Monday, May 16, 2011

Proses sampah jadi makanan



Oleh ROZIANAH RISMAN
pengarang@utusan.com.my


Othman Nawang (kanan) memeriksa pelbagai barangan seperti susu tin, coklat dan ubat gigi tamat tempoh yang dikitar semula untuk dijual di Gombak, dekat Kuala Lumpur, kelmarin.

KUALA LUMPUR 11 Mei - Kegiatan sebuah premis yang mengaut keuntungan segera dengan membeli barangan runcit tamat tempoh sebelum menjualnya semula kepada orang ramai tumpas apabila diserbu pihak berkuasa di Kampung Sungai Salak, Batu 10, Jalan Gombak, dekat sini malam semalam.

Serbuan di rumah banglo tersebut dilakukan 10 anggota dan pegawai penguat kuasa dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Selangor, pukul 10.15 malam.

Modus operandi digunakan adalah membeli secara pukal atau mengutip barangan runcit tamat tempoh dari tong dan tempat pelupusan sampah, kedai dan kilang-kilang sebelum membersih dan melabel semula tarikh luput.

Dalam serbuan hasil maklumat awam dan risikan, sebanyak 3,500 pelbagai jenis produk makanan bernilai kira-kira RM30,000 yang dipercayai untuk dijual di pasaran sekitar Gombak dirampas.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNKK Selangor, Othman Nawang berkata, ketika serbuan, terdapat dua pekerja wanita warga tempatan dan Indonesia, masing-masing berusia 50-an dan 34 tahun leka membersihkan botol susu.

"Bahan yang dibersihkan itu kemudian diletakkan di sesuatu tempat sebelum proses melupuskan cop tarikh luput dilakukan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian dekat sini malam semalam.

Tambahnya, barangan runcit pelbagai jenama termasuk terkenal yang telah dibersihkan akan dihantar kepada beberapa pengusaha restoran, kedai runcit dan gerai-gerai kecil.

"Barangan runcit itu dihantar ke tempat yang membuat tempahan sama ada menggunakan bungkusan baru atau tanpa sebarang pelekat," jelasnya.

Othman memberitahu, selain produk makanan seperti susu tin, susu segar, teh, serbuk koko, bahan kegunaan harian yang telah rosak turut dijual semula antaranya sabun, lampin pakai buang, tuala wanita, ubat gigi dan losen.

"Malah lebih mengejutkan apabila pembekal itu turut menjual aiskrim yang dihasilkan daripada bahan yang telah rosak kepada pelajar-pelajar melalui penjaja di luar sekolah," jelasnya.

Katanya, pihaknya akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti suspek terlibat menjalankan kegiatan itu mengikut Akta Perihal Dagangan 1972.

No comments: