Tuesday, March 8, 2011

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Produk kesihatan: Dapatkan sijil halal

KUALA LUMPUR 8 Mac - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggalakkan syarikat pengeluar produk makanan kesihatan tambahan dan ubat tradisional yang belum mempunyai sijil halal mendapatkannya bagi memudahkan pengguna beragama Islam.

Pengarah Hab Halal Jakim, Zainal Abidin Jaffar berkata, pihaknya juga menyarankan supaya pasar raya dan farmasi mengasingkan produk yang mempunyai sijil halal Jakim daripada produk yang tiada sijil halal.

"Jakim tidak boleh mengambil tindakan seperti memaksa syarikat pengeluar untuk mendapatkan sijil halal, tetapi ia adalah tanggungjawab mereka kepada pengguna Islam di negara ini.

"Syarikat pengeluar makanan kesihatan boleh mendapatkan sijil halal Jakim dengan melengkapkan borang secara online di laman web Bahagian Hab Halal Jakim di www.halal.gov.my," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa hanya 20 syarikat pengeluar produk makanan tambahan dan 14 pengeluar ubat tradisional di negara ini yang mempunyai sijil halal Jakim.

Menurut Jamil Khir, masih banyak pengeluar produk kesihatan yang terdapat di pasaran belum mengemukakan permohonan sijil halal kepada Jakim mahupun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Tambah Zainal Abidin, bayaran bagi memperoleh sijil halal Jakim bagi syarikat industri kecil sederhana (IKS) adalah RM800 untuk tempoh dua tahun manakala syarikat bertaraf antarabangsa bayarannya RM1,400 bagi tempoh yang sama.

Sementara itu, Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, pengguna beragama Islam wajib memastikan produk yang digunakan adalah daripada bahan yang halal atau tidak meragukan (syubhah).

"Pengguna yang beragama Islam haruslah memilih dan meneliti terlebih dahulu bahan atau produk yang terdapat di pasar raya disahkan halal," katanya.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin ketika dihubungi berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan esok, antara kementerian dan Jakim.

"Tujuan mesyuarat khas tersebut diadakan bagi membuat semakan terhadap produk farmaseutikal tempatan yang didapati mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi," katanya.

No comments: