Friday, September 3, 2010

Mohon semula sijil halal lepas pinda akta

KUALA LUMPUR: Premis dan produk yang menggunakan sijil halal dikeluarkan pihak swasta perlu membuat permohonan semula kepada pihak berkuasa agama selepas pindaan Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 Oktober depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata kerajaan akan menamatkan semua sijil daripada pihak yang tidak diluluskan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain), Majlis Agama Islam Negeri (Main) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) apabila pindaan itu diluluskan.


Menurutnya, tindakan itu boleh mengelakkan sebarang pemalsuan dan salah guna sijil halal, sekali gus dapat memelihara kepentingan masyarakat dan pengguna.


“Pihak yang ada sijil swasta kena mohon balik kepada Main dan Jain, sebab kami mengutamakan halalan toyyiban iaitu mesti halal, bersih dan baik penyediaannya.


“Malah, peraturannya paling tidak kena ada dua orang Muslim di premis yang campur tukang masak pelbagai bangsa manakala bahan mesti tidak melebihi had dibenarkan Sirim.


“Kemudian saya bimbang logo ini daripada peringkat awal sudah pun salah prosedur pengeluarannya. “Maksud saya tak diambil peduli, asal orang minta dan berasaskan kepada komersial, tanpa tanggungjawab, tetapi kerajaan mengeluarkannya untuk tujuan bertanggungjawab,” katanya selepas merasmikan program Semarak Ramadan Komuniti Disayangi di Chow Kit, di sini, semalam. Program Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp), Takaful Ikhlas dan pertubuhan bukan kerajaan dengan hampir 800 peserta kebanyakannya terpinggir daripada masyarakat perdana.


Jamil Khir berkata, pada waktu ini pihaknya mengenal pasti enam syarikat swasta yang mengeluarkan sijil halal.


“Mereka mengeluarkan berasaskan komersial untuk keuntungan. Dibuat sendiri, bukan kelulusan Jakim, malah masih berjalan. Berhenti (hanya) secara mulut,” katanya.

No comments: