Monday, May 16, 2011

Elak guna penapis air

Oleh Shuhada Mansor
darmansor@hmetro.com.my

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KAJANG: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) tidak menggalakkan orang ramai memasang alat penapis air pada meter air utama rumah mereka kerana ia menyebabkan air yang ditapis mudah dicemari bakteria.

Pengarah Eksekutif, Bahagian Kualiti Air, Aset dan Sumber Strategik Syabas, Roowina Merican A Rahim Merican, berkata air yang ditapis itu tidak mempunyai kandungan klorin menyebabkan bakteria seperti E. coli dan Coliform sukar untuk dihapuskan kerana tiada tindak balas dengan klorin.


“Air yang bertakung di dalam tangki simpanan air rumah mudah untuk dicemari bakteria ini kerana kitaran tidak kerap berlaku disebabkan penggunaan air yang tidak banyak oleh pengguna,” katanya pada Kempen Kesedaran Pengguna Mengenai Kualiti Air di Universiti Tenaga Nasional.

Beliau berkata, sebagai pengguna kita tidak setiap hari menggunakan air, jadi apabila air yang dicemari itu digunakan ditambah pula kandungan karat dari tangki yang masuk ke dalam air, ia memberi kesan buruk kepada pengguna seperti gatal badan.


Bagi kategori rumah teres, air dari meter utama disalurkan kepada dua bahagian iaitu terus ke singki dapur dan dipam naik ke tangki simpanan air yang terdapat di setiap rumah manakala, bagi kategori rumah bertingkat pula, penduduk dari tingkat bawah sehingga tingkat empat menerima bekalan air terus dan penduduk tingkat seterusnya dibekalkan air dari tangki simpanan.


“Penggunaan penapis air adalah hak individu dan kami tidak menghalang jika orang ramai mahu memasang alat penapis air ini di rumah mereka,” katanya.

Menurutnya, apa yang penting, Syabas yakin dengan kualiti air yang dibekalkan kepada 7.3 juta pengguna yang menepati piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah program Kawalan Mutu Air Minimum Kebangsaan.


“Pengetahuan mengenai kualiti air ini akan diteruskan dalam Kempen Kesedaran Pengguna yang dianjurkan Syabas setiap bulan ditujukan kepada semua pengguna termasuk domestik dan komersial di samping bersama-sama memikul tanggungjawab dalam memastikan air yang diminum sentiasa bersih,” katanya.

Hadir sama, Pengurus Besar Kanan, Jabatan Kualiti Air dan Aset Syabas, Muhamad Darif Idris dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Alumni dan Pengurusan Uniten, Prof Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha.

No comments: