Thursday, May 13, 2010

Luar cantik dalam menjijikkan

MOHD. DERUS melihat tandas di sebuah restoran yang dijadikan sebagai tempat menyimpan bahan mentah dan peralatan memasak di Banda Hilir semalam.

MELAKA – Dipandang dari luar, sebuah kedai makan di Plaza Mahkota, Banda Hilir di sini kelihatan cantik dan bersih.
Namun imej cantik dan bersih itu terhakis dan diganti imej menjijikkan sebaik sahaja melihat tandas restoran berkenaan.
Keadaan menjijikkan itu bukan kerana tandas di situ kotor, namun tindakan pengusaha kedai makan berkenaan menjadikan tandas di situ sebagai tempat menyimpan bahan mentah masakan seperti bawang dan minyak masak serta periuk yang tentunya memualkan pelanggan apabila melihat keadaan tersebut.
Lebih memeranjatkan, tidak cukup satu tandas digunakan, sebuah lagi tandas di situ turut digunakan sebagai stor.
Pegawai Inspektorat dan Pembangunan Komuniti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Mohd. Derus Tompang berkata, perkara itu dikesan oleh pihaknya dalam satu operasi bersepadu melibatkan 28 anggota MBMB dan Jabatan Kesihatan semalam.
“Tandas tidak boleh digunakan sebagai stor untuk menyimpan bahan mentah masakan dan peralatan memasak.
“Lagi pun, kedai ini terletak berhampiran kawasan tumpuan pelancong. Pelancong tentu berasa jijik jika melihat tandas ini dipenuhi bahan mentah untuk masakan dan ia tentu memalukan negeri Melaka,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

No comments: