Wednesday, December 29, 2010

Mais beri amaran tarik sijil halal

Majlis Islam Sarawak (MAIS) hari ini memberi amaran kepada pusat sembelihan ayam di Kuching agar mematuhi peraturan yang ditetapkan jika tidak mahu sijil halal mereka ditarik balik.

Yang Dipertuanya Datuk Putit Matzen berkata setakat ini pihaknya menerusi Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) telah menggantung sijil halal sebuah pusat sembelihan ayam kerana gagal mematuhi syarat yang ditetapkan.

"Jangan pandang ringan soal halal ini dan kita di MAIS dan JAIS akan sentiasa memastikan setiap pusat sembelihan ayam mematuhi piawaian yang telah digariskan," katanya kepada pemberita di Kuching.

Beliau sebelum itu mengetuai pemeriksaan mengejut ke atas tiga pusat sembelihan ayam di sini yang bermula pukul 12 tengah malam dan berakhir pukul 3 pagi tadi.

Mengulas lanjut, Putit berkata sijil halal yang digantung atau ditarik balik hanya dikembalikan selepas pusat sembelihan berkenaan mematuhi standard yang ditetapkan Jawatankuasa Teknikal Persijilan Halal.

Selepas ditarik balik, mereka dilarang sama sekali menggunakan logo halal pada produk yang dikeluarkan, katanya.

Mengulas mengenai operasi itu, Putit berkata sebuah pusat sembelihan digantung sijil halal untuk pengeluaran ayam segar kerana tidak mematuhi syarat yang ditetapkan JAIS.

"Kita telah mengarahkan pegawai kita untuk menggantung sijil halal syarikat terbabit dan ini merupakan amaran kedua yang diberi kepada syarikat yang sama. Selepas ini jika masih ingkar, kita akan tarik balik sijil halal ini," katanya.

No comments: