Tuesday, February 22, 2011

Hanya 2 logo halal yang diiktiraf

SEREMBAN 17 Feb. - Hanya dua jenis tanda halal yang diiktiraf oleh kerajaan negeri iaitu logo Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan logo yang dikeluarkan oleh jabatan agama Islam negeri-negeri.

Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berkata, terdapat juga logo halal antarabangsa yang telah mendapat akreditasi Jakim dan boleh dijadikan panduan oleh umat Islam di negeri ini ketika membeli atau menggunakan sesuatu produk atau perkhidmatan.

Selain daripada logo-logo berkenaan, katanya, umat Islam boleh mengelak daripada membeli barangan yang mempunyai tanda halal yang dipertikaikan sebagai jalan terbaik ketika berdepan dengan masalah untuk menentukan kesahihan sesuatu produk atau perkhidmatan.

"Sebagai langkah proaktif, umat Islam boleh menyemak status halal sesuatu produk melalui laman web http://www.ns.gov.my/jabatan/jheains/ atau http://www.halal.gov.my/v2/ yang mempunyai direktori tanda halal dan produk halal," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai tinjauan di beberapa buah pasar raya di sekitar daerah Jempol yang mendapati hampir 30 peratus barang yang dijual mempunyai logo halal yang mengelirukan.

Ia termasuk logo yang berwarna berbentuk bintang yang mempunyai bucu, bulat dan tiga segi.

Laporan itu menggesa pihak berkuasa bertindak bagi mengelakkan umat Islam daripada terpedaya dengan logo halal palsu sesuatu barangan.

Jurucakap itu berkata, sehingga kini, pihaknya belum menerima aduan daripada pengguna di negeri ini yang mempertikaikan logo halal sesuatu produk.

Beliau berkata, pihaknya atau beberapa pihak berkuasa lain akan mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang sekiranya terdapat aduan daripada orang ramai mengenai logo halal yang disyaki palsu.

No comments: