YAN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan logo halal pada kotak susu 1Malaysia yang diragui statusnya sejak mula diagih secara percuma kepada pelajar sekolah mulai 11 Mei lalu, adalah produk yang mematuhi prosedur dan piawaian halal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, meskipun produk itu dikeluarkan di Korea, ia mematuhi piawaian halal berdasarkan penilaian Jakim dan badan Islam di negara berkenaan. Katanya, banyak produk keluaran badan Islam dari negara luar ketika ini dijual menggunakan logo halal selain logo dikeluarkan Jakim, namun ia tetap perlu mematuhi peraturan dan piawaian negara ini sebelum boleh dipasarkan. “Terdapat badan Islam luar negara yang mengeluarkan produk mereka sendiri dan kini dipasarkan secara meluas di Malaysia, namun ia memenuhi piawaian serta peraturan ditetapkan Jakim. “Dalam hal ini, Jakim sendiri membuat pengawasan dan penilaian terus terhadap produk itu sebelum ia boleh dipasarkan sebagai produk halal di negara ini. “Di peringkat kementerian juga kita ketika ini sedang berusaha untuk membolehkan isu halal ini diselaraskan dan hal berkaitan Akta Perihal Dagangan 1972 berhubung isu halal akan dibentangkan di Parlimen Jun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Surau Haji Yaacob di Kampung Batu 16, Padang Lumat, Guar Chempedak, di sini, semalam.
No comments:
Post a Comment