Tuesday, December 22, 2009

4.48 juta pelancong Islam lawat Malaysia

KUALA LUMPUR: Seramai 4.48 juta pelancong Islam atau 22 peratus daripada keseluruhan pelancong
mengunjungi negara ini, sepanjang tempoh 10 bulan pertama tahun ini, kata Ketua Pengarah
Pelancongan, Datuk Mirza Mohammad Taiyab.
Beliau berkata, kedatangan pelancong Islam berkenaan mencerminkan peluang besar bagi
memperkenalkan pada dunia, produk dan perkhidmatan halal negara selain membuktikan negara bukan
saja dikenali menyediakan makanan dan minuman halal, malah keperluan serta kemudahan.
"Semua kemudahan itu membuatkan Malaysia menjadi satu destinasi percutian pilihan untuk pelancong
Islam terutama dari Timur Tengah," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Minggu
Pelancongan dan Halal Islam Antarabangsa di Pusat Konvensyen Sunway Piramid, di sini, semalam.
Beliau berkata, selain daripada pelancongan halal, negara juga menyediakan perkhidmatan pendidikan
dan kesihatan berlandaskan kepada kefahaman Islam.
"Saya difahamkan, rakyat Brunei memilih untuk menghantar anak mereka ke sekolah tahfiz dan
universiti Islam di sini. Malah, jumlah pelancong luar mendapatkan rawatan doktor Islam negara kita
juga semakin meningkat dari setahun ke setahun," katanya.
Beliau berkata, tidak mustahil suatu hari nanti Malaysia berperanan menjadi pusat pelancongan Islam
utama dunia.
Hadir sama pada majlis itu, Presiden Persatuan Perdagangan dan Pengusaha Melayu Malaysia
(Perdasama), Datuk Moehamad Izat Emir dan Ketua Eksekutif Persidangan Global Pelancongan Islam
Sdn Bhd, Datin Hasnah Abdul Rahman.
Minggu Pelancongan dan Halal Islam Antarabangsa selama dua hari itu juga menyediakan pameran
serta jualan pelbagai produk dan perkhidmatan halal tempatan.

No comments: