Tuesday, May 31, 2011

myMetro | ‘Kami kerugian’




myMetro | ‘Kami kerugian’

KUALA LUMPUR: “Sebagai seorang Islam tidak mungkin kami menjual minuman tidak halal kepada saudara seagama,” kata Pengarah Suria Wholesaler Sdn Bhd, Ahmad Al Yateem, pengedar minuman malta berjenama Barbican yang dikaitkan dengan bir halal yang kini dipersoalkan kandungan alkohol di dalamnya.

Ahmad berkata, jualan Barbican yang sudah berada dalam pasaran tempatan sejak enam tahun lalu terjejas teruk sejak timbul isu minuman bir halal mempunyai kandungan alkohol sehingga 0.5 peratus melebihi kadar yang dibenarkan untuk pengguna Islam.


Menurutnya, Barbican tidak pernah dilabelkan sebagai bir halal selama ini sebaliknya hanya minuman malta berperisa buah-buahan.

“Bagaimanapun sejak isu itu timbul banyak media menggunakan gambar Barbican sehingga mengelirukan pengguna.


“Saya ingin tegaskan Barbican tidak mengandungi alkohol malah anda boleh temui minuman ini dijual di Masjidil Haram di Makkah untuk umat Islam di sana,” katanya.


Ahmad berkata, Barbican dikeluarkan syarikat Aujan Industries Co yang berpusat di Dubai dan dipasarkan di seluruh negara Arab selain Asia serta Eropah untuk pengguna Islam.

“Kami mempunyai sijil daripada Kementerian Kesihatan Dubai, sijil untuk eksport dan sijil halal daripada Islamic Food Research Centre Malaysia & Asia Region (IFRC Asia). Kami sama sekali tidak menjual minuman yang mengandungi alkohol kepada umat Islam.


Dia bagaimanapun mendakwa isu itu mungkin timbul disebabkan persaingan berikutan Barbican semakin menjadi pilihan umat Islam di negara ini.

“Saya tidak tahu sama ada minuman yang dikatakan bir halal yang dijual di sini mengandungi alkohol atau tidak tetapi apabila ada pihak mengaitkan dakwaan itu dengan Barbican sudah tentu ia menjejaskan perniagaan kami.


“Isu ini mungkin juga disebabkan persaingan namun saya tidak mahu menuduh sesiapa dan pada masa sama saya juga merancang untuk bertemu pihak Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) bagi menyelesaikan kekeliruan ini,” katanya.

No comments: