Saturday, June 25, 2011

Tarik balik sos guna bahan tidak halal

KUCHING 22 Jun - Restoran makanan segera terkemuka yang mempunyai beberapa cawangan francais di negeri ini bersetuju menarik balik penggunaan sejenis sos yang diperbuat daripada bahan tidak halal.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) telah melakukan siasatan di premis restoran berkenaan selepas menerima laporan daripada pengguna.

''Ekoran itu, restoran makanan segera berkenaan setuju untuk tidak menggunakan sos tersebut di premis mereka bagi mengembalikan keyakinan pelanggan beragama Islam," katanya kepada pemberita selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Terdahulu pada Sidang DUN, Daud sewaktu menjawab soalan Abdul Karim Rahman Hamzah (BN-Asajaya) berkata, JAIS telah mengesan tindakan premis jualan makanan yang menggunakan salinan sijil halal palsu bagi mengelirukan pengguna.

Katanya, ia berjaya dikesan oleh pegawai penguat kuasa yang sentiasa melakukan pemeriksaan mengejut dan memantau penggunaan sijil halal yang meragukan di premis-premis perniagaan milik pengusaha Islam dan juga bukan Islam.

''Pemeriksaan mendapati 48 premis telah melakukan kesalahan yang dianggap kesalahan besar kerana menukar bahan pembuatan makanan tanpa pengesahan JAIS serta tiada langkah pembetulan diambil walaupun amaran telah diberikan.

''Justeru, semua premis perniagaan itu telah ditarik balik sijil halal mereka manakala sejumlah 22 premis didapati melakukan kesalahan kecil telah diberi amaran dan diarahkan melakukan pembetulan," ujarnya.

No comments: