Monday, March 28, 2011

Penguatkuasaan halal kini lebih berkesan, bersepadu Oleh Mohd Amri Abdullah

2011/03/23
PADA 18 Mac lalu, semua khatib di Wilayah Persekutuan membaca khutbah berkaitan konsep Halalan Thoyyiba seolah-olah pada saiyidul ayyam (penghulu segala hari) ini memberikan amanah besar kepada pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menguruskan pensijilan halal. Justeru, selepas sembahyang Jumaat, secara rasminya pegawai JAKIM diserahkan kad kuasa pelantikan sebagai Penolong Pengawal Perihal Dagangan Di Bawah Akta Perihal Dagangan 1972 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Sebenarnya pewartaan pegawai JAKIM sebagai Penolong Pengawal Perihal Dagangan berkuat kuasa mulai 15 April 2010 lagi, tetapi penyerahan kad kuasa hanya dilaksanakan pada tarikh itu kerana perlu melengkapkan pegawai JAKIM dengan latihan dan tunjuk ajar mengenai tindakan penguatkuasaan, khususnya aspek perdagangan.
Seramai 62 orang, iaitu Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM, Pegawai Hal Ehwal Islam dan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan, Bahagian Hab Halal, JAKIM sudah dilantik sebagai Penolong Pengawal Perihal Dagangan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 pada 15 April 2010 melalui warta bertarikh 10 Jun 2010 (P.U. (B) 265).

Melalui kuasa yang diperturunkan ini, pegawai JAKIM boleh mengambil tindakan kes berkaitan penyalahgunaan perbahasaan dan logo halal serta peruntukan berkaitan penguatkuasaan halal. Sebelum ini penguatkuasaan halal dijalankan sepenuhnya oleh KPDNKK.

Dengan pelantikan ini dapat menghakis tanggapan sesetengah pihak, termasuk syarikat swasta yang mengeluarkan sijil halal yang menyatakan pegawai JAKIM tidak mempunyai kuasa dalam menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan sijil dan logo halal, malah turut meminta pemegang sijil halal swasta membuat laporan polis jika mana-mana pegawai yang datang kecuali KPDNKK.

Memandangkan kerja pemantauan dan penguatkuasaan halal sama dengan agensi penguatkuasaan lain, adalah wajar dan tepat pegawai JAKIM juga dilantik di bawah kuasa itu dan diberikan kemudahan sama seperti agensi penguat kuasa lain. Pelantikan ini akan memperkasakan lagi pengawalan sijil dan logo halal di Malaysia.

Sebelum ini JAKIM berperanan sebagai pemantau kepada pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia saja, tetapi dengan penurunan kuasa ini JAKIM juga berperanan untuk membuat pemeriksaan kepada mana-mana syarikat yang menggunakan perbahasaan halal.
Seperti diumumkan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz, pada 2010, 1,384 pemeriksaan pemantauan dan penguatkuasaan dijalankan.
Sebanyak 1,202 atau 87 peratus adalah secara berkala, aduan 95 (7 peratus) dan susulan 87(6 peratus). Secara purata cawangan ini menjalankan pemeriksaan sebanyak 115 premis/kilang sebulan. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,077 (78 peratus) kategori produk makanan, 267 (19 peratus) premis makanan (hotel dan restoran), 38 (3 peratus) rumah sembelih dan 2 logistik (gudang).

Hasil pemantauan keseluruhan mendapati 1,193 (86 peratus) adalah komited halal (mematuhi piawaian halal), manakala 191 (14 peratus) masih dilaporkan Ketidakakuran (Non Comformence Report (NCR)) yang perlu dilakukan pembetulan oleh industri.

Objektif JAKIM adalah ke arah sifar NCR. Untuk mencapai objektif ini sudah tentu agensi lain harus memainkan peranannya seperti Halal Industri Development Corporation (HDC). Statistik ini menunjukkan kesungguhan JAKIM menangani isu halal, ini tidak termasuk dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan KPDNKK sendiri.

Penulis mengambil peluang mengucapkan tahniah kepada KPDNKK kerana langkah penurunan kuasa ini adalah perkongsian pintar dan inovasi yang melihat kepada matlamat yang lebih besar. Ia juga hasil kerjasama erat selama ini antara JAKIM-KPDNKK.

Penulis berpandangan agensi penguat kuasa lain yang berkaitan juga boleh mengikut langkah proaktif KPDNKK. Dalam menguatkuasakan pensijilan halal, pelbagai agensi terbabit seperti Kementerian Kesihatan (KKM) yang menguatkuasakan Akta Makanan 1983, mungkin pegawai teknologi makanan di JAKIM juga boleh dilantik untuk menguatkuasakan akta ini dalam pensijilan halal.

Begitu juga agensi lain seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Kastam, dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Cadangan lain yang boleh dipertimbangkan ialah dengan memasukkan elemen halal dalam mana-mana undang-undang berkaitan seperti di agensi tadi. Maka pengawalan sijil dan logo halal makin bersepadu.

Justeru, dengan pemantauan dan penguatkuasaan oleh JAKIM sepenuhnya bakal memberi impak yang positif dari aspek pematuhan undang-undang berkaitan penggunaan logo dan perbahasaan halal di samping dapat mengembalikan keyakinan kepada pengguna industri ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab halal antarabangsa.

Penulis ialah Penolong Pengarah Kanan, Hab Halal JAKIM

No comments: