Tuesday, June 28, 2011

Utusan Malaysia Online - Parlimen

Utusan Malaysia Online - Parlimen

KUALA LUMPUR 28 Jun – Restoran yang sengaja meletakkan ayat al-Quran atau tulisan jawi bagi mengelirukan umat Islam agar menyangka premis itu halal, akan dikenakan tindakan keras mulai 1 Januari depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana mulai tarikh tersebut, Akta Perihal Dagangan 2011 bakal berkuat kuasa.

“Tindakan pemilik restoran itu dianggap sebagai cubaan mengelirukan pengguna (umat Islam) sehingga wujud anggapan bahawa sesebuah restoran itu halal, sedangkan ia tidak.

“Menerusi akta ini, pengguna boleh membuat aduan mengenai kewujudan restoran sebegini dan kita akan mengambil tindakan,” katanya ketika sesi perbahasan rang undang-undang tersebut di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selepas ini logo halal juga akan diseragamkan kerana buat masa sekarang terdapat tujuh syarikat swasta yang mengeluarkan sijil halal.

“Penyelarasan ini juga memberi kuasa kepada pihak Kastam untuk menghalang kemasukan barangan import yang tidak mempunyai perakuan halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, akta baru itu juga membolehkan kementerian mengambil tindakan ke atas peniaga yang menjual barangan tiruan.

Katanya, peniaga yang didapati bersalah menjual barangan tiruan bakal dikenakan denda sehingga RM15,000 bagi setiap satu barang yang disita sekali gus melindungi kepentingan pengguna.

Sementara itu, beliau menjelaskan, kementerian hanya mengeluarkan permit kepada pemilik kedai untuk membuat jualan murah jika menyenaraikan lebih 50 peratus daripada barangan yang hendak dijual dengan harga murah.

“Kita tidak akan keluarkan lesen jualan murah jika ada 10 barang saja dijual pada harga murah. Kita mensyaratkan mesti 50 peratus daripada keseluruhan barangan yang dijual.

“Peniaga juga hanya dibenarkan mengadakan jualan murah tiga kali setahun. Peniaga yang didapati memalsukan iklan jualan murah juga akan dikenakan tindakan menerusi akta perihal dagangan ini,” katanya.

No comments: