulan yang memakan makanan yang salah satu ramuannya adalah arak.

Malah, mereka tidak mabuk. Abang saya pernah bercerita betapa susahnya mencari makanan halal ketika ke luar negeri atas urusan kerja. Bolehkah kita makan makanan yang dicampur arak asalkan kita tidak mabuk?

PENGGUNAAN alkohol atau arak dalam masakan tidak dibenarkan dalam Islam. Ini kerana hukum arak adalah haram dan ia tergolong dalam kategori najis. Larangan ini berdasarkan firman Allah s.w.t: “Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) (rijsun) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak, judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?” (Surah al-Ma’idah ayat 90-91)

Eksperimen dua kumpulan di atas dalam rancangan televisyen bukan menjadi alasan untuk tidak mematuhi larangan Allah berkaitan arak.

Alasan sedikit dan tidak memabukkan tidak diterima sebagai pengecualian. Ini kerana Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Sesuatu yang banyaknya memabukkan, maka sedikit adalah haram.” (Riwayat Ahmad, seperti dalam Paizah Haji Ismail, 1996: 202; untuk lebih lanjut lihat juga, M Shiddiq Al-Jawi, “Alkohol dalam makanan, ubat, dan kosmetik: Tinjauan fiqh Islam,” http://osdir.com/ml/culture.region.indonesia.ppi-india/2005-03/msg00134.html)

Saturday, February 19, 2011

Isu makanan tidak halal boleh ancam negara

Saya merujuk akan artikel dalam Utusan Malaysia 8hb. Februari 2011 bertajuk ' Isu Logo Halal Tiada Kesudahannya'.

Dilaporkan hasil kajian oleh unit khas Utusan Malaysia mendapati bahawa amat banyak makanan harian yang paling biasa dimakan atau dijual dijual di pasar raya; jelas tidak halal dan sangat meragukan. Bahkan yang telah diharamkan pun masih dijual bebas secara berleluasa.

Di samping itu ada barang makanan yang dinyatakan 'halal' oleh pengusaha makan tetapi tiada dalam senarai 'Halal Jakim' ; namun terpampang logo 'halal Jakim' pada bungkusan makanan tersebut.
Adakah memang salah pengusaha makanan memalsukan logo 'halal' atau pihak Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) yang gagal menjalankan tugas?

Dalam konteks orang Islam, umumnya makanan tidak halal itu cenderung merujuk sebarang unsur yang berkaitan babi, minyaknya, gelatin babi serta dari binatang yang tidak disembelih dengan kaedah yang sah di sisi agama Islam.

Jika memakan hasil sembelihan tanpa kaedah Islam yang betul, maka ia setaraf memakan haiwan yang mati iaitu dianggap sebagai bangkai.

Saya khuatir, kelemahan penguatkuasaan, pemantauan dan kegagalan mematuhi garis panduan ini akan menimbulkan empat perkara :

a) keresahan pengguna, perasaan benci dan marah yang terpendam di hati oleh umat Islam terhadap pengeluar atau pengusaha makanan bukan Islam. Kemarahan terpendam ini boleh mengancam keselamatan negara, walhal mungkin ada pengusaha yang benar-benar telus dan berusaha memenuhi kriteria halal yang diperlukan. Isu halal dan haram ini amat sensitif.

b) hilang dan luntur kepercayaan rakyat terhadap institusi Islam seperti Jakim dan agensi-agensi penguatkuasa yang di bawah kelolaan kerajaan, yang memberi kesan terhadap pemerintahan negara. Sepatutnya menteri yang berkaitan kepenggunaan dan bidang hal ehwal umat Islam perlu proaktif akan perkara ini.

c) Sepatutnya Malaysia menjaga statusnya sebagai negara Islam yang dibanggakan oleh negara luar apabila menjadi 'Halal Hub' di rantau Asia. Kegagalan Malaysia mengurus dan menjaga status makanan halal bagi rakyat sendiri dikhuatiri akan merosakkan reputasi negara dan merencatkan penglibatan pelabur-pelabur dari Timur Tengah dan lain-lain negara Islam dalam industri pemakanan negara.

d) Penyalahgunaan logo halal dari pelbagai agensi Islam secara berleluasa termasuk 60 peratus logo halal Jakim akan boleh merangsangkan lagi pengusaha makanan atau pemilik pasar raya yang majoritinya bukan Islam untuk mengambil jalan mudah, melanggar undang-undang dan mengenepikan soal 'halal dan haram'; yang boleh mewujudkan konflik agama dengan majoriti umat Islam dalam negara ini. Ini amat merbahaya, dan sesungguhnya mencegah dari awal itu lebih baik untuk mengelakkan nasi menjadi bubur.

Semoga pihak kerajaan, agensi berkaitan dan pengusaha industri makanan, mengambil langkah drastik untuk mengatasi masalah ini demi kebaikan dan keharmonian semua secara bersama; juga diharap pemilik dan pengusaha makanan bukan Islam yang jujur dan mematuhi undang tidak menjadi mangsa prejudis kerana konflik ini.

Thursday, February 17, 2011

HDC - World Halal Research 2011

HDC - World Halal Research 2011

Makanan membina Otak Sihat

Norkumala binti Awang
Pegawai Penyelidik

16/02/2011 | Artikel Bahasa Malaysia

Percaya atau tidak sebenarnya makanan mampu menjadikan otak kita berfungsi dengan lebih baik? Walaupun terdapat faktor-faktor lain yang boleh menyumbang kepada keupayaan otak seseorang, namun faktor pemakanan tidak dapat dinafikan impaknya.

Nikmat kepelbagaian sumber makanan yang dianugerahkan Allah memerlukan kebijaksanaan seseorang individu untuk memilih makanan agar tidak mencampakkan dirinya dalam kebinasaan. Ini kerana terdapat makanan yang boleh meningkatkan fungsi otak dan ada juga makanan yang boleh menjejaskan fungsi otak. Pemilihan makanan yang meningkatkan keupayaan otak juga sejajar dengan prinsip maqasid syariah yang mengutamakan pemeliharaan akal.

Sepanjang hidup, otak manusia sentiasa berfungsi untuk menerima rangsangan dan maklumat, mengolah, mengembangkan fikiran dan emosi serta menyimpan memori. Zat pemakanan amat diperlukan untuk menjaga otak agar dapat berfungsi secara optimum. Pakar pemakanan mengakui bahawa terdapat zat tertentu atau sebatian kimia dalam sesuatu makanan amat penting untuk fungsi otak manusia dan mengelakkan berlakunya kerosakan serta ketidakupayaan kognitif seseorang.

Otak mengalami perkembangan mengikut fasa pertumbuhan manusia. Ia memerlukan zat pemakanan yang betul dan seimbang bagi memenuhi keperluan tenaga di otak yang lebih tinggi. Semasa dalam kandungan ibu, pembinaan otak manusia merupakan satu fasa yang kritikal kerana pada masa tersebut berlaku proses pembentukan neuron otak dan juga salur mealin. Oleh itu, pada tahap perkembangan yang kritikal inilah akan menentukan kehebatan otak manusia yang dapat dibentuk melalui pengkayaan sumber makanan.

Satu perkara yang boleh difikirkan ialah kenapakah ilmuwan Islam terdahulu memiliki otak genius dan mampu menguasai pelbagai bidang? Banyak faktor yang menyumbang tetapi unsur pemakanan tidak boleh diabaikan. Corak pemakanan yang menepati pemakanan sunnah harus diambil kira. Berbeza dengan budaya pemakanan masyarakat kita pada masa sekarang. Kadangkala sensitiviti pemilihan makanan terbaik tidak wujud dalam diri masyarakat kita sepertimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Akan datang kepada manusia suatu zaman (ketika itu) seorang tidak lagi peduli dengan apa yang dia dapatkan, apakah dari yang halal atau haram?- HR Bukhari.

Kajian oleh saintis Mind Research Network membuktikan bahawa bahan kimia di dalam otak iaitu N-acetylaspartate (NAA) lebih tinggi arasnya dalam individu yang mempunyai kepintaran yang tinggi berbanding mereka yang mempunyai kepintaran yang sederhana. Maka, penjagaan atau pemeliharaan bahan kimia atau neurotransmiter otak adalah penting untuk mengoptimumkan keupayaan dan kecerdikan seseorang. Sudah pastilah melalui diet dan pemakanan yang baik dapat mengekalkan dan memelihara bahan kimia tersebut pada aras yang optimum.

Dalam perkembangan mutakhir, pengambilan minyak ikan yang dikatakan kaya dengan asid lemak n-3 berantai panjang adalah amat penting semasa kehamilan untuk manfaat kepada bayi yang dikandung. Namun, sejauh mana dakwaan ini benar? Adakah benar minyak ikan tersebut mampu membuatkan seseorang bayi akan menjadi lebih bijak dan otaknya berkembang dengan sempurna?

Banyak kajian membuktikan pengambilan ikan secara sederhana semasa kehamilan dan semasa postnatal mempunyai kaitan dengan perkembangan kognititif bayi khususnya kemahiran bahasa dan komunikasi. Pengambilan ikan dan makanan laut yang sedikit berhubungkait dengan peningkatan risiko kanak-kanak yang memiliki kurang kemahiran verbal, tabiat yang kurang baik, rendah kemahiran komunikasi motor dan pembangunan sosial.

Sumber Omega-3 (EPA dan DHA) yang paling utama ialah ikan. Omega-3 akan mengawalatur perembesan dan keupayaan neurotransmitter di otak. Sebab itulah, ia amat penting dalam meningkatkan keupayaan otak untuk bekerja. Manakala omega-6 pula penting dalam menguatkan ingatan. Sumber yang mungkin dapat diperolehi ialah minyak jagung, minyak matahari, bijan dan labu. Keseimbangan asid lemak politaktepu dalam badan boleh menjadi aras pengukur kecerdikan seseorang. Manakala ketidakseimbangan asid lemak politaktepu akan menyumbang kepada masalah kesukaran dalam pembelajaran, masalah sikap termasuklah gangguan disleksia, ADHD dan autism.

Selaras dengan perkembangan teknologi, lambakan minyak ikan yang berbentuk pil dan kapsul di pasaran menjadi alternatif kepada pengguna. Begitu juga telur yang diperkaya dengan omega 3 dan omega 6 serta banyak lagi produk lain yang telah diperkayakan dengan nutrien tersebut. Persoalannya, jika makanan tersebut diperkayakan, adakah ia benar-benar selamat dan menepati jumlah keperluan individu untuk tujuan meningkatkan keupayaan otak? Oleh sebab itu, makanan semulajadi contohnya ikan tidak mampu ditandingi oleh mana-mana produk ciptaan manusia. Ini kerana ia mengandungi pelbagai zat lain dan bukan hanya tertumpu kepada zat-zat tertentu sahaja.

Otak menggunakan lebih banyak glukosa berbanding organ lain. Untuk memaksimumkan keupayaan otak, ia memerlukan bekalan glukosa yang cukup. Karbohidrat kompleks merupakan makanan yang terbaik untuk otak. Secara dasarnya, semakin banyak kita mengambil makanan berkarbohidrat, dan biasa mengambilnya maka ia akan memelihara kesihatan tubuh badan dan otak kita dapat bekerja dengan baik. Rangkaian makanan yang bersumberkan zat-zat protein, zink, selenium dan zat besi juga mampu meningkatkan perkembangan kognitif, daya tumpuan dan keupayaan IQ seseorang.

Perkara yang penting untuk mengekalkan otak yang sihat adalah makan makanan seperti biasa di sepanjang hari. Ini untuk memastikan otak kita menerima tenaga yang berterusan bagi mengekalkan kecergasannya. Walaubagaimanapun, otak manusia hanya boleh menyimpan sejumlah kecil glukosa sahaja pada satu-satu masa. Oleh itu, makan makanan secara tetap dan menurut kebiasaan akan membantu mengekalkan bekalan tenaga yang tetap kepada otak.

Oleh sebab itu, mengamalkan pemakanan yang seimbang adalah penting bagi memelihara dan menjaga kesihatan jasmani dan otak. Menukarkan pemakanan yang tidak sihat kepada pemakanan seimbang dan sihat bukan setakat boleh memperbaiki sikap dan keupayaan otak seseorang tetapi juga boleh mengelakkan daripada penyakit kronik seperti obesiti, diabetes dan penyakit jantung.

Perlu diingatkan bahawa memenuhi keperluan nutrien yang baik bermula sejak bayi lagi adalah penting untuk kecerdikan yang optimum, perkembangan akhlak dan peribadi yang baik. Pemilihan makanan halal dan baik perlu dititikberatkan sepertimana yang dianjurkan dalam Islam. Ini kerana pembentukan otak yang bijak juga bermula daripada pendidikan dan amalan pemakanan yang halal dan sihat.

Sunday, February 13, 2011

Hab halal Sarikei buka peluang pada bukan Islam

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata pembangunan hab makanan halal di Tanjung Manis di Sarikei akan membuka banyak peluang perniagaan kepada semua golongan termasuk bukan Islam.

Justeru kata beliau, semua usahawan harus merebut peluang itu khususnya dalam industri pemprosesan makanan.

"Saya yakin dengan pengalaman anda semua dalam bidang perniagaan, anda mampu melaksanakan tugas ini. Lebih-lebih lagi anda tidak perlu menjadi orang Islam untuk terlibat dalam perniagaan makanan halal," katanya berucap pada majlis sambutan Tahun Baru Cina Persatuan Cina Bersatu (UCA), di Sibu malam tadi.

Ini kerana katanya, Malaysia mempunyai skim persijilan halal yang sangat ketat selain banyak bergantung kepada kredibiliti rakyatnya sebagai 'penjaga' kepada makanan halal.

Selain itu, Abdul Taib berkata Sarawak juga diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Dunia sebagai tempat terbaik untuk menternak atau menjadi pusat transit haiwan ternakan kerana negeri ini bebas penyakit.

"Anda boleh membawa masuk ternakan dari Australia atau New Zealand dan memperosesnya di sini untuk dieksport. Industri makanan halal dunia mencecah trilion dolar setiap tahun dan selain negara Timur Tengah, makanan halal juga semakin popular di Amerika, Britain dan lain-lain," katanya.

Pada masa yang sama, Abdul Taib berkata kedudukan Sibu yang strategik juga memudahkan usaha memproses, memasar serta mengedarkan produk.

Beliau juga turut berbangga kerana eksport Sarawak semakin meningkat setiap tahun.

Apabila jalan dari Tanjung Manis ke sini siap tahun ini, Sarawak akan mempunyai satu lagi pelabuhan yang dapat membantu memesatkan lagi sektor eksport, katanya.

Selain itu kata beliau, Sibu juga mempunyai industri membina kapal yang boleh dieksploitasi sepenuhnya.

"Dengan sebegitu banyak potensi di sini, Saya yakin Sibu akan membangun dengan pesat sekalipun bandar ini telah kehilangan ramai usahawan dan tenaga kerja yang berhijrah ke bandar lain selepas letusan sektor pembalakan pada 1950an dan 1960an," katanya.

--Bernama

Thursday, February 10, 2011

Restoran salai daging babi secara terbuka


RAWANG - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) digesa mengambil tindakan tegas terhadap sebuah restoran di sini yang didakwa menjalankan aktiviti memotong dan menyalai daging babi secara terbuka sejak dua minggu lalu.

Aktiviti pemilik restoran tersebut didakwa tidak menghiraukan sensitiviti orang awam terutama pelanggan di restoran Melayu yang terletak berhampiran dengan restoran tersebut.

Seorang pembantu kedai, Hanipah Rahman, 35, mendakwa selalu melihat beberapa pekerja di restoran terbabit menjalankan aktiviti tersebut di belakang restoran berkenaan.

"Sebelum ini aktiviti itu bermula dari pukul 3 petang hingga 9 malam dan kadangkala menjangkau sehingga pukul 11 malam tetapi hari ini (semalam) mereka memulakan aktiviti itu sejak pukul 9 pagi lagi," katanya di sini semalam.

Tuesday, February 8, 2011

Hukum Penggunaan Bulu Binatang Yang Halal Dimakan Sebagai Ramuan Makanan

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Penggunaan Bulu Binatang Yang Halal Dimakan Sebagai Ramuan Makanan. Muzakarah telah memutuskan bahawa penggunaan vitamin D3 yang terhasil daripada bulu binatang yang halal dimakan adalah harus sama ada ia diambil semasa hidup atau selepas disembelih mengikut hukum syarak.
Keterangan/Hujah:


1. Bulu kambing yang diambil untuk dijadikan vitamin D3 adalah diperolehi dengan cara bercukur atau memotong bulu binatang tersebut ketika ia masih hidup.

2. Bulu kambing adalah satu-satunya sumber untuk mendapatkan vitamin D3. Sehingga kini belum ditemui sumber yang lain selain kambing biri-biri untuk mendapatkan vitamin D3.

3. Proses penghasilan vitamin D3 dimulakan daripada pengekstrakan bahan dinamakan lanolin, sejenis bahan berlemak (wax) daripada bulu kambing yang melalui proses pengikisan (scouring process) dengan menggunakan bahan alkali dan pengemparan.

4. Berdasarkan kepada konsep asas (asal sesuatu iatu adalah harus), penggunaan bulu binatang yang halal yang diambil semasa hidupnya adalah harus selagi ia dihukum suci, bersih disisi syarak dan tidak memudharatkan.

5. Mengikut fatwa Mufti Kerajaan Brunei Bulu binatang yang halal dimakan seperti kambing biri-biri, ayam, arnab, dan lain-lain yang diambil daripada badannya semasa ia masih hidup, sama ada dengan cara mencukur, menggunting, mencabut atau tercabut dengan sendirinya adalah suci.

6. Berhubung penggunaan bulu daripada binatang yang halal untuk dijadikan sebagai bahan ramuan makanan atau untuk kegunaan yang lain, para fuqaha' bersepakat bahawa adalah jelas tentang halalnya penggunaan bulu sebagaimana yang disebut oleh Dr. Wahbah Zuhaili bahawa ijma' ulama' bersetuju tentang kesucian bulu yang diambil dari binatang yang halal dimakan dagingnya sama ada diambil selepas disembelih atau semasa hidupnya. Ijmak ulamak ini adalah berdasarkan kepada umum ayat Al-Quran Surah An-Nahl, ayat 80 tentang kesucian bulu binatang sama ada ianya diambil selepas disembelih atau semasa hidupnya untuk kegunaan manusia.

7. Dalam kes D3 ini manfaatnya bukan diambil dari gentian bulu tersebut tetapi dari sejenis lilin yang terdapat pada bulu biri-biri tersebut. Dalam kes seumpama ini juga ulama' menyatakan keharusannya sebagaimana ulamak menyatakan bahawa bulu binatang adalah suci, dan apa yang ada pada lazimnya pada bulu binatang itu juga adalah suci.

8. Pandangan Jumhur Ulama' adalah jelas bahawa setiap perkara yang jamad adalah suci melainkan terdapat dalil yang jelas tentang pengharamannya.

Isu logo halal tiada kesudahan

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Pengguna Islam perlu lebih prihatin semasa memilih produk makanan, minuman dan barangan kegunaan harian lain kerana bukan semua produk yang memiliki logo halal berada di bawah pemantauan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Zainal Abidin Jaffar berkata, bidang kuasa jabatan itu selaku pengeluar pengurusan pensijilan halal hanya terhad dalam usaha memantau aktiviti para pemegang sijil pengesahan halal Malaysia.

“Ini sekali gus menjelaskan peranan Jakim hanya terbatas kepada pemegang sijil halal yang sah sahaja.

“Manakala bagi produk yang tidak berdaftar dan didapati menggunakan logo halal palsu atau ‘ciplak’, penguatkuasaannya hanya boleh dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menerusi Akta Perihal Dagangan (APD) 1972,” katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.

Menurut Zainal Abidin, isu penyalahgunaan dan pemalsuan logo halal di negara ini bukan perkara baru dan berharap pengguna akan lebih prihatin dalam memahami dan menangani perkara ini.

“Sekiranya pengguna berasa ragu dengan kesahihan sesuatu logo halal, sebaiknya hindarilah daripada membeli produk tersebut.

“Pengguna juga boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa berkaitan agar siasatan dapat dilakukan serta-merta bagi memastikan logo halal hanya digunakan oleh produk atau pemegang sijil pengesahan halal,” katanya.

Tegas Zainal Abidin, satu bentuk penguatkuasaan amat diperlukan pada masa ini bagi mengawal pemalsuan logo halal dan pengeluaran sijil halal oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Segala persoalan hanya boleh dirungkai dengan penggubalan Akta Halal dan saya berharap ia dapat direalisasikan secepat mungkin bagi membantu menghilangkan segala kekeliruan pengguna Islam berhubung isu halal-haram dan sekali gus membela nasib mereka daripada terus dikhianati,” katanya.


Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Bukan semua produk logo halal adalah hala

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Pengguna Islam perlu lebih prihatin semasa memilih produk makanan, minuman dan barangan kegunaan harian lain kerana bukan semua produk yang memiliki logo halal berada di bawah pemantauan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Zainal Abidin Jaffar berkata, bidang kuasa jabatan itu selaku pengeluar pengurusan pensijilan halal hanya terhad dalam usaha memantau aktiviti para pemegang sijil pengesahan halal Malaysia.

“Ini sekali gus menjelaskan peranan Jakim hanya terbatas kepada pemegang sijil halal yang sah sahaja.

“Manakala bagi produk yang tidak berdaftar dan didapati menggunakan logo halal palsu atau ‘ciplak’, penguatkuasaannya hanya boleh dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menerusi Akta Perihal Dagangan (APD) 1972,” katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.

Menurut Zainal Abidin, isu penyalahgunaan dan pemalsuan logo halal di negara ini bukan perkara baru dan berharap pengguna akan lebih prihatin dalam memahami dan menangani perkara ini.

“Sekiranya pengguna berasa ragu dengan kesahihan sesuatu logo halal, sebaiknya hindarilah daripada membeli produk tersebut.

“Pengguna juga boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa berkaitan agar siasatan dapat dilakukan serta-merta bagi memastikan logo halal hanya digunakan oleh produk atau pemegang sijil pengesahan halal,” katanya.

Tegas Zainal Abidin, satu bentuk penguatkuasaan amat diperlukan pada masa ini bagi mengawal pemalsuan logo halal dan pengeluaran sijil halal oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Segala persoalan hanya boleh dirungkai dengan penggubalan Akta Halal dan saya berharap ia dapat direalisasikan secepat mungkin bagi membantu menghilangkan segala kekeliruan pengguna Islam berhubung isu halal-haram dan sekali gus membela nasib mereka daripada terus dikhianati,” katanya

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Monday, February 7, 2011

Cacing ditemui dalam sandwich



POH 4 Feb. - Seorang pelanggan yang makan di sebuah restoran dekat sebuah hotel di sini, terkejut apabila sandwich yang dipesan mengandungi seekor cacing hidup dalam saladnya.

Rizal Zaharuddin, 35, dari Ipoh, yang selalu mengunjungi restoran itu berkata, ketika kejadian pada pukul 2.40 pagi ini, dia bersendirian menikmati sandwich yang berharga RM10.

"Saya terkejut melihat kepala cacing sepanjang kira-kira empat sentimeter tiba-tiba mengengsot keluar dari sandwich yang telah saya makan.

"Bagi saya, kalau ulat dijumpai dalam sayur, itu mungkin perkara biasa, tetapi ini cacing. Chef yang membuatnya mungkin tidak membasuh salad tersebut betul-betul," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Dalam pada itu, Rizal berkata, sebaik sahaja memberitahu perkara itu kepada seorang pelayan restoran, pekerja berbangsa asing tersebut segera membuang cacing berkenaan.

Dia memberitahu, pengurus restoran itu mengakui kesilapan tersebut walaupun pada awalnya pelayan restoran terbabit berlagak kasar dengannya.

Menurutnya, dia ditawarkan sebuah bilik di hotel tersebut sebagai ganti rugi tetapi menolaknya kerana menganggap ia seolah-olah sebagai satu rasuah.

"Saya akan membuat laporan polis mengenai perkara ini dan akan mengambil tindakan saman terhadap pihak terlibat.

"Saya juga telah memaklumkan perkara ini kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Rizal turut menggesa supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memeriksa status halal hotel berkenaan.

Dia berkata, ini disebabkan kebanyakan chef restoran tersebut terdiri daripada tukang masak dari Nepal dan Myanmar.

"Saya sudah serik makan di sana, malah asyik terkenang-kenang mengenainya setiap kali melihat salad," katanya.