Wednesday, September 29, 2010

M'sia perlu pusat sains halal

Malaysia perlu menubuhkan Pusat Sains Halal untuk merebut peluang yang terbuka luas dalam industri Halal antarabangsa yang bernilai lebih US$2 trilion, selain bersama-sama menyumbang ke arah pengeluarandan penyediaan produk halal dunia.
Dalam membuat gesaan itu, Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Malaysia (DPIM) Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata penubuhan pusat itu juga penting untuk melengkapkan usaha merealisasikan Malaysia sebagai Hab Halal Dunia.

Thailand sudah mempunyai Pusat Sains Halal (HSC) selain Institut Standard Halal, dengan HSC yang merupakan pusat pertama seumpama itu di dunia, dan berjaya melakukan inovasi dalam mengesan dan mengesahkan produk makanan yang dikeluarkan di negara itu dan beberapa negara lain, halal, menerusi Sistem HAL-Q.

Sistem HAL-Q iaitu jaminan, kebersihan, kebolehpercayaan dan kualiti menggabungkan kualiti halal atau bersih dan suci serta selamat, dengan Amalan Pengilangan Baik (GMP), Titik Kawalan Kritikal Analisis Bahaya (HACCP) dan Standard ISO, yang menjadi penanda aras untuk pengeluar makanan halal di seluruhThailand.

"Saranan DPIM ini bukan bertujuan untuk bersaing dengan Thailand, tetapi berperanan sebagai pelengkap antara satu sama lain dalam merebut peluang industri Halal dunia yang terbuka luas yang kini dianggarkan bernilai lebih US$269 bilion, tidak termasuk sektor bukan makanan seperti produk dan perkhidmatan halal yang dianggarkan bernilai US$2 trilion," katanya pada akhir lawatan tiga hari ke Bangkok, baru-baru ini, yang memetik perangkaan yang dikeluarkan Kementerian Perindustrian Thailand.
Lawatan anjuran Kedutaan Thailand di Malaysia itu bertujuan membolehkan anggota DPIM mendapat maklumat terkini mengenai peluang-peluang pelaburan dan perniagaan di negara berkenaan serta mengembalikan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Thailand yang terjejas akibat krisis ekonomi global tahun lepas.

Anggota delegasi 12 orang yang terdiri daripada pemimpin perniagaan korporat dan pelaburan, hartanah, keusahawanan, perladangan serta pentadbir dan pembangunan sistem pengurusan Halal, turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri Thailand Dr Trairong Suwankiri.

Anggota delegasi turut mendengar taklimat mengenai perkembangan perdagangan dan pelaburan negara itu yang disampaikan oleh Naib Presiden Dewan Perdagangan Thailand (TCC) dan Lembaga Perdagangan Thailand (BOT) Somkiat Anuras.

Duta Thailand ke Malaysia Thana Duangratana, turut mengiringi lawatan itu yang turut melibatkan pertemuan dengan Pengerusi TCC dan BOT Dusit Nontanakorn, Ketua Protokol Kementerian Luar Thailand Bansarn Bunnag pada jamuan tengah hari yang dihoskan oleh Setiausaha Sulit Prinsipal Raja Thailand Arsa Sorasin.

Muhammad Ali berkata DPIM difahamkan bahawa Jepun, Vietnam dan China, turut berminat menubuhkan pusat sains halal di negara masing-masing bagi merebut peluang besar industri berkenaan.

Oleh itu katanya DPIM berpandangan bahawa Malaysia tidak boleh ketinggalan memandangkan negara itu memulakan industri halal dan tidak boleh kehilangan kelebihan itu.

Menurut beliau, ini kerana bagi membangunkan perniagaan dan perdagangan halal, pembangunan imej dan standard perlu ditekankan memandangkan ia merupakan isu utama dalam perdagangan antarabangsa, katanya.

"Berikutan itu penting untuk Malaysia meningkatkan imej produknya untuk bersaing dengan peserta pasaran antarabangsa lain yang kompetitif dari segi standard dan kualiti produk yang boleh direalisasikan menggunakan aplikasi sains dan teknologi menerusi pusat halal sains yang mampu menyediakan perlindungan spiritual untuk umat Islam dan meningkatkan manfaat ekonomi bersama masyarakat dunia.

Menurutnya, perdagangan halal tidak lagi boleh dipinggirkan, lebih-lebih lagi kerana ia berkembang dan tidak lagi terhad kepada pasaran tradisional seperti negara Islam.

"Kita menyedari bahawa institusi pengajian tinggi tempatan dan institusi penyelidikan negara mempunyai makmal untuk menjalankan ujian bagi menentukan halal haram sesuatu produk itu, namun kita memerlukan lebih banyak pusat seumpama itu untuk menggabungkan usaha bagi mewujudkan pusat rujukan halal utama negara," katanya.

Muhammad Ali berkata DPIM juga menyarankan kerajaan melaksanakan sistem pengauditan halal bagi memastikan pengeluar, pengilang, hotel dan premis makanan, diaudit secara berkala bagi memastikan mereka mematuhi prinsip halal sepanjang masa.

"DPIM bukan mahu menyusahkan kerajaan, sebaliknya mengurangkan beban agensi pengeluar sijil dan logo halal seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan agensi penguatkuasa lain, kerana pemantauan itu dilakukan oleh badan khusus terbabit seperti yang dilakukan dalam industri kewangan.

"Kami sudah menyediakan kertas kerja mengenainya dan kini dalam peringkat akhir mendapatkan input daripada tokoh-tokoh dalam bidang berkaitan sebelum dikemukakan kepada kerajaan untuk kelulusan," katanya.

Beliau berkata jika cadangan itu dilaksanakan kelak, hotel, restoran, pengeluar dan pengilang makanan yang mahu mendapat sijil halal perlu mendapatkan khidmat pegawai audit yang bertauliah sebelum sijil halal dikeluarkan dan pegawai audit berkenaan akan memantau keseluruhan proses bagi memastikan
pematuhan itu diikuti sepanjang masa.

"Di Thailand, Institut Standard Halalnya yang mengeluarkan sijil dan logo Halal, menempatkan penyelia tetap di premis pengeluar untuk tempoh tiga bulan sebelum ditukarkan ke premis lain bagi memastikan pengilang mematuhi syarat yang ditetapkan.

"Berdasarkan kaedah pemantauan oleh institut berkenaan, negara jiran kita itu yang hanya mempunyai lapan peratus penduduknya yang beragama Islam, dapat menjamin bahawa produk yang dikeluarkan benar-benar halal," katanya.

Pengarah institut itu, Anirut Smurthkochorn berkata pada 2009, 57 restoran, termasuk restoran di hotel di negara itu, terutama di selatan Thailand, memperoleh sijil dan logo halal.

Tahun ini, 78 lagi sudah memperoleh sijil dan logo halal dan 28 permohonan lagi sedang diproses, katanya.

No comments: