Friday, June 3, 2011

Hukum berubat guna cicak tokek dikaji



PUTRAJAYA 17 Mei - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan merujuk kepada Jawatankuasa Panel Kajian Syariah secepat mungkin bagi menentukan status hukum berubat menggunakan cicak tokek.

Ketua Pengarahnya, Othman Mustapha berkata, berdasarkan garis panduan sedia ada, hukum berubat menggunakan haiwan beracun, hidup dua alam dan makan makanan yang kotor, adalah haram di sisi Islam.

Bagaimanapun, katanya, jika haiwan tersebut merupakan satu-satunya sumber yang ada dan terbukti keberkesanannya dari segi saintifik, maka hukumnya adalah harus.

"Benda ini perlu dibawa bincang terlebih dahulu kerana kajian mengenai khasiat cicak tokek masih belum ada.

"Jadi, kalau nak kata boleh atau tidak dari sudut syarak, para ulama kena buat kajian dan duduk berbincang bersama sebelum kata putus boleh diberikan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keghairahan sesetengah pihak yang sanggup mencari cicak tersebut termasuk menggadai nyawa kerana percaya spesies tersebut mampu mengubati penyakit AIDS atau membunuh HIV.

Othman mengingatkan masyarakat supaya berhati-hati dan jangan mudah terpengaruh dengan khasiat sesuatu benda tanpa bukti yang kukuh.

Dari segi saintifik, katanya, keberkesanan haiwan tersebut mengubati sebarang penyakit belum terbukti dan diragui.

"Kita sangat mengalu-alukan jika ada pihak yang pakar dan mampu membentangkan kajian tentang khasiat cicak tokek supaya hukum halal atau haram berubat menggunakan spesies tersebut dapat ditentukan," katanya.

Sementara itu, Othman berkata, umat Islam juga dinasihatkan supaya berhati-hati ketika terlibat dalam urusan jual beli haiwan tersebut kerana beberapa ulama berbeza pendapat mengenai wang hasil jualan haiwan tersebut.

"Mengikut mazhab Syafie, kalau haiwan itu ada masalah iaitu haram mengikut Islam, maka tidak boleh dijual.

"Bagaimanapun, sesetengah pendapat seperti mazhab Hanafi membenarkan proses jual beli itu seperti dalam kes baja di mana mazhab itu membenarkan penggunaan najis walaupun ia kotor," katanya.

No comments: