Wednesday, February 23, 2011

366 hotel, resort miliki sijil halal



PUTRAJAYA 23 Feb. - Sebanyak 366 buah hotel dan resort layak menerima taraf pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN).

Ia adalah jumlah yang diluluskan daripada 680 permohonan setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, daripada jumlah keseluruhan penarafan tersebut, sejumlah 289 ditauliah oleh JAIN manakala 77 lagi diiktiraf oleh Jakim.

Menurutnya, senarai terkini menunjukkan 273 hotel bertaraf tiga hingga lima bintang mendapat sijil halal, selain 53 hotel satu hingga dua bintang dan selebihnya adalah hotel bajet dan resort yang menyediakan perkhidmatan sajian.

"Peningkatan hotel dan resort yang mendapat penarafan sijil halal Malaysia membuktikan kini pengusaha hotel tidak lagi mementingkan keuntungan semata-mata.

"Jika sebelum kita terpaksa menyeru kepada mereka untuk memohon dan kemudian baru mereka berbuat demikian, namun kini sudah ada inisiatif daripada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan sijil halal kepada dua hotel terbaru yang yang diiktiraf iaitu Thistle Hotel dan Pullman Hotel Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (Maho), Shaharuddin Saaid.

Menurut Jamil Khir, Jakim dan JAIN dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Maho mahu mencapai sasaran 412 buah hotel bertaraf tiga hingga lima yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan sebagai pemegang sijil halal Malaysia menjelang akhir tahun ini.

"Sebelum ini sambutan terhadap pensijilan halal di hotel-hotel agak dingin dan ia dibimbangi akan menjejaskan daya tarikan negara ini dari segi perkhidmatan makanan halal.

"Salah satu sebab pelancong Asia Barat memilih Malaysia selain dari faktor kestabilan politik serta produk-produk pelancongan menarik ialah kerana tarikan makanan halal," katanya.

Selain itu, katanya, jika pelancong maklum bahawa operator hotel tidak mengambil berat aspek halal, ia nanti boleh menjejaskan industri pelancongan dari segi jangka masa panjang.

Dalam pada itu, Jamil Khir menasihatkan mana-mana hotel dan resort yang ingin mengadakan program berbuka puasa pada bulan Ramadan supaya memohon sijil halal Malaysia.

"Menyedari tentang budaya berbuka puasa di hotel-hotel sepanjang bulan Ramadan, kita berharap pihak penganjur majlis berbuka puasa dapat memilih hotel-hotel yang memiliki sijil halal Jakim atau dari JAIN.

"Sijil ini penting bagi memastikan umat Islam tidak berasa was-was ketika menghadiri majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh kebanyakan hotel di negara ini," katanya.

No comments: