Tuesday, May 25, 2010

Sijil halal diseragam, ujian penilaian KAFA diiktiraf

Najib Tun Razak bersalaman dengan exco dan pegawai agama negeri selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-51 di Putrajaya, semalam. - BERNAMA


PUTRAJAYA 25 Mei - Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-51 di sini hari ini mencapai kesepakatan untuk menyeragamkan Sijil Halal Malaysia ke seluruh negara bagi mengelakkan kekeliruan kepada umat Islam.
Pada masa sama, persetujuan turut dicapai untuk mengiktiraf Ujian Penilaian Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) iaitu UPKK sebagai penilaian utama dalam kelayakan memasuki Sekolah Menengah Agama penuh dan sekolah berasrama penuh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perakuan pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu akan dipersembahkan untuk perkenan Majlis Raja-Raja pada persidangan akan datang.
''Ketika ini hanya logo pada Sijil Halal Malaysia itu sahaja yang seragam tetapi kandungan sijilnya masih dikeluarkan secara berbeza-beza oleh kerajaan-kerajaan negeri. Selepas ini nanti, sijil berkenaan masih akan dikeluarkan oleh negeri-negeri ini tetapi kita akan pastikan ia seragam.
''Mengenai UPKK pula, ketika ini ia hanya sekadar penilaian sampingan sahaja untuk memasuki sekolah berasrama penuh, justeru kita akan mengangkatnya untuk diiktiraf sebagai kelayakan utama," kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Beliau ditanya hasil mesyuarat dua jam berkenaan yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri.
Selain Jamil Khir, turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.
Program KAFA terbukti berkesan apabila keputusan UPKK di seluruh negara mengalami peningkatan setiap tahun.
Pada 2008 sahaja, sebanyak 99.94 peratus pelajar lulus ujian tersebut dengan tilawah mencatatkan sebanyak 87 peratus, manakala hafazan sebanyak 94.3 peratus.
Fungsi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam termasuklah memberi nasihat kepada Majlis Raja-Raja, kerajaan negeri atau Majlis Agama Islam negeri berkaitan perundangan atau pentadbiran agama Islam dengan tujuan menambah baik atau menggalakkan persamaan undang-undang.

No comments: