Tuesday, December 22, 2009

Malaysia mesti bekerjasama dengan syarikat teknologi

SAN FRANCISCO 11 Dis. - Industri halal Malaysia boleh menggerakkan rantaian industrinya
jika kerjasama dijalin dengan syarikat yang digerakkan teknologi bagi menghasilkan lebih
banyak produk atau komponen yang mengikut pematuhan Syariah.
Dalam merealisasikan ini, Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation Sdn. Bhd.,
Datuk Jamil Bidin berkata, Malaysia seharusnya menarik syarikat yang betul-betul kukuh untuk
terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mewujudkan produk inovatif, bukan
sahaja dalam segmen makanan tetapi juga bukan makanan.
"Dalam bergerak ke hadapan, kita mesti inovatif dan kreatif untuk menembusi pasaran di masa
hadapan memandangkan permintaan pengguna kian meningkat.
"Kita boleh mendapat peluang untuk bekerjasama dengan institut penyelidikan di Amerika
Syarikat (AS) bagi mempertingkatkan lagi inovasi kita dan ini boleh menjadikan Malaysia, pakar
dengan daya saing khusus dalam industri halal," kata beliau di sini di luar acara misi pelaburan
dan perdagangan ke Amerika Syarikat yang diketuai oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian
Malaysia (MIDA).
Jamil berkata, syarikat multinasional yang terlibat dalam industri seperti farmaseutikal dan
kosmetik sentiasa meninjau produk baru bagi menampung permintaan di pasaran.
Beliau berkata, melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat ini, ia membolehkan syarikat
Malaysia menembusi pasaran AS yang mempunyai kira-kira lapan juta penduduk Islam yang
tinggal di Amerika Utara.
Dalam menyasarkan potensi bagi industri halal di AS, Jamil membandingkan populasi Islam
dengan populasi Yahudi iaitu kira-kira 5.5 juta di Amerika Utara, yang menggunakan makanan
sembelihan Yahudi melebihi AS$7 bilion (RM23.8 bilion) setiap tahun.
"Saya amat gembira kerana menemui mereka yang tepat dalam misi ini. Mereka ialah dari
komuniti perniagaan inovasi dan mereka menghormati Malaysia dari segi pengetahuan halal. Itu
sebabnya mereka juga amat berminat bekerjasama dengan kita," kata beliau. - Bernama

No comments: