Monday, March 23, 2009

Kehebatan perjuangan Rasulullah

12 Rabiulawal adalah tarikh bermakna dalam kalendar Islam bersempena ulang tahun peristiwa paling besar dalam sejarah tamadun manusia iaitu kelahiran seorang nabi dan rasul akhir zaman, junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Sesungguhnya kelahiran baginda menjadi titik perubahan besar dalam sejarah dunia, membawa harapan baru untuk manusia selain muncul kebenaran dan tumbang pula kebatilan.
Perjuangan dan jasa baginda meliputi seluruh alam tanpa mengira bangsa, latar belakang selain warna kulit.
Benarlah seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Al-Anbia, ayat 107 yang bermaksud: “Tiadalah kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
Jika kita melihat sejarah perjuangan baginda yang membawa risalah daripada Allah SWT, kita dapati baginda mendapat tentangan hebat daripada kaumnya sendiri, sedangkan mereka mengenali Nabi Muhammad SAW sebelum baginda diangkat menjadi rasul lagi sehingga digelar Al-Amin.
Nabi Muhammad SAW juga dikenali sebagai seorang yang suka menghubungkan silaturahim, membantu mereka yang dalam kesusahan, menolong anak yatim dan ibu tunggal, pemurah dan sebagainya.
Ringkasannya, masyarakat Arab Quraish sangat senang dengan keperibadian dimiliki baginda, tetapi mengapa tiba-tiba baginda menjadi individu paling mereka benci? Kebencian yang teramat sangat sehingga mereka ingin membunuhnya.
Mereka benar-benar sudah merancang untuk membunuh baginda dengan pelbagai perancangan jahat, namun baginda dilindungi selain diselamatkan oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surat Al-Anfal, ayat 30 yang bermaksud: “Ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan perancangan jahat terhadapmu untuk menjarakkanmu atau membunuhmu atau mengusirmu.
“Mereka menjalankan perancangan jahat dan Allah SWT menggagalkan perancangan jahat (mereka). Allah SWT sebaik-baik yang menggagalkan perancangan jahat.”
Ketika Rasulullah SAW datang membawa risalah Islam, dunia diliputi fahaman kesyirikan. Manusia menyekutukan Allah SWT dengan tuhan yang mereka cipta daripada kayu, batu dan disembah seperti matahari dan bintang berdasarkan khayalan mereka.
Manakala risalah Allah SWT yang dibawa nabi dan rasul sebelumnya sudah lenyap atau diselewengkan. Manusia pada masa itu hilang perbezaan baik atau buruk, hanya bertuhankan berhala hingga akhirnya hilang pegangan hidup.
Seruan Rasulullah SAW supaya manusia menyembah Allah SWT yang esa seolah-olah panah yang menembusi jantung hati mereka. Oleh itu, mereka bermati-matian mempertahankan kepercayaan mereka.
Bahkan sesiapa saja yang menggugat kepercayaan mereka akan ditentang dengan segala kekuatan yang ada.
Rasulullah SAW terpaksa berdepan suasana penentangan itu dengan penuh keberanian, kesabaran dan hikmah. Perjuangan menegakkan kebenaran yang tidak boleh digugat.
Lihat bagaimana Rasulullah SAW menyatakan pendirian baginda kepada bapa saudaranya Abu Talib. Sabda baginda: “Wahai bapa saudaraku, jika mereka (quraish) meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku, aku tetap tidak akan meninggalkan risalah ini sehingga Allah SWT memberi kemenangan padaku atau aku mati untuk membelanya.”
Inilah perjuangan yang dibawa oleh semua nabi. Mereka menyeru kepada perkara sama. Firman Allah SWT dalam surah An-Nahl, ayat 36 yang bermaksud: “Sesungguhnya kami mengutuskan pada setiap umat seorang rasul dengan perintah.
“Hendaklah kamu menyembah Allah SWT dan jauhilah taghut (syaitan dan apa saja yang disembah selain Allah SWT).”

No comments: