Thursday, September 2, 2010

Pamer logo halal tapi jual arak




KUALA LUMPUR 1 Sept. – Beberapa medan selera dan sebuah restoran di pusat membeli-belah Pavilion di sini dikesan menawarkan minuman keras dan juadah meragukan walaupun mempamerkan logo halal.

Tindakan itu dikesan dalam satu serbuan yang dijalankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan anggota penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.

Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Jakim, Mohd. Amri Abdullah berkata, pihaknya memperolehi maklumat itu hasil aduan orang ramai termasuk pelancong asing kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

“Aduan banyak diterima daripada pelanggan terutamanya pelancong dari Asia Barat berhubung status hidangan yang disajikan di medan selera berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, kami mendapati kebanyakan premis makanan terlibat menggunakan sijil halal yang dikeluarkan Bahtera Lagenda Sdn. Bhd. iaitu syarikat swasta yang tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan sijil dan logo halal berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut hari ini.

Tambahnya, syarikat berkenaan merupakan sebahagian daripada enam syarikat yang ditolak majlis agama islam negeri berhubung kesahihan sijil halal keluarannya.

Sehubungan itu beliau meminta premis makanan yang mahu mendapatkan sijil halal membuat permohonan dengan Jakim bagi memastikan status halal mereka diragui

“Kami akan melakukan pemantauan dan pemeriksaan sekiranya menerima permohonan daripada pihak yang ingin mendapatkan sijil dan status premis halal,” katanya.

Seramai 11 anggota Jakim, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta wakil PPIM terlibat dalam operasi itu.

Mereka juga mendapati beberapa premis yang terlibat menjual minuman keras secara terbuka kepada pengguna walaupun terdapat logo halal di premis berkenaan.

Ekoran serbuan itu, beberapa pekerja kedai di sekitar medan selera tersebut bertindak menanggalkan kesemua logo halal di dinding kedai masing-masing.

No comments: